NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Sarawak sebagai tapak perluasan kuasa DAP?


SARAWAK SEBAGAI TAPAK PERLUASAN KUASA DAP?
oleh: Dr Kamarul

Marah sekali Pengerusi Pakatan Harapan Sarawak, Chong Chieng Jen, kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) kerana tidak menyokong Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 yang dikemukakan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad di Parlimen semalam bagi mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai “equal partners” dalam Malaysia.

Kemarahan Chong Chieng Jen ini tidak sukar untuk difahami bila kita meletakkannya dalam konteks perancangan DAP di Sarawak selaras dengan kedudukan Chong Chieng Jen selaku Pengerusi DAP Sarawak merangkap Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Sarawak serta selaras dengan pelbagai pernyataan pemimpin DAP mengenai perkara ini.

(1) Selepas mencapai prestasi membanggakan dengan memenangi 12 kerusi (berbanding 3 kerusi PKR) dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-10 pada 16 April 2011, pemimpin utama DAP, Lim Kit Siang, telah mengisytiharkan beberapa kali bahawa strategi DAP Sarawak dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-11 pada 7 Mei 2016 adalah bukan untuk memenangi pilihan raya ini tetapi adalah untuk menyediakan DAP bagi memenangi Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 pada tahun 2021.

(2) Tatkala parti-parti komponen Pakatan Harapan berebut untuk mengetuai Pakatan Harapan di negeri-negeri di Semenanjung Malaysia, fokus DAP bukanlah untuk mengetuai negeri-negeri yang ia mempunyai pengaruh kuat di Semenanjung Malaysia seperti Perak, Johor, Negeri Sembilan dan Melaka tetapi untuk mengetuai negeri Sarawak, menyebabkan ia menerima pakai Formula 4-4-3-3 Pakatan Harapan di mana ia mengetuai 3 negeri, iaitu Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan dan Sarawak.

(3) Selepas Pakatan Harapan menguasai Putrajaya, Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke, memaklumkan kepada Ahli-Ahli Jawatankuasa DAP Sarawak yang baru dalam Konvensyen DAP Sarawak pada 4 November 2018 bahawa misi DAP adalah untuk menguasai Sarawak dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 dan untuk memulakan persiapan ke arahnya, sambil menambah bahawa Pakatan Harapan kini mempunyai kelebihan tambahan untuk menguasai Sarawak setelah ia menguasai Putrajaya.

(4) Selepas Pakatan Harapan menguasai Putrajaya, Chong Chieng Jen telah siap-siap mengumumkan cadangan pembahagian kerusi yang akan DAP, PKR dan AMANAH tandingi dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 dengan menyebut pada 17 Julai 2018 bahawa kemasukan BERSATU ke Sarawak tidak akan mengubah cadangan pembahagian kerusi Pakatan Harapan ini kerana, kata beliau, kemasukan BERSATU ke Sarawak hanyalah untuk membuka cawangan dan membantu mereka menang.

(5) Selaras dengan arahan Anthony Loke bahawa misi DAP adalah untuk menguasai Sarawak dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 dan untuk memulakan persiapan ke arahnya, Chong Chieng Jen telah mengumumkan pada 2 Februari 2019 mengenai mesyuarat Pakatan Harapan Sarawak pada 23 Februari 2019 bagi membincangkan persiapan untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12, di mana dalam mesyuarat ini BERSATU mendedahkan ia mempunyai 18,700 ahli di 31 cawangan.

(6) Selepas Pakatan Harapan menguasai Putrajaya, Chong Chieng Jen telah bergerak ke hadapan dengan mengumumkan cadangan ‘New Deal Agreement’ Pakatan Harapan Sarawak yang akan dibawa kepada Jawatankuasa Khas Kabinet Untuk Menyemak Perjanjian Malaysia 1963 pada 30 Julai 2018, sebelum pun jawatankuasa khas kabinet ini ditubuhkan, dengan menyebut jawatankuasa khas kabinet ini akan mengkaji agihan kekayaan petroleum yang lebih adil dan saksama kepada negeri-negeri.

(7) Selepas Pakatan Harapan bersetuju untuk membentangkan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 di Parlimen, Chong Chieng Jen menjadi pemimpin Pakatan Harapan pertama yang mengesahkannya, siap dengan tarikh-tarikhnya, pada 23 Mac 2019 di samping menjadi antara pemimpin Pakatan Harapan yang paling lantang memperjuangkan dan mempertahankannya, termasuk dengan mengeluarkan kenyataan bagi menjelaskannya kepada GPS pada 5 April dan 6 April 2019.

Dalam konteks DAP mensasarkan kemenangan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 dan dalam konteks DAP, selaras dengan Formula 4-4-3-3 Pakatan Harapan, mensasarkan bahawa jawatan Ketua Menteri Sarawak akan menjadi miliknya jika Pakatan Harapan memenangi Sarawak inilah maka kemarahan Chong Chieng Jen boleh difahami.

Bayangkan apa yang DAP boleh lakukan bila ia, yang kini menguasai terbanyak antara parti-parti komponen Pakatan Harapan dalam Dewan Undangan Negeri Sarawak, mengetuai Kerajaan Sarawak selepas Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 dan bila kedudukan Sabah dan Sarawak diperkasakan, antaranya dengan agihan kekayaan petroleum yang lebih besar.

Kajilah balik asal-usul Projek Tanjong sehingga Pulau Pinang dapat DAP tawan.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo