DUN Terengganu: Caj Percuma Wad Kelas Tiga Bermula Jun


KUALA TERENGGNU, 4 April - Kerajaan negeri akan melaksanakan caj percuma wad kelas tiga di hospital kerajaan negeri bermula Jun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata walaupun berlaku kelewatan dalam pelaksanaannya, pihak kerajaan tetap komited untuk meneruskan perkara yang dijanjikan dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Katanya, pada masa ini rundingan kerajaan negeri dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih lagi berjalan untuk mencari kaedah yang terbaik bagi pengurusan caj tersebut selepas permohonan peringkat awal ditolak oleh KKM.

"Pihak kami telah beberapa kali membuat rayuan tetapi ditolak dan akhirnya menerima satu surat yang menyatakan sebab-sebab penolakan.

"Namun kita tetap berusaha sebaik mungkin dengan meneruskan rundingan dengan KKM dan jika ia ditolak maka pihak kerajaan akan meneruskan perlaksanaan dengan mengguna pakai pelan B," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun dalam Mesyuarat Penggal Kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri Ke-14 di Wisma Darul Iman, hari ini.

Menurut Alias lagi, pelan B akan digunakan dengan melantik sendiri pegawai atau kakitangan yang akan menguruskan proses pembayaran bil pesakit antara hospital dengan kerajaan negeri.

"Kita akan lantik pegawai dengan cara-cara tertentu dan pihak negeri akan menanggung kos perjawatan tersebut.

"Mereka ini akan bertanggungjawab menerima bil-bil pesakit wad kelas tiga di hospital dan menghantar ke Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan kita akan buat pembayaran kepada pihak kementerian setiap dua minggu sekali sebagaimana yang dipersetujui sebelum ini,"ujarnya.

Katanya, dengan memberikan perkhidmatan percuma itu, kerajaan negeri dijangka akan membayar kepada kementerian kira-kira RM4 juta setahun berdasarkan dengan jumlah katil yang ada sebanyak 1,400 unit.

Dalam Bajet 2019, kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM17 juta termasuk untuk menyediakan perkhidmatan wad kelas ketiga percuma di hospital kerajaan.

Caj rawatan percuma pesakit kelas tiga adalah satu daripada 20 perkara yang dijanjikan oleh PAS dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.
Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Mediaonline

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget