NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

‘Klepto berserban’: PAS cabar Rafidah Aziz lapor SPRM



Oleh Siti Fatimah Ishak

BANGI, 28 Rejab 1440H, Khamis – Pemuda PAS menempelak kenyataan bekas menteri Kabinet, Tan Sri Rafidah Aziz apabila mendakwa ‘klepto berserban’ menjadi punca negara menghadapi pelbagai kerosakan.

Timbalan Ketua Pemudanya, Ir Haji Khairil Nizam Khirudin berkata, ucapan beremosi tanpa fakta oleh veteran UMNO itu hanya sekadar retorik untuk menanamkan kebencian rakyat kepada PAS.

Bagaimanapun, beliau mencabar Rafidah untuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyiasat salah guna kuasa yang telah dilakukan oleh PAS.

Katanya, Rafidah mesti sedar, satu laporan polis pernah dibuat oleh Ahli Parlimen Permatang Pauh pada tahun 1999 yang merujuk kepada dokumen dari Pejabat Peguam Negara mengenai wujud ‘prima facie’ untuk mendakwanya atas lima tuduhan rasuah.

“Beliau boleh merujuk hal ini kepada Ahli Parlimen Port Dickson dan Ahli Parlimen Iskandar Puteri yang pernah membuat ucapan ini di Dewan Rakyat.

“Semua mereka telah menjadi anggota kerajaan hari ini. Perkara ini lebih penting supaya segala dakwaan-dakwaan yang timbul boleh diselesaikan secara adil,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Rafidah ketika berucap dalam program Bicara Minda akbar Sinar Harian mendakwa, segelintir orang Melayu menggunakan Islam sebagai modal untuk berpolitik menyebabkan kesalahan yang dilakukan ditutup sebelah mata.

“Itu yang banyak ‘klepto berserban’, sekarang berduyun-duyun ke SPRM. Kalau tengok macam ahli syurga, tapi ahli syurga dilarang mencuri.

“Kita sepatutnya amanah duit rakyat dan dosa lagi besar pada rakyat. Dosa dengan Allah boleh minta ampun, tapi dosa dengan rakyat macam mana, sebab itu jangan sekali-kali pecah amanah,” katanya.

Mengulas perkara itu, Khairil menegaskan, PAS telah menyatakan prinsip secara konsisten supaya satu suruhanjaya siasatan khas ditubuhkan.

Beliau berkata, tujuannya untuk menyiasat segala dakwaan korupsi dan skandal kewangan yang dilakukan oleh Barisan Nasional, termasuk dalam tempoh pentadbiran Rafidah sekitar 20 tahun dalam Kabinet.

“Sekiranya wujud bukti yang munasabah, maka semua pihak yang didakwa mesti diadili di mahkamah. Tan Sri Rafidah Aziz yang muncul menjelang PRU14 yang lalu untuk menyokong PH harus mendesak penubuhan suruhanjaya siasatan ini. Perkara ini juga termaktub dalam manifesto dan kenyataan-kenyataan pemimpin utama PH,” katanya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo