NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Guan Eng diberi 24 jam perjelas kerjasama kerajaan, Grab




PUTRAJAYA, 8 Safar 1440H, Rabu – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng diberi tempoh 24 jam bagi menjelaskan perbincangan antara kerajaan dengan Grab berhubung perkhidmatan pengangkutan perantara ke stesen Projek Transit Aliran Massa (MRT).

Penasihat Big Blue Taxi Facilities Sdn Bhd, Datuk Shamsubahrin Ismail yang mewakili persatuan pemandu teksi berkata, isu tersebut yang dibangkitkan oleh Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Tony Pua, perlu diselesaikan segera bagi membela nasib pemandu teksi.

Sebelum ini, Tony Pua membuat kenyataan bahawa tiada gantian mahupun pembatalan membabitkan kemudahan bas perantara sedia ada ke stesen MRT, namun, pihaknya kini bakal menawarkan perkhidmatan tambahan buat pengguna yang membabitkan Grab.

Susulan itu, Shamsubahrin mempersoalkan mengapa kenyataan demikian dikeluarkan oleh Tony Pua, bukan daripada Guan Eng sendiri.

"Kalau Grab sahaja dibenarkan, apa akan jadi kepada pemandu teksi yang pagi sampai malam beratur guna meter di semua MRT dan LRT (Transit Aliran Ringan)?

"Kita tidak boleh bercakap dengan Tony Pua atau yang lain. Kita kena bercakap dengan Lim Guan Eng kerana isu ini dibangkitkan Setiausaha Politiknya.

"Kenapa Setiausaha Politik lebih berkuasa dari Lim Guan Eng. Adakah dia mempunyai kuasa untuk bercakap mengenai semua perkara ini?" katanya pada sidang media selepas menyerahkan memorandum bantahan berkaitan perkara itu di Kompleks Kementerian Kewangan di sini, hari ini.

Memorandum bantahan diserahkan kepada Setiausaha Bahagian Strategi Korporat dan Komunikasi Perbendaharaan Malaysia, Suhaili Ahmad.

Kira-kira 300 pemandu teksi berkumpul di hadapan bangunan Kompleks Kementerian Kewangan di sini hari ini bagi membantah perbincangan antara kerajaan dengan Grab berhubung perkhidmatan pengangkutan perantara ke stesen MRT.

Dalam pada itu, Shamsubahrin berkata, sekiranya Guan Eng gagal memberi penjelasan dalam tempoh 24 jam, pemandu teksi akan mengadakan piket di seluruh negara.

"Kita harapkan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 akan berlaku perubahan kepada nasib pemandu teksi yang sering ditindas, tetapi sekarang ini lagi teruk jadinya," katanya.

( Hide )

© all rights reserved
made with by templateszoo