NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Konflik 2.0 Antara Dr Mahathir Dan Anwar


1. Pusat Penyelidikan PAS (PPP) menjangkakan akan berlaku satu lagi konflik antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Dato Seri Anwar Ibrahim sekiranya calon Pakatan Harapan (PH) tersebut memenangi Pilihanraya Kecil Port Dickson hujung minggu ini. Jika Anwar menang dalam PRK ini, beliau hanya tinggal satu takuk untuk 'menjolok' Dr Mahathir jatuh.

2. Tidak dapat ditolak, sekiranya Anwar menang dalam PRK Port Dickson, akan ada desakan yang kuat daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk membawa Anwar semula dalam kabinet Dr Mahathir, dan jawatan yang paling layak untuk Anwar ketika ini ialah Timbalan Perdana Menteri. Berikutan dengan itu, PPP meramalkan akan berlaku rombakan kabinet selewat-lewatnya hujung tahun ini.

3. Dengan posisi Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri dan Anwar sebagai timbalannya, memungkinkan persaingan antara kedua-dua mereka bertambah sengit, mengulangi semula konflik keduanya yang memuncak pada bulan September 1998. Sejarah telah memperlihatkan, meskipun pada 31 Ogos 1998, Dr Mahathir dan Anwar duduk sepentas dan kelihatan begitu mesra semasa menyambut Hari Kebangsaan ke-41, beberapa hari kemudian konflik kedua-dua mereka tercetus.

4. Sesuatu yang menarik jika konflik antara kedua tokoh ini tercetus semula, ia berlaku selepas dua dekad sejak konflik kali pertama berlaku pada 1998. Lebih menarik lagi, jika Konflik 1.0 berlaku ketika Dr Mahathir menguasai BN sebagai kerajaan, Konflik 2.0 ini pula berlaku ketika Anwar menguasai PH (dengan bilangan kerusi terbanyak) sebagai kerajaan. Seolah-olah Konflik 2.0 ini adalah 'perlawanan timbal-balik' kepada apa yang berlaku pada tahun 1998.

5. Sebagaimana pada tahun 1998, konflik antara Dr Mahathir dan Anwar akan menatijahkan ketidakstabilan politik, PPP turut mengunjurkan perkara yang sama akan berlaku jika konflik itu berulang pada kali ini. Ia hanya dapat dielakkan jika salah seorang dari mereka beralah, iaitu Dr Mahathir meletakkan jawatan atau Anwar menunggu sehingga Pilihanraya Umum ke-15 akan datang untuk dinobatkan sebagai Perdana Menteri ke-8.

6. Sekiranya rakyat menoleh semula kepada sejarah konflik mereka berdua, sememangnya sukar untuk menyingkap lakonan-lakonan kedua tokoh ini di atas pentas yang kelihatan berseloroh dan berjenaka antara satu sama lain. Beberapa hari kemudiannya mereka berperang besar sehingga rakyat turut diheret sama ke dalam konflik itu bertahun-tahun lamanya. Satu kaedah yang paling baik untuk mengelakkan konflik ini segera berlaku ialah dengan menyekat Anwar menang di Port Dickson.


Dr Mohd Zuhdi Marzuki
Pengarah PPP

8 Oktober 2018
28 Muharram 1440

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo