NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

ICERD: Tanggungjawab Kolektif; Menteri Harus Tahu Bila Patut Diam


1. Merujuk kepada tulisan Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa bertajuk “ICERD: Absurd atau Berserk”, beliau sekali lagi mengulangi hujah ICERD sebagai peluang untuk Malaysia memperkukuh kebersamaan dunia Islam dengan masyarakat antarabangsa bagi menentang penindasan kaum. Beliau juga menegaskan bahawa secara logiknya Malaysia perlu bersetuju dengan ICERD jika kita menyatakan bahawa Perlembagaan inilah yang melahirkan keharmonian dan tiada penindasan kaum. Ironinya dalam tulisan tersebut, beliau turut memaklumkan bahawa kabinet SEBULAT SUARA membuat keputusan untuk menyatakan tidak akan menandatangani ICERD dengan menegaskan komitmen mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan yang ada di dalamnya. [1]

2. Secara peribadinya, saya melihat hujah-hujah Dr Mujahid ini hanya menunjukkan ketidak cermatan beliau dalam memahami bagaimana instrumen hak asasi antarabangsa itu berfungsi dan ini telah banyak dijawab balas oleh ramai pengamal undang-undang di luar sana. Dalam tulisan ini, apa yang saya ingin tekankan adalah apabila Kabinet telah membuat keputusan untuk tidak meratifikasi ICERD, para Menteri mempunyai tanggungjawab secara kolektif untuk tidak lagi mengeluarkan kenyataan yang berlawanan dan mengelirukan. Mereka tidak ada pilihan ketiga untuk menyatakan pertentangan pendapat secara terbuka selagi mana mereka masih menjadi Menteri.

3. Hal ini adalah suatu manifestasi kepada satu ciri penting perlembagaan yang bermodelkan Westminster iaitu prinsip akauntabiliti atau kebertanggungjawaban yang dimiliki oleh eksekutif. Walaupun dari segi praktisnya kuasa Parlimen dalam pembuatan dasar adalah sangat terhad berbanding dengan kuasa yang diberikan kepada Kabinet tetapi dari segi teori dan prinsipnya Parlimen bertanggungjawab untuk mengawasi dan menjaga Kerajaan. Oleh itu, Kerajaan adalah bertanggungjawab secara kolektif kepada Parlimen untuk setiap tindakan, keputusan, dasar dan polisi yang mahu dilaksanakan. [2]

4. Oleh kerana itulah setiap keputusan yang dibuat oleh mesyuarat Kabinet akan mengikat semua Jemaah Menteri sama ada mereka hadir atau tidak ketika mesyuarat tersebut dan mereka mesti menyatakan sokongan secara terbuka terhadap keputusan yang telah dicapai. Prinsip tanggungjawab secara kolektif dengan sebarang keputusan Kabinet menuntut Menteri yang menyatakan ketidak puasan hati secara terbuka untuk meletak jawatan kerana ianya dilihat akan mengelirukan rakyat terhadap dasar yang mahu dibawa kerajaan. Menteri tersebut juga boleh dipecat jika enggan meletakkan jawatan. [3]

5. Hal ini adalah kerana Perdana Menteri adalah orang yang dilantik oleh YDPA berdasarkan keupayaan untuk mendapatkan kepercayaan majoriti Ahli Parlimen, dan menteri yang dilantik sepatutnya terdiri daripada orang kepercayaan beliau. Jika berlaku keadaan hilang kepercayaan, tidak diyakini, tidak setia, dan tidak boleh bekerjasama dengan satu sama lain, pemerintahan negara boleh menjadi pincang dan sukar. [4] Justeru, tanggungjawab satu suara ini sangat penting untuk mengekalkan keyakinan Dewan Rakyat terhadap kredibiliti kepimpinan Perdana Menteri. Jika Perdana Menteri dilihat gagal mengawal tindak-tanduk ahli Kabinetnya, ia memberi gambaran bahawa polisi yang mahu dibawa oleh Kerajaan akan menemui kegagalan.

6. Sekiranya seseorang Menteri itu tidak berpuas hati, ianya mesti dibawa semasa mesyuarat. Selepas keputusan bersama telah dicapai, prinsip ini menuntut para Menteri yang tidak bersetuju untuk bukan sahaja diam tidak membantah, malah perlu menunjukkan sokongan positif secara terbuka kepada rakyat. [2] Prinsip ini juga memberi isyarat bahawa menteri-menteri tidak sepatutnya terburu-buru mengikut kepala sendiri dengan mengumumkan sesuatu hal itu sebagai keputusan kerajaan tanpa melalui proses Kabinet. [5] Pada masa yang sama, menjadi tanggungjawab pembangkang beragama Islam untuk mengingatkan Menteri tentang dosa peribadi yang akan ditanggung sekiranya mereka bersekongkol dengan keputusan Kabinet yang bertentang dengan prinsip dan ajaran Islam.

7. Dalam hal ini, dakwaan Dr Mujahid bahawa “peluang untuk maju ke hadapan terbantut dengan sesetengah pihak 'menculik' ruang ICERD ini dengan menunggangnya menjadi isu politik dan sentimen perkauman sempit” dilihat bertentang dengan hujah komitmen kerajaan yang mahu memelihara Perlembagaan Persekutuan. [1] Tulisan ini sangat mengelirukan dan boleh membawa kepada pandangan serong bahawa beliau tidak bersetuju dengan keputusan Kabinet. Jika beliau mahu terus bertegas dengan keperluan Malaysia meratifikasi ICERD walaupun selepas keputusan telah dibuat, beliau hanya boleh berbuat demikian selepas menghantar surat perletakan jawatan sebagai Menteri. [2]

8. Justeru, Dr Mujahid perlu belajar untuk diam selepas keputusan Kabinet telah diumumkan. Berterusan memberi komen di atas kerusi Menteri hanya akan menghakis kepercayaan rakyat terhadap keputusan yang diumumkan oleh Perdana Menteri. Hal ini kerana dari segi tindakannya memang kerajaan tidak akan meratifikasi ICERD buat masa sekarang, tetapi kenyataan-kenyataan beliau yang terus mempromosi kebaikan ICERD hanya akan menimbulkan spekulasi bahawa Menteri yang tidak bersetuju termasuklah daripada DAP dan HINDRAF boleh menghidupkan semula rancangan untuk menghapuskan Akta Hasutan 1948 dan menggantikannya dengan Akta Undang-undang Harmoni untuk menjayakan agenda yang tidak kesampaian itu. [6]

9. Melihat kepada perbezaan pandangan yang ketara antara parti-parti dan menteri-menteri yang berada dalam kerajaan seperti dalam isu ratifikasi ICERD ini, tidak peliklah jika ini boleh menimbulkan ketidakpercayaan Perdana Menteri kepada Jemaah Menterinya sendiri. [7] [8] Dalam tempoh sehingga pilihanraya yang akan datang, kita akan terus melihat sama ada nilai dan ideologi parti-parti yang bergabung dalam Pakatan Harapan ini akan larut bersama parti yang dominan demi mengekalkan kuasa ataupun akan wujudkah situasi perletakan jawatan atau pemecatan Menteri yang tidak boleh berkompromi lagi dengan keputusan Kabinet yang bercanggah dengan manifesto sebelum pilihanraya yang telah dipersetujui bersama.

RUJUKAN
[1] Datuk Seri Dr Mujahid Yusof. “ICERD: Absurd atau Beserk”. [25 November 2018]. Sinar Harian
http://www.sinarharian.com.my/karya/pendapat/icerd-absurd-atau-berserk-1.908479
[2] Michael Everett. “Collective Responsibility” [14 November 2016] Briefing Paper Number 7755, House of Commons Library
[3] Abdul Aziz Bari. “British Westminster System in Asia – The Malaysian Variation” Jan 2007, Volume 4, No. 1 (Serial No, 26) US-China Law Review
[4] Faridah Jalil. “Perlembagaan Persekutuan Menangani Cabaran Semasa dan Mendatang” dalam Jurnal Undang-undang Malaysia: 50 tahun Merentasi Zaman [2007]. Fakulti Undang-undang, Universiti Kebangsaan Malaysia
[5] “Govt ratify six treaties including ICERD early next years” [25 Oktober 2018]. Bernama.
http://www.theedgemarkets.com/article/govt-ratify-six-treaties-including-icerd-early-next-year-%E2%80%94-waytha-moorthy
[6] Tun Abdul Hamid Mohamad. “Ucaptama Terima Dengan Waspada” [25 November 2018, PWTC]. Kongres Tolak ICERD.
[7] “Pegawai Kerajaan diminta bersabar dengan Menteri”. [24 November 2018]. Berita Harian.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/11/501796/pegawai-kerajaan-diminta-bersabar-dengan-menteri-pm
[8] “Tun M akui Menteri Tak Tahu Tanggungjawab dalam Kementerian”. [24 Ogos 2018]. Sinar Harian.
http://www.sinarharian.com.my/nasional/tun-m-akui-menteri-tak-tahu-tanggungjawab-dalam-kementerian-1.871927

Muna Rime
26 November 2018
Unit Peguam Muda, Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (JUHAM), DPPM
Kluster Undang-undang, Jabatan Professional Muda (JPro), DPPM

#terusmara
#jprodppm
#kuu

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo