Agenda Melayu: Dap Mahu Khianat?



Ekoran kekalahan calon BERSATU dalam Pilihan Raya Kecil Semenyih, Pengerusi BERSATU Negeri Sembilan, Tan Sri Dr Rais Yatim, mengeluarkan kenyataan bahawa Pakatan Harapan perlu melunakkan apa-apa imej DAP kerana orang Melayu di Semenyih enggan menerima hakikat tindak tanduk melulu DAP.

Timbalan Presiden PKR merangkap Naib Presiden Pakatan Harapan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, pula mengeluarkan kenyataan bahawa:

(1) Pakatan Harapan perlu meningkatkan usaha untuk menjadi “pilihan” bagi orang Melayu.
(2) Pakatan Harapan harus berani dan tidak gundah-gulana untuk segera melaksanakan janji-janji khususnya kepada masyarakat Melayu dan Bumiputera yang merupakan bagian integral daripada agenda nasional.
(3) Pakatan Harapan akan melaksanakan janji-janji kepada masyarakat Melayu dan Bumiputera tanpa rasa apologetik atau bimbang terhadap kritikan luar.

Seperti dijangkakan, kenyataan Datuk Seri Mohamed Azmin ini terus sahaja menerima kritikan luar bila Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai, yang:

(1) Menyebut adalah satu perkembangan yang membimbangkan dan pencabulan ke atas komitmen Pakatan Harapan terhadap reformasi jika ia mengguna pakai dasar-dasar perkauman.
(2) Menanya sama ada pengutamaan Bumiputera ini adalah agenda peribadi Datuk Seri Mohamed Azmin atau konsensus semua pemimpin Pakatan Harapan.
(3) Mendesak pemimpin DAP supaya bangkit menentang sebarang agenda atau dasar perkauman. 

Selari dengan desakan Datuk Dr Dominic Lau, dan bercanggah dengan harapan Tan Sri Dr Rais dan Datuk Seri Mohamed Azmin, Ahli Jawatankuasa Tertinggi DAP Pusat merangkap Setiausaha DAP Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew, terus sahaja mengkritik seruan untuk menjadikan Pakatan Harapan lebih keMelayuan dengan:

(1) Menyebut pengutamaan Melayu adalah satu pendekatan politik yang bercanggah dengan semua perkara yang diperjuangkan oleh Pakatan Harapan.
(2) Mencadang supaya Pakatan Harapan fokus kepada satu agenda Malaysia dan bukannya kepada satu agenda ethnocentric (berteraskan bangsa).
(3) Menanya bukankah lebih bagus untuk memajukan keseluruhan masyarakat berbanding hanya segmen tertentu daripadanya sahaja.

Selaku pengkaji tegar yang telah berpuluh-puluh kali membaca kandungan Manifesto Pakatan Harapan dalam PRU 14, sukalah saya mengingatkan Datuk Dr Dominic Lau dan Ronnie Liu bahawa:

(1) Agenda Melayu dan Bumiputera yang disebut oleh Datuk Seri Mohamed Azmin bukanlah agenda peribadi Datuk Seri Mohamed Azmin seperti yang didakwa oleh Datuk Dr Dominic Lau tetapi adalah konsensus semua pemimpin Pakatan Harapan.

(2) Agenda Melayu dan Bumiputera yang disebut oleh Datuk Seri Mohamed Azmin bukanlah satu pendekatan politik yang bercanggah dengan semua perkara yang diperjuangkan oleh Pakatan Harapan seperti yang didakwa oleh Ronnie Liu tetapi sebenarnya adalah sebahagian daripada perjuangan Pakatan Harapan.

Ini kerana jelas terkandung di dalam Manifesto Pakatan Harapan istilah “agenda memartabatkan maruah bangsa Melayu dan Islam” di mana manifesto ini di antara lainnya mengandungi janji-janji bahawa:

(1) Kerajaan Pakatan Harapan akan memberi lebih banyak penumpuan kepada pembangunan ekonomi orang Melayu dan Bumiputera.
(2) Kerajaan Pakatan Harapan akan mengira secara tuntas dan menerbitkan kepada umum jumlah pegangan ekuiti Melayu dan Bumiputera terkini.
(3) GLC akan diarahkan mendepani usaha mempertingkat pemilikan Bumiputera dalam ekonomi negara. 
(4) Kedudukan ekonomi Melayu akan dibentangkan dalam ucapan belanjawan setiap tahun.
(5) Prestasi dan pencapaian agenda memartabatkan maruah bangsa Melayu dan Islam akan dibentangkan dan dibahaskan di Parlimen setiap tahun. 

Tidak mahu melaksanakan agenda Melayu dan Bumiputera seperti yang diisytiharkan oleh Ronnie Liu inilah yang sebenarnya merupakan satu penyimpangan yang sangat besar kepada perjuangan Pakatan Harapan, bukannya mahu melaksanakan agenda Melayu dan Bumiputera seperti yang dicadangkan oleh Datuk Seri Mohamed Azmin.

Sikap dan pendirian yang ditunjukkan oleh pemimpin tinggi DAP seperti Ronnie Liu yang masih mahu menidakkan perkara-perkara asas seperti perlaksanaan agenda Melayu dan Bumiputera yang dijanjikan oleh Manifesto Pakatan Harapan inilah yang menjadi punca mengapa ramai orang Melayu dan Bumiputera yang putus harapan dengan Pakatan Harapan.

Sangat tidak logik jika pemimpin tinggi DAP seperti Ronnie Liu mahu menyatakan bahawa DAP tidak sedar mengenai janji perlaksanaan agenda Melayu dan Bumiputera yang terdapat di dalam Manifesto Pakatan Harapan ini kerana pemimpin DAP, iaitu Dr Ong Kian Ming, sendiri adalah wakil DAP yang terlibat merangka Manifesto Pakatan Harapan ini.

Berdasarkan kepada persoalan yang ditimbulkan oleh Ronnie Liu inilah maka ramai orang Melayu dan Bumiputera mahu meletakkan harapan kepada Pakatan Harapan jika perkara-perkara asas seperti perlaksanaan agenda Melayu dan Bumiputera yang terkandung di dalam manifestonya sendiri pun masih cuba mahu ditidakkan oleh pemimpin tinggi DAP.

Selagi pemimpin-pemimpin DAP masih menampakkan kesensitifan mereka dengan istilah “Melayu” maka selagi itulah DAP akan kelihatan sukar untuk dilunakkan.


Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Mediaonline

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget