NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

ICERD: Diskriminasi Atau Liberalisasi?


Ulasan Oleh: Fiqri Zurani
Tarikh: 26/11/2018 (ISU:2018/04) 

The International Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination (ICERD) merupakan sebuah konvensyen antarabangsa yang bertujuan menghapuskan semua bentuk diskriminasi antara kaum. ICERD diperkenalkan pada tahun 1965 oleh United Nations General Assembly dan rangkumannya adalah berkenaan penghapusan apa-apa bentuk diskriminasi bangsa, warna kulit, keturunan atau etnik dalam perkaraperkara hak sivil, politik, ekonomi dan budaya. 

Hari ini, telah tercetus isu di Malaysia apabila Kerajaan Pakatan Harapan mengumumkan akan meratifikasi enam konvensyen hak asasi manusia antarabangsa yang masih belum ditandatangani, iaitu ICERD, Perjanjian Antarabangsa Hak Sivil dan Politik (ICCPR) dan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Penderaan dan Perlakuan atau Hukuman Lain yang Kejam, Tidak Berprikemanusiaan atau Menjatuhkan Martabat serta beberapa triti yang lain. 

Namun begitu, yang menjadi isu hangat di Malaysia adalah berkaitan ICERD sahaja. 

Sewajarnya kita perlu meneliti dan mengkaji, keseluruhan triti yang akan diratifikasi kerajaan PH, ianya turut dilihat memberikan kebimbangan yang sama seperti ICERD. Persoalannya, adakah triti tersebut akan menyelesaikan segala isu berkait diskriminasi dan eksploitasi terhadap hak asasi manusia atau floodgate kepada liberalisasi di negara kita? 

PENGALAMAN PENINDASAN EROPAH 

Sebelum membincangkan isu ICERD dan triti yang lain, baik sekiranya kita membincangkan berkenaan pengalaman gelap orang Eropah sendiri yang pada asasnya mereka yang memperkenalkan dan memperjuangkan berkenaan hak asasi manusia. Orang Eropah mengalami zaman gelap yang mundur dari segi teknologi, sains dan ilmu pengetahuan bahkan mereka sentiasa berperang antara satu sama lain dan musuh-musuh dari luar kerana keadaan negara yang tidak stabil. Kemunduran ini berpunca daripada theocratic state; pemerintah-pemerintah melakukan kezaliman atas nama agama dan penindasan tuan tanah (lord). 

Akibat daripada pengalaman zaman gelap  2 orang Eropah dan dialog dengan tamadun ilmu Islam di Granada, mereka bangkit menentang penindasan-penindasan pemerintah Theocratic State. Kebangkitan ini di atas kempen penentangan terhadap institusi politik dan agama sekaligus, yang dilihat menindas bahkan membunuh rakyat Eropah yang tidak bersama dengan gereja ketika itu. Kesan daripada kebangkitan ini, lahirlah fahaman sekularisme; memisahkan agama dan kehidupan yang mendasari pengalaman renaissance orang Eropah. 

Ketika kebangkitan di Eropah sedang berlaku, turut berlakunya penindasan ke atas golongan agamawan dan aristokrat yang dinamakan sebagai Reign of Terror, membuktikan kezaliman tetap berlaku ke atas bangsa Eropah ketika proses renaissance sedang berlaku. Bahkan, pemimpin-pemimpin selepas zaman kebangkitan turut memerintah dengan kejam seperti Benito Amilcare Andrea Mussolini yang memerintah secara diktaktor berfahaman fasis di Itali. Hal ini berlaku, kerana dalam siri-siri kebangkitan dan kegelapan orang Eropah tidak dimasukkan sacred element atau roh agama yang menjadi asbab kepada penindasan dan kezaliman terus berlaku. 

Maka, setelah berakhir Perang Dunia Ke-2, mereka menciptakan teori-teori baru yang berasaskan kepada individualistik, akibat darpada ketidakpercayaaan terhadap institusi-institusi negara dan masyarakat disebabkan pengalaman penindasan dan perperangan yang cukup lama serta perit oleh orang Eropah apabila memberikan hak kepada institusi-institusi ini. Oleh yang demikian, lahirlah gagasan Universal Declaration of Human Rights yang cuba diimplementasikan oleh mereka ke atas penduduk dunia baik barat mahupun asia pada hari ini. 


REALITI MALAYSIA BERBEZA DENGAN NATION STATE LAIN 

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengalakkan pertubuhan negara berdasarkan konsep nation-state iaitu penubuhan negara berasaskan bangsa dan dalam sempadan negara itu pastinya akan terdapat bangsa minoriti, maka ada beberapa perkara di dalam ICERD yang menyebut untuk memelihara hak bangsa minoriti tersebut. 

Berbeza dengan Malaysia, walaupun secara konsepnya Malaysia ditubuhkan berdasarkan konsep negara nation state berdasarkan sempadannya. Namun, secara realitinya Malaysia bukan sebuah negara nation state tetapi multi-racial state berdasarkan komposisi kaum yang terdapat dalam Malaysia. Sebelum penubuhan Persekutuan Tanah Melayu ini, Tanah Melayu megamalkan konsep kerakyatan rakyat sultan; yang membawa maksud kerakyatan itu diberikan kepada orang Islam Melayu yang duduk di bawah pemerintahan Sultan ketika itu. 

Tetapi, rundingan demi rundingan yang akhirnya menerima kerakyatan kaum pendatang seperti India yang bekerja di estate dan Cina yang 3 bekerja di lombong-lombong bijih timah. Bagi menjamin hak majoriti dan orang asal Tanah Melayu, maka disediakan beberapa peruntukan yang berbentuk positive discrimination di dalam perlembagaan seperti Perkara 153, Hak Tanah Rizab Melayu dan Regimen Askar Melayu Diraja. Perkara ini yang membezakan Malaysia dan Eropah yang menjawab ketidaksesuaian ICERD dan triti-triti hak asasi manusia yang lain dengan keadaan sosio masyarakat dan sosio ekonomi rakyat di Malaysia ini. 

FLOODGATE ANCAMAN LIBERALISASI 

Kebimbangan yang sering dikatakan adalah ancaman terhadap Perlembagaan Persekutuan dan Positive Discrimination yang selama ini diamalkan dalam negara kita bagi menjamin keharmonian dan kestabilan antara kaum. Namun, jarang kita membincangkan kebimbangan terbesar berkenaan triti hak asasi manusia ini kepada ancaman liberalisasi agama Islam di tanah air ini. Jika, diperhatikan usaha-usaha untuk meratifikasi ICERD ini, sebenarnya ianya sudah lama bergerak melalui NGO-NGO liberal seperti contoh COMANGO (Coalition Malaysian NGO) yang pernah membuat desakan dan tuntutan seperti berikut: 

1. Malaysia digesa untuk menandatangani International Covenant on Civil & Political Rights (ICCPR). Dalam Artikel 18 ICCPR mengandungi the rights of religious freedom (kebebasan beragama). Kebebasan untuk memilih agama atau kepercayaan termasuk hak seseorang untuk menukar agama yang dianuti. 

2. Malaysia digesa untuk menandatangani International Covenant on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination (ICERD). Implikasi perkara ini akan mengheret kepada isu perkauman dan mencabar status quo yang melibatkan kedudukan orang Melayu dan Islam di Malaysia sepertimana yang terdapat dalam Perlembagaan Malaysia dan semangat kontrak sosial. 

3. Malaysia digesa untuk mengiktiraf hak-hak Sexual Orientation and Gender Identity (SOGI) terutamanya hak-hak lesbian, gay, biseksual, transgender (LGBT). Tuntutan ini turut merangkumi kepada amalan kebebasan orientasi seksual songsang dengan hukum alam termasuk memberi kebenaran untuk mengiktiraf perkahwinan sesama jenis. 

Bahkan, perkara ini juga boleh dilihat bagaimana triti hak asasi manusia antarabangsa ini mampu untuk memberi kesan kepada institusi agama seperti yang berlaku di Arab Saudi apabila Jawatankuasa ICERD tidak berpuas hati terhadap pengecualian yang dibuat oleh Arab Saudi berkenaan Perundangan Syariah Islam. Bahkan, di Malaysia peruntukan berkenaan seorang penganut agama Islam tidak boleh berkahwin dengan seseorang bukan Islam kecuali seorang ‘kitabiyah’ turut boleh ditafsirkan sebagai tindakan diskriminasi terhadap penganut agama lain, jika Jawatankuasa ICERD mencabar peruntukan ini maka ianya akan membuka kepada ancaman pluralisme yang bertentangan dengan syariah Islam. 

KESIMPULAN 

Hakikatnya di Malaysia, kita tidak pernah mengamalkan sebarang diskriminasi negatif terhadap penduduk bangsa dan agama lain dalam amalan bermasyarakat. Tindakan meratifikasikan triti-triti hak asasi manusia ini tanpa menganalisis kesannya kepada negara, ianya dilihat akan menganggu gugat keluhuran Perlembagaan Persekutuan ini yang sudah lama menjaminkan keadilan dan keharmonian rakyat Malaysia. Kita juga perlu berwaspada, biarpun Kerajaan Pakatan Harapan tidak akan meratifikasikan ICERD ini berdasarkan kenyataan media Perdana Menteri, namun usaha-usaha ke arah proses liberalisasi ini semakin giat dijalankan melalui gerakan-gerakan NGO, individu bahkan kita juga perlu mengambil cakna terhadap triti-triti berbaki yang dilihat memberikan kesan negatif terhadap institusi Islam di negara ini. 

Juteru itu, penting untuk kita memahami gambaran besar isu ini agar tidak terperangkap dengan sentimen perkauman semata-mata dan menentang sebarang usaha-usaha yang cuba menganggu gugat Islam dan keharmonian negara ini. 

*Fiqri Zurani merupakan penganalisis junior di Islamic Institute of Independent Research on Democracy. Ulasan yang ditulis beliau merupakan ulasan daripada Wacana Politik Malaysia dan Pemikiran Islam (Siri 4) yang bertajuk ICERD: Diskriminasi atau Liberalisasi pada 21 November 2018 di Maktabah Al-Balaghul Mubin, Rawang.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo