PAS minta masukkan RUU355 dalam senarai akta dipinda



BANGI, 19 Safar 1440H, Ahad – PAS menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) membuat pertimbangan sewajarnya supaya Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU355 termasuk dalam senarai akta yang akan dipinda dalam sesi mesyuarat Parlimen akan datang.

Ketua Penerangan PAS, Ustaz Nasrudin Hassan berkata, pertimbangan itu sebagai tanda komitmen kerajaan mengangkat institusi Mahkamah Syariah dan memperbaharui undang-undang berkaitan jenayah syariah di negara ini.

"Berdasarkan maklumat yang diperolehi, pihak Kerajaan Persekutuan telah menyenaraikan secara keseluruhan 133 undang-undang yang akan dimansuh, dipinda dan digubal oleh kementerian-kementerian dalam sesi mesyuarat Parlimen kali ini dan akan datang.

"PAS menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong membuat pertimbangan sewajarnya supaya Akta 355 disenaraikan antara akta yang bakal dipinda," katanya dalam satu kenyataan.

RUU355 antara lain adalah untuk meminda Seksyen 2 untuk menggantikan peruntukan dalam undang-undang sedia ada, iaitu Mahkamah Syariah akan mempunyai kuasa ke atas umat Islam dan dalam kesalahan di bawah perkara yang disenaraikan dalam butiran 1 Senarai Negeri, di bawah jadual kesembilan Undang-undang Persekutuan.

Ia juga bagi memasukkan Seksyen 2A, iaitu dalam menjalankan undang-undang jenayah mengikut Seksyen 2, Mahkamah Syariah berhak menjatuhkan hukuman dibenarkan undang-undang syariah berkaitan hal-hal kesalahan yang disenaraikan di bawah seksyen disebutkan, kecuali hukuman mati.

Selain itu, Nasrudin turut meminta supaya RUU baharu yang akan digubal mestilah dipaparkan sekurang-kurangnya dua minggu sebelum dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

Rabu lalu, Vui Keong berkata, kerajaan PH bercadang memansuh, memperkenal serta meminda kira-kira 117 akta sebagai langkah reformasi undang-undang di negara ini.

Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget