Kesedaran Untuk Keluar Mengundi


oleh :Ustaz Dr Muhamad Zuhaili bin Dr Hj Saiman
11 ZulKaedah 1440H / 14 Julai 2019

▪️Pendahuluan

Negara Malaysia antara negara yang mengamalkan sistem demokrasi. Medan demokrasi memberi ruang kepada rakyat bersuara menerusi undi dalam pilihanraya umum bagi memilih pemimpin dalam tempoh 5 tahun sekali.

Amalan dalam kerangka demokrasi di Malaysia ialah demokrasi berparlimen iaitu parti yang mendapat majoriti bilangan kerusi akan memerintah. Walaupun jika pihak lawan mendapat undian popular tinggi namun bilangan kerusi tidak majoriti, maka tidak mendapat kemenangan bagi memerintah.

▪️Permasalahan Dalam Mengundi
Sebelum ini, mereka yang layak dan boleh mengundi ialah warganegera yang berusia 21 tahun dan telah daftar pemilih. Namun begitu, pada 12 Februari 2019, SPR mendedahkan lebih 3 juta yang masih tidak daftar pemilih. Ini satu kerosakan secara tidak langsung kerana "hilangnya" undian yang sepatutnya mengundi.

Justeru apabila pihak kerajaan mencadangkan penurunan had umur kelayakan untuk mengundi kepada 18 tahun, maka timbul pelbagai persoalan. Dan di antara cadangan penyelesaian agar tidak berlaku "lambakan" pengundi yang tidak daftar pemilih, maka blok pembangkang khusus PAS, UMNO dan GPS mencadangkan agar kelayakan mengundi secara automatik dimasukkan sekali dalam pindaan tersebut selepas bacaan kali pertama.

Namun begitu, menjadi kerisauan yang timbul pula adalah peratusan mengundi untuk mengundi setelah layak secara automatik. Justeru, bagi menguruskan persoalan ini, kita perlu menerapkan konsep kefahaman politik dari sudut perintah agama.

Ia penting bagi memastikan kesedaran khususnya kalangan mengundi penganut agama Islam untuk keluar mengundi. Jika tidak, urusan negara akan dikuasai oleh penganut bukan Islam yang pastinya akan memberikan kesan negatif dalam pentadbiran negara kelak.

Mereka yang tidak daftar dan mengeluar mengundi sebelum ini dapat dilihat kepada beberapa kelompok iaitu :

1. Menganggap mengundi itu haram kerana sistem dari Barat yang bukan dari Islam.

2. Menganggap kesemua parti politik itu sama sahaja. Tidak ada kepentingan langsung dalam memilih.

3. Mereka yang tidak mengambil langsung peduli hal politik. Tidak cakna isu semasa dan hanya memikirkan kepentingan diri sendiri yang sempit.

4. Mereka yang berputus asa dan akhirnya mengambil keputusan dengan tidak mahu terlibat dalam pilihanraya untuk kuar mengundi.

▪️ Penekanan Hukum Mengundi Itu Perintah Agama
Dalam membicarakan soal hukum mengundi, majoriti ulama’ menyatakan bahawa hukum mengundi itu wajib dan ia dikira berdasarkan kepada konsep penyaksian.

Bermaksud orang yang mengundi tersebut memberikan saksi bahawa calon yang undi tersebut adalah baik dan layak untuk memegang amanah sebagai pemerintah.

Pendapat ini digunakan oleh Al-Imam As-Syahid Hassan Al-Banna, Dr Yusuf Al-Qardhawi, Syeikhul Al-Azhar Syeikh Ahmad Tayyib dan sebagainya.

Justeru warganegara yang layak mengundi adalah wajib keluar mengundi atas dasar memberikan penyaksian.

Jika calon tersebut tidak layak serta tidak amanah maka ia tidak boleh berkrompomi dengannya untuk diberikan undi kerana akan menimbulkan kerosakan dan mudarat.

Jika calon tersebut amanah dan mampu memikul tanggungjawab pemerintah untuk menjaga agama dan maslahat keduniaan manusia ia mestilah mengundi calon tersebut.

Ini kerana, memberikan kuasa kepada orang yang akan memberikan kerosakan adalah haram kerana bersubahat dengannya.

Berkata Al-Imam As-Syahid Hassan Al-Banna :

“Memberikan undian adalah suatu penyaksian, manusia akan ditanya akannya (calon mana yang akan dipilih dan kenapa), maka putuslah untuk memberikan undian berdasarkan hati-hati kamu dan akal kamu, dan jadilah orang yang membantu akan kebenaran dan berani dalam memilih calon yang baik (serta amanah)”

Mengundi merupakan wasilah bagi memilih tampuk kepimpinan Islam dalam konteks mendirikan Negara Islam untuk melaksanakan syariat Islam secara menyeluruh. Sehubungan itu mengundi merupakan wajib kerana ia termasuk dalam wasilah bagi tujuan yang wajib iaitu mendirikan Negara Islam.

Maka ini termasuk dalam kaedah :

ما لا يَتِمُّ الواجِبُ إلا به فَهُوَ واجِب

"Sesuatu kewajipan yang tidak akan sempurna melainkan dengan sesuatu perkara maka ia menunjukkan bahawa perkara tersebut adalah wajib."

Membangunkan Negara Islam adalah kewajipan kerana menegakkan syariat secara menyeluruh tidak dapat tidak mesti dengan memiliki kuasa pentadbiran sesebuah negara dalam kerangka kenegaraan. Maka tanpa melalui pilihanraya bagi negara yang mengamalkan sistem demokrasi, gerakan Islam tidak akan mampu meraih ruang kuasa untuk mentadbir negara untuk perlaksanaan syariat Islam yang memerlukan kuasa perundangan dan pemerintahan.

▪️Menjelaskan Mengundi Itu Jihad Kontemporari
Imam Ibnu Qayyim menyebutkan bahawa jihad tidak hanya tertumpu kepada satu jenis sahaja iaitu menganngkat senjata berhadapan dengan musuh di medan perang.

Sehubungan itu, Imam Ibnu Qayyim membahagikan jihad kepada 13 peringkat iaitu :

1. Jihad menentang nafsu sebanyak 4 peringkat
2. Jihad menentang syaitan sebanyak 2 peringkat
3. Jihad menentang golongan kafir sebanyak 4 peringkat
4. Jihad menentang golongan zalim, bid’ah dan fasik sebanyak 3 peringkat

Segala perbuatan yang dilakukan bagi memenangkan Islam atau menaikkan Islam merupakan jihad dan ketaatan kepada Allah SWT serta mendapat pahala di hari akhirat. Sekiranya membuang benda yang menyakiti di tengah jalan atau laluan manusia juga dikira dalam Islam sebagai perkara yang mendatangkan pahala serta salah satu cabang daripada iman sebagaimana dalam hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah :

الإيمان بضع وسبعون أو بضع وستون شعبة، فأفضلها قول: لا إله إلا الله، وأدناها إماطة الأذى عن الطريق، والحياء شعبة من الإيمان

Maksudnya : “Iman itu lebih 70 cabang atau lebih 60 cabang, yang paling afdhal (tinggi) ialah (mengucap) penyaksian ‘tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah’ dan peringkat yang terendah ialah membuang perkara yang menyakiti (benda kotor dan sebagai) yang berada di tengah jalan. Malu itu satu cabang daripada iman” - riwayat al-Bukhari dan Muslim

Justeru apakah menentang serta menolak kezaliman (dengan cara mengundi kepada pihak yang adil dalam pilihanraya) tidak termasuk dalam berjihad di jalan Allah SWT? Maka sudah tentu ia juga termasuk dalam konteks berjihad, melihat kepada beberapa hujah iaitu :

1- Ia merupakan seruan dakwah yang disebutkan oleh Allah SWT sebagai seruan yang berbentuk hikmah dan peringatan yang baik

2- Waktu, masa, tenaga serta harta yang dibelanjakan bagi memenangkan pihak yang adil dan menarik masyarakat kepada perjuangan Islam dan menerima perundangan Islam merupakan jihad sebagaimana yang disebutkan oleh Allah SWT berkaitan Allah SWT membeli jiwa serta harta mereka dengan bayaran syurga

3- Termasuk juga dalam konteks menyeru ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran. Ia menyeru masyarakat dalam memilih perjuangan Islam dan menolak pihak yang zalim. Pihak yang tidak melaksanakan Islam adalah pihak yang zalim

4- Undi juga dikira sebagai salah satu konsep nasihat iaitu menasihati pemimpin. Ia termasuk dalam seruan Islam berkenaan agama sebagai konsep nasihat.

5- Termasuk dalam kewajipan masa kini iaitu menentang kerajaan yang zalim. Mengalahkan pihak dengan undian sebagaimana mengalahkan pihak musuh di medan perang. Tuntutannya mengalahkan pihak kezaliman dan memenangkan Islam walau dalam bentuk yang berbeza.

▪️ Garis Panduan Ketika Mengundi

Sehubungan itu, Syeikh Dr Yusuf al-Qardhawi menyebutkan bahawa :

1- Sesiapa yang memberikan saksi (undian) kepada seorang yang tidak soleh bahawa lelaki tersebut adalah soleh (layak menjadi pemimpin) maka ia sesungguhnya orang yang memberikan undi tersebut telah melakukan dosa dan kesalahan berdasarkan firman Allah :

فَٱجۡتَنِبُوا۟ ٱلرِّجۡسَ مِنَ ٱلۡأَوۡثَـٰنِ وَٱجۡتَنِبُوا۟ قَوۡلَ ٱلزُّورِ

“Dan jauhilah kekotoran syirik dan perkataan yang dusta (menipu)” - Surah al-Hajj : 30

2- Sesiapa yang mengundi seseorang calon kerana kepentingan peribadi seperti kroninya atau kawannya atau kepentingan lain (selain Islam), maka ia telah melanggar konsep saksi. Sedangkan Allah menyuruh manusia memberikan saksi kerana-Nya (kepentingan Islam) bukan sebab kepentingan lain. Berdasarkan kepada firman Allah SWT :

وَأَقِیمُوا۟ ٱلشَّهَـٰدَةَ لِلَّهِۚ

“Dan hendaklah kamu menyempurnakan penyaksian itu kerana Allah semata-mata” - Surah at-tolaq : 2

3- Dan sesiapa yang tidak mengundi atau tidak memberikan undi kepada yang selayak (dengan sengaja) ia dikira telah menyembunyikan penyaksian dan ini bersalahan dengan perintah Allah SWT :

وَلَا تَكۡتُمُوا۟ ٱلشَّهَـٰدَةَۚ وَمَن یَكۡتُمۡهَا فَإِنَّهُۥۤ ءَاثِمࣱ قَلۡبُهُۥۗ

“Dan janganlah kamu menyembunyikan penyaksian, maka sesiapa yang menyembunyikan penyaksian sesungguhnya ia berdosa akan hatinya” - Surah al-Baqarah : 283

▪️Penutup

Justeru berkaitan hukum mengundi, penekanan mesti diberikan juga dari sudut agama untuk lebih menyedarkan pengundi khususnya kalangan penganut agama Islam untuk keluar mengundi waktu pilihanraya.

Pilihanraya tidak hanya sekadar medan menukar pimpinan tanpa tujuan. Namun ia sebagai salah satu tindakan dalam memastikan kuasa perlaksanaan syariat Islam dilakukan di peringkat negara.

Sehubungan itu, dapat disimpulkan bahawa :

i. Mengundi merupakan satu kewajipan kerana mengundi merupakan wasilah bagi memilih kepimpinan Islam dalam mendirikan Negara Islam

ii. Mengundi dalam pilihanraya termasuk dalam konteks jihad kerana menentang kezaliman dan menolak pihak yang melawan syariat Islam bagi memenangkan pihak Islam atau gerakan yang membawa perjuangan Islam.

Justeru, sekiranya kelayakan mengundi secara automatik telah menjimatkan satu langkah iaitu daftar pemilih. Apa yang perlu diusahakan sekarang pula adalah penekanan untuk :

i. Kesedaran tanggungjawab keluar mengundi. Mesti dikaitkan dengan perintah agama.
ii. Kematangan dalam rasional cakna isu dan pertimbangan pilihan calon. Peranan kerajaan dan keluarga sangat penting untuk menyediakan silibus dan suasana cakna isu.
iii. Akses penyebaran info yang meliputi capaian yang lebih meluas dan berintegriti. Ia bagi keadilan semua pihak politik yang terlibat dan tidak menjadikan masyarakat muak dengan gejala politik konvensional yang kotor.

Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Mediaonline

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget