NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tunai Janji Bukan Kereta Nasional – Rafizi


Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mengkritik cadangan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang berhasrat untuk membangunkan kereta nasional ketiga bakal mengundang sinis rakyat.

Sebaliknya kata Rafizi, ketika masih diberi peluang oleh rakyat, kerajaan PH harus memberi tumpuan kepada usaha menunaikan segala janji yang terkandung dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Tambah Rafizi lagi, kereta nasional ketiga yang sangat diinginkan kerajaan PH dan bakal dilancarkan pada tahun 2020 tidak termaktub dalam manifesto PH.

Bukan itu saja, projek itu juga dikhuatiri bakal mendatangkan impak kewangan yang besar kepada negara menerusi pelaburan bakal dibuat daripada dana awam.

Katanya, projek yang mendapat tentangan sebahagian besar rakyat itu turut menimbulkan persoalan sama ada dasar PH untuk menghapuskan cukai eksais yang dikenakan ke atas penjualan kereta akan diteruskan.

"Tidak ada mana-mana bahagian dalam kempen atau manifesto PH yang menyelitkan usaha mewujudkan perusahaan kereta nasional ketiga.

"Adakah Kerajaan Persekutuan berhasrat menghapuskan cukai eksais untuk mengurangkan harga kereta apabila kereta nasional ketiga dilancarkan?.

"Apabila Menteri Pembangunan Usahawan (Mohd Redzuan Yusof) menetapkan tempoh masa khusus iaitu pelancaran projek menjelang 2020, saya tertanya-tanya sama ada perancangan khusus yang menilai kesan kewangan kepada negara dijalankan," katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.

Rafizi yang juga bekas Ahli Parlimen Pandan, berkata pelaksanaan projek berkenaan sepatutnya dibincangkan terlebih dahulu dalam mesyuarat Majlis Presiden PH untuk mendapat persetujuan bersama parti komponen sebelum ia diputuskan.

"Keputusan yang membabitkan perkara dasar mestilah diperhalusi secara prinsipnya di peringkat PH sebelum boleh dilaksanakan melalui Jemaah Menteri.

"Sementara rakyat masih memberi peluang kepada PH untuk melaksanakan janji manifesto (walaupun ada yang tidak dapat dilaksanakan dalam tempoh 100 hari), melaksanakan sesuatu yang tidak popular dan bertentangan dengan tawaran PH akan mengundang rasa sinis rakyat.

"Untuk mengurangkan sindiran dan serangan ke atas Kerajaan Persekutuan, saya menyeru supaya perkara ini dipertimbangkan semula," katanya.- Watan Online

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo