NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Himpunan 812: Polis tutup enam jalan utama



KUALA LUMPUR, 28 Rabiulawal 1440H, Khamis – Polis akan menutup enam jalan di ibu negara sempena Himpunan 8 Disember (Himpunan 812) di Dataran Merdeka, mulai jam 6 pagi, Sabtu ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, tindakan itu dibuat bagi memberi ruang kepada peserta berhimpun di Jalan Raja berdepan bangunan Sultan Abdul Samad selain mengelak kesesakan lalu lintas.

Katanya, jalan yang terbabit ialah Jalan Sultan Hishamuddin (sebelum terowong), Leboh Pasar, Jalan Tun Perak (bermula di stesen LRT Masjid Jamek), Jalan Tuanku Abdul Rahman (berhampiran Sogo), Jalan Raja Laut (berhampiran Summit Hotel) dan Bulatan Dato' Onn (berhampiran Bank Negara).

"Kami menasihatkan orang ramai yang akan menghadiri perhimpunan ini menggunakan pengangkutan awam bagi mengelak kesesakan dan tidak meletakkan kenderaan di bahu jalan kerana akan mengganggu lalu lintas," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Katanya, tindakan tunda dan saman akan dikenakan kepada kenderaan yang melanggar peraturan, undang-undang serta arahan pihak berkuasa.

Beliau turut menasihatkan peserta perhimpunan agar mematuhi Akta Perhimpunan Aman 2012, tidak mencetuskan provokasi selain tidak menularkan spekulasi yang menjejaskan ketenteraman awam di media sosial.

"Peserta perhimpunan juga dinasihatkan tidak membawa sebarang senjata yang berbahaya, tidak merekrut atau membawa kanak-kanak dan mematuhi arahan anggota polis yang bertugas," katanya.

Beliau berkata, bagi memastikan keadaan keselamatan dan ketenteraman awam pada tahap tertinggi serta tiada sebarang insiden berlaku sebelum, semasa dan selepas perhimpunan, polis telah menyediakan kekuatan anggota dan pegawai secukupnya.

Sementara itu, beliau berkata, polis akan memantau perarakan dari Masjid Wilayah Persekutuan membabitkan persatuan silat yang akan menyerahkan memorandum berkaitan ICERD di Pintu 3 Istana Negara antara 10 pagi hingga 12 tengah hari, Sabtu ini.

Sekiranya ada sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di talian 03-26002222, IPD Brickfields di talian 03-22979268, dan pusat kawalan polis Kuala Lumpur di talian 03-21460532(sambungan 584/585) atau mana-mana balai polis berhampiran. – Bernama


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo