NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PTPTN: Peminjam gaji kurang RM4,000 kena bayar juga



ARAU, 19 Safar 1440H, Ahad – Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) perlu membayar pinjaman mereka mengikut prosedur sedia ada sebelum agensi berkenaan memperkenalkan dasar baharu mengenainya.

Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan berkata, bagi merealisasikan satu dasar baru dalam agensi kerajaan, ia memerlukan perbincangan di peringkat kementerian dan Kabinet menteri.

"Sementara menunggu kertas cadangan mengenai mekanisme baru siap sepenuhnya, para peminjam perlu meneruskan pembayaran mengikut kaedah dan jumlah yang mereka bayar sebelum ini seperti biasa.

"Peminjam yang bergaji kurang daripada RM4,000 sebulan juga perlu melunaskan pinjaman itu tanpa ada sebarang pengecualian," katanya ketika ditemui di Pusat Transformasi Nelayan, Kuala Sungai Bahru, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai rungutan dalam kalangan peminjam apabila menerima notis pemberitahuan pembayaran balik pinjaman PTPTN seperti biasa meskipun ada dalam kalangan mereka bergaji bulanan kurang RM4,000.

Dalam pada itu, Wan Saiful berkata, kertas cadangan mengenai dasar baharu PTPTN itu telah diluluskan oleh Kementerian Pendidikan dan Kewangan.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya kini hanya menanti penilaian oleh pihak Kementerian Hal Ehwal Ekonomi sebelum dibawa ke Kabinet untuk diluluskan.

Sebelum ini, Wan Saiful mendakwa PTPTN sudah menemui mekanisme baru ke arah merealisasikan manifesto Pakatan Harapan untuk menangguhkan pembayaran semula PTPTN sehingga gaji peminjam mencecah RM4,000.

Antara intipati yang diterapkan dalam mekanisme itu ialah, menggalakkan pembabitan sektor swasta dan kerajaan dalam membantu peminjam.




No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo