Kenapa Melayu Gagal Kuasai Bidang Peruncitan Walaupun Lahirkan Ramai Usahawan?


oleh: Mohd Faizal Zulkifly

Hingga hari ini, orang Melayu masih disalahkan dek kegagalan mereka dalam menguasai ekonomi. Stigma 'Melayu Malas' dan 'Melayu tidak kompeten' dalam perniagaan terus menghantui orang Melayu hingga ramai orang Melayu terkandas dalam bisnes. Hakikatnya, terlalu ramai orang Melayu yang ingin berniaga seperti bangsa lain. Lihat sahaja statistik pinjaman perniagaan dari badan berkaitan seperti MARA, TEKUN, PUNB, AIM dan lain-lain, anda akan mengakui kebenarannya.

Antara bidang bisnes keutamaan yang masih gagal ditembusi oleh orang Melayu ialah bidang peruncitan. Walaupun ramai usahawan Melayu telah cuba dilahirkan dari bidang ini, namun bidang ini terus dikuasai bangsa lain. Saya ambil contoh, cuba kita melawat ke pameran dan expo besar seperti MAHA, MIHAS, KUB dan sebagainya, kita akan dapati terlalu banyak produk berkualiti yang boleh diperolehi di sana. Ada produk yang boleh dikira menepati standard kualiti dan pembungkusan bertaraf antarabangsa. Dari kerepek kentang, air minuman, sardin dalam tin dan banyak lagi, semuanya berkualiti, keluaran syarikat Melayu.

Namun, jika produk ini bagus, di mana kita hendak membelinya selepas tamat expo itu? Adakah kita dapat membelinya di pasaraya, kedai runcit atau lain-lain? Tidak. Paling-paling pun kita terpaksa ke laman web syarikat atau mencari senarai pengedar bebas mereka di Facebook. Namun sebagai pengguna, setakat mana kita boleh terus membeli produk mereka jika susah kita nak dapatkan? Sekali, dua kali lepas itu kita pun malas nak beli sebab leceh nak dapatkan produk tersebut. Akhirnya, daripada niat asal kita nak sokong produk orang Melayu, akhirnya kita terpaksa beralih semula kepada jenama umum yang boleh didapati dengan mudah di pasaran.

Maka, produk-produk keluaran syarikat Melayu ini akan jadi lambakan di kilang dan gudang mereka sendiri, hingga akhirnya terpaksa tutup kedai akibat produk tak laku. Seterusnya, akan ada lagi syarikat Melayu baru yang mengeluarkan produk mereka sendiri, dan kitaran ini berulang hingga tak terkira bilangannya syarikat pengeluar produk runcit Melayu yang gulung tikar. Soalnya mengapa ini boleh terjadi jika produk mereka bagus dan menepati piawaian antarabangsa?

Menurut pengalaman dan pemerhatian saya sendiri yang pernah terlibat dalam bidang peruncitan, jawapannya ialah kerana orang Melayu gagal menguasai bidang pengedaran (distribution). Hari ini, kita lihat usahawan Melayu terlalu fokus dalam bidang pengeluaran. Masing-masing ghairah untuk mengeluarkan produk dengan jenama sendiri. Akhirnya terlalu banyak produk-produk yang hampir sama antara satu sama lain walaupun pasarannya kecil. Kerajaan juga terlalu fokus menyediakan bantuan kepada usahawan yang mempunyai kapasiti untuk mengeluarkan produk sendiri tanpa melihat kepada prospek pasarannya.

Sebenarnya, perkara paling penting dalam sesuatu perniagaan ialah proses 'route to market', atau bagaimana sesuatu produk itu sampai ke tangan pengguna. Walaupun kita mengeluarkan suatu produk yang sangat bagus, kita akan gagal menguasai pasaran sekiranya kita tidak memahami proses rantaian pembekalan (supply chain) sesuatu perniagaan itu, dari proses mendapatkan bahan mentah untuk pengeluaran hinggalah ia sampai ke tangan pengguna. Kebiasaannya, syarikat Melayu hanya fokus kepada proses pengeluaran, tetapi gagal dalam proses pengedaran.

Walaupun banyak pelaburan dibuat bagi aktiviti pemasaran dilakukan, dari membayar duta produk hinggalah membeli 'airtime' stesen TV untuk pengiklanan, ianya tidak cukup sekiranya produk gagal melalui proses pengedaran yang membolehkan ia memasuki pasaran seterusnya sampai ke tangan pengguna. Anda sebenarnya boleh melihat banyak contoh-contoh produk yang diiklankan dengan bagus sekali tetapi bila anda ke pasaran untuk membeli produk tersebut, anda tidak menjumpainya di mana-mana.

Mengapa ini berlaku? Inilah masalah yang dihadapi syarikat Melayu. 90% dari syarikat pengedaran (distributor) barang-barang runcit adalah bukan milik orang Melayu. Kebanyakan pengedar runcit ini adalah dari kalangan bangsa Cina, mereka telah bertapak sejak sekian lama malah ada yang sebelum merdeka lagi, dan perniagaan mereka telah dijalankan turun temurun, ada yang sudah memasuki generasi ketiga hari ini.

Syarikat-syarikat pengedaran inilah yang menentukan kejayaan 'route to market' sesuatu produk. Walau syarikat pengeluar yang besar dan ternama sekalipun, mereka perlu melalui syarikat-syarikat ini untuk memastikan produk mereka menembusi pasaran. Lazimnya (bukan untuk bersifat rasis), bila sesuatu bidang perniagaan itu dikuasai bangsa tertentu, sudah pastilah keutamaan diberikan kepada bangsa mereka dan dengan kelebihan itulah mereka dapat menguasai pasaran. Syarikat-syarikat pengedaran ini mempunyai persatuan mereka sendiri yang menjadi 'kartel' bidang pengedaran runcit di negara ini.

Syarikat-syarikat pengedaran inilah yang berhubungan baik dengan 'buyer' (pembeli) pasaraya-pasaraya besar yang mana buyer ini pula merupakan 'gatekeeper' yang menentukan penyenaraian atau 'listing' sesuatu produk itu ke dalam rangkaian pasaraya mereka. Selain itu, syarikat-syarikat pengedaran ini turut mempunyai rangkaian yang baik dengan pemilik-pemilik kedai runcit dan pasaraya kecil di kawasan-kawasan liputan mereka. Disebabkan hubungan baik yang dijalin sekian lama, syarikat-syarikat pengedaran ini kadangkala boleh mempengaruhi mereka untuk menyenaraikan atau menyahsenaraikan sesuatu produk itu dari pasaran.

Oleh kerana syarikat pengeluar Melayu tidak mempunyai rangkaian yang baik dengan syarikat-syarikat pengedaran ini, maka amat susah untuk mereka menggunakan khidmat pengedaran syarikat-syarikat berkenaan. Malah, kebanyakan syarikat-syarikat pengedaran ini amat menekan syarikat pengeluar dengan margin yang tidak masuk akal dan meminta insentif-insentif pelik serta mengenakan caj-caj servis yang membebankan syarikat yang baru nak mulakan proses pengedaran seperti caj 'forklift', caj penyimpanan dan caj pallet.

Akhirnya, banyak syarikat Melayu yang tidak mampu menggunakan khidmat syarikat pengedaran dan terpaksa mencari pengedar bebas dengan kapasiti pengedaran dan liputan pasaran yang sangat kecil. Walaupun kini proses pengedaran boleh dibuat secara langsung kepada pengguna dengan adanya platform internet, kita harus akui bahawa pengedaran konvensional masih dan akan terus memainkan peranan penting bagi barangan runcit.

Penyelesaian bagi masalah ini walaupun agak sukar tetapi mesti dimulakan dari sekarang. Usahawan Melayu mesti beralih dari sekadar fokus kepada bidang pengeluaran dan pemasaran kepada bidang pengedaran. Halangan terbesar untuk orang Melayu menyertai bidang ini ialah modal. Proses pengedaran ini merangkumi beberapa aspek, antaranya ialah perolehan, pergudangan dan logistik. Ia memakan modal yang besar.

Sebagai contoh, untuk proses perolehan sahaja, ia memerlukan ratusan ribu RM bagi satu jenis produk saja untuk dibayar kepada pengeluar jika transaksi dijalankan dalam tunai. Bayangkan jika 20 produk, sudah pasti cecah jutaan RM, dalam masa sama perlu menyediakan perkhidmatan kredit pula kepada pasaraya dan kedai runcit, maka modal pusingannya sangat besar. Itu belum lagi kos menyediakan gudang yang lengkap dengan 'pallet racking' dan 'forklift' untuk mengangkat barang. Bagi logistik pula, syarikat pengedaran perlu mempunyai lori mereka sendiri. Jika mereka 'outsource' logistik mereka, kos akan menjadi lebih tinggi walaupun ianya memudahkan dari segi proses.

Saya yakin, dengan modal jutaan RM, tak ramai orang Melayu mampu dan berani ceburi bidang peruncitan. Di sinilah perlunya peranan kerajaan melalui bantuan modal dari agensi berkaitan seperti yang disenaraikan tadi. Sepanjang pengetahuan saya, hanya PUNB yang ada dana khusus untuk bidang pemborongan dan peruncitan. Namun, tak banyak orang Melayu yang mohon kerana kurang keberanian, pengalaman dan jaringan.

Justeru, di peringkat usahawan, apa yang perlu kita lakukan? Ya, kita perlu wujudkan rangkaian perniagaan yang besar. Bulan lepas, saya berkesempatan bertemu dengan Tan Sri Mat Shah Safuan, usahawan Melayu terkenal, Pengerusi Safuan Group Holdings yang juga Pengerusi PERDASAMA, sebuah persatuan yang menghimpunkan usahawan Melayu. Beliau juga menekankan tentang pentingnya diadakan lebih banyak jaringan perniagaan di kalangan usahawan Melayu untuk kita wujudkan rantaian pembekalan yang lebih besar.

Kita perlu kurangkan fokus mengeluarkan produk-produk baru yang sama jenis. Sebaliknya, kita perlu kumpulkan semua produk keluaran Melayu berkualiti pelbagai jenis bawah satu jenama yang sama melalui penubuhan sebuah syarikat konsortium dengan sokongan pihak kerajaan.

Model ini telah berjaya dilakukan di Bangladesh oleh syarikat PRAN. PRAN adalah sebuah syarikat yang berjaya mengumpulkan pelbagai produk runcit keluaran rakyat Bangladesh di luar bandar di bawah satu jenama dan hari ini PRAN telah berjaya menguasai pasaran 118 buah negara termasuk Malaysia dengan nilai jualan melebihi USD500juta setahun. Bila kita berjaya mewujudkan sebuah jenama yang kuat, kita akan mempunyai kuasa untuk menembusi pasaran.

Selain itu, bagi pengguna Melayu, kita perlu sokong rangkaian perniagaan runcit orang Melayu. Kita perlu utamakan membeli barangan keluaran syarikat Melayu dari rangkaian pasaraya Melayu seperti MYDIN Malaysia, Ikhwan Mart, Azzainmart dan lain-lain. Jika kita boleh berbuat demikian, kita akan membantu meluaskan pasaran produk Melayu dan membina ekonomi orang Melayu dengan lebih kukuh agar kita boleh membina rangkaian pembekalan kita sendiri tanpa dibuli oleh syarikat-syarikat pengedar bangsa lain.

Inilah juga model yang digunakan oleh sahabat Rasulullah, Abdul Rahman Auf yang berjaya menguasai ekonomi Madinah yang sebelumnya dimonopoli kaum Yahudi dengan membina jaringan perniagaan orang Islam yang besar dan kukuh. Di Malaysia, orang Melayu adalah pengguna terbesar dengan lebih 60% pasaran dan jika kita menggunakan sepenuhnya kelebihan ini, saya yakin ekonomi orang Melayu akan lebih baik di masa depan.

Wallahualam.

#jihadekonomi

Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Mediaonline

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget