Bajet 2019 Terengganu : Industri Silika Terengganu Sedia Lebih 7,000 Peluang Kerja



KUALA TERENGGANU, 26 November - Kerajaan negeri telah mengisytiharkan kawasan seluas 4,000 hektar di Kampung Jambu Bongkok, Marang sebagai Lembah Silika Terengganu yang bakal menyediakan lebih 7,000 peluang pekerjaan kepada rakyat negeri Terengganu dengan nilai pelaburan berjumlah RM13 billion. 

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran Negeri, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar berkata, industri silika berpotensi besar menarik minat pelabur dari dalam dan luar negara sekali gus bertindak sebagai penggerak ekonomi Negeri Terengganu dan penjanaan pendapatan kerajaan negeri.

Katanya, sehingga kini lebih 50 pelabur termasuk dari China, Taiwan, Korea dan tempatan menunjukkan minat kepada industri silika.

"Rata-rata pelabur yang mencari peluang pelaburan di negeri ini lebih berminat kepada industri silika yang mana taburan deposit silika di negeri ini terdapat di seluruh daerah kecuali Hulu Terengganu," ujarnya. 

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Alias Harun (PAS-Rantau Abang) berkaitan status terkini projek industri silika di Lembah Silika, Kampung Jambu Bongkok dalam sesi soal jawab lisan sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Ke-14 di Wisma Darul Iman, hari ini.

Menurut beliau, kerajaan negeri juga akan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Petronas pada 6 Disember ini bagi penyaluran dan pembekalan gas dari Santong, Paka ke tapak Lembah Silika Terengganu yang akan menjadi kawasan perindustrian bersepadu dan tempat pemprosesan produk-produk akhir yang berasaskan silika.

"Ini perlukan masa kerana melibatkan pengambilalihan tanah penduduk dan sebagainya. InsyaAllah, kilang pertama akan dibina di tapak ini pada 2020," ujarnya.

Tengku Hassan berkata, di bawah portfolionya juga satu pasukan khas telah ditubuhkan untuk menarik minat syarikat dari dalam dan luar negara melabur di negeri ini khususnya di Lembah Silika Terengganu.

Katanya, kajian juga akan dilakukan untuk mengenalpasti dan menentukan lokasi mana yang mempunyai taburan deposit silika yang paling banyak di negeri ini.

Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget