NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Perkahwinan Bawah Umur Kelantan


Gambar sekadar hiasan.

oleh:  Hafiz Mansor
1. Tajuk berita "Nikah Bawah Umur Satu Keperluan di Kelantan" yang dilaporkan akhbar online Utusan Malaysia memang menyeleweng. Menyeleweng bagi seorang wartawan yang menulis berita tetapi gagal mencari tajuk yang menggambarkan perkara yang ditulis. Menyeleweng juga bagi pembaca yang membaca tajuk dan terus merungut dengan tajuk yang dianggap kesimpulan terhadap berita tersebut. 

2. Apa yang ditekankan dalam Persidangan Meja Bulat Perkahwinan Bawah Umur : Penilaian dan Pendekatan Holistik di Kelantan itu tidak dijelaskan secara baik, tetapi ibarat menyimbah petrol kepada api isu perkahwinan bawah umur yang telah sedia marak.

3. Pertama, persidangan tersebut melibatkan ramai tokoh termasuk di kalangan pakar undang-undang dan ahli akademik. Ini memberi maksud bahawa kesimpulan dan resolusi yang dicapai bukanlah sesuatu yang simplistik bahkan melalui perbincangan yang teliti. 

4. Kedua, aspek undang-undang negeri masih dipertahan dan tidak perlu dipinda. Hal ini merujuk kepada Seksyen 8 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam  2002 Kelantan yang menyebutkan:

"Tiada sesuatu perkahwinan boleh diakadnikahkan di bawah Enakmen ini jika lelaki itu berumur kurang daripada lapan belas tahun atau perempuan itu berumur kurang daripada enam belas tahun kecuali jika Hakim Syarie telah memberi kebenarannya secara bertulis dalam hal keadaan tertentu."

5. Seksyen ini memperuntukkan tiga fokus penting:

i. Had umur minimum berkahwin bagi lelaki adalah 18 tahun.

ii. Had umur minimum berkahwin bagi perempuan adalah 16 tahun.

iii. Perkahwinan bawah dari had umur yang ditetapkan di atas perlu mendapat kebenaran secara bertulis oleh Hakim Syarie. 

6. Selain itu, mekanisme SOP terhadap perkahwinan bawah umur telah diperketatkan selain melalui penelitian menyeluruh terhadap maslahah yang ada. Ironinya, kejujuran pihak yang sedang memperjuang isu ini secara prinsip telah sengaja diseleweng entah demi keuntungan siapa.  

7. Seseorang yang ingin berkahwin dengan kanak-kanak bawah umur tidak boleh sewenang-wenangnya berkahwin. Mereka perlu mendapatkan kebenaran daripada hakim syarie. Di sinilah juga pentingnya para hakim diberi penerangan dan latihan secukupnya dengan kumpulan profesional supaya dapat membuat penelitian yang tepat terhadap permohonan perkahwinan bawah umur.

8. Isu ini juga perlu dilihat dari aspek yang lain antaranya berkenaan kekangan terhadap jenayah seksual kanak-kanak mahupun kes pedofilia serta hak-hak yang perlu diberi kepada kanak-kanak. Hal yang demikian memerlukan perbincangan psikologi yang lebih terperinci untuk menanganinya.

9. Satu persoalan yang terdetik, mengapa jenayah hari ini begitu keras sehingga kanak-kanak juga menjadi mangsa? Tidakkah kita melihat penjenayah semakin "gila"? Dan mengapa pula hukuman hari ini semakin "ringan" di sebalik langkah mahu memansuhkan hukuman mati serta gesaan menghapuskan hukuman sebat? 

Tidakkah kita terfikir sesuatu yang tidak kena 10-20 tahun akan datang?

 Sdr Hafiz Mansor ialah AJK Pemuda PAS Batu

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo