NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Anak Menteri Positif Dadah Didakwa Masa Terdekat


KUALA LUMPUR – Anak menteri yang ditahan dan didapati positif dadah akan didakwa di mahkamah dalam masa terdekat.

Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin berkata, polis sudah menyerahkan kertas siasatan kes itu kepada Pejabat Peguam Negara.

“Arahan telah diterima untuk menuduh suspek di mahkamah. Tindakan untuk menuduh akan diambil dalam tempoh yang terdekat ini,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak menamakan menteri tersebut.

Kenyataan itu dalam jawapan bertulis parlimen bertarikh 14 April bagi soalan yang dikemukakan Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong).

Shamsul sebelum itu meminta penjelasan prosedur operasi standard (SOP) siasatan terhadap individu yang disyaki positif dadah dan berapa lama masa diambil untuk mendapatkan pengesahan ujian patologi.

Muhyiddin dalam jawapannya menjelaskan bahawa polis mempunyai SOP Arahan Pentadbiran yang khusus dalam pengendalian pengambilan sampel air kencing terhadap individu yang disyaki positif dadah.

Arahan berkenaan termasuklah yang terkandung dalam Perintah Tetap Ketua Polis Negara (PTKPN), Bahagian F103 (Tatacara Pengambilan Air Kencing dan Penguatkuasaannya di bawah Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983 (Akta 284).

“Bagi kes anak menteri yang disiasat di bawah Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952, laporan patologi telah diterima oleh PDRM,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini. – MalaysiaGazette

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo