Mualaf luah kekecewaan tawaran gaji RM4,800 sebulan tapi...

BANGI, 14 Zulhijjah 1439H, Ahad – Seorang pengguna media sosial yang juga mualaf, semalam, meluahkan kekecewaan apabila disyaratkan membuka tudung dan memakai skirt pendek, jika mahu jawatan penolong pengurus sebuah hotel lima bintang dengan gaji RM4,800.

"Beratnya ujian tuhan. Cerita pagi tadi.. saya pergi temuduga. Ditawarkan jawatan Asst Manager di sebuah hotel 5 star ..gaji basic 4,800.. Tapi syarat oleh HR Manager tu tak boleh pakai tudung dan kena pakai skirt atas lutut.

"Negara islam tapi kita ditekan dengan undang-undang yahudi, Sarah terus tolak, Geram sangat. Mungkin kawan-kawan sarah juga pernah kena macam n." Demikian dakwa Sarah Lee Agang, tanpa menyebut nama hotel terbabit, tetapi menyatakan ianya terletak di pusat bandar Kuala Lumpur.

Pengurus sumber manusia hotel itu juga, kata Sarah adalah seorang muslim.

Sehubungan itu, Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) kesal kerana senario penindasan yang masih berulang terhadap wanita bertudung dalam industri perhotelan.

Presiden WAFIQ, Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar dalam satu kenyataan hari ini berkata, seorang wanita muslimah telah mengalami satu pengalaman yang buruk ketika menghadiri temu duga di sebuah hotel bertaraf lima bintang.

Dr Rafidah berkata, sangat jelas bahawa hotel berkenaan telah mengamalkan diskriminasi kepada wanita muslimah di tempat kerja.

"Pemohon wanita tersebut telah pun ditawarkan pekerjaan bermakna beliau mempunyai kelayakan namun, pihak hotel mengenakan syarat pakaian yang jelas mendiskriminasi wanita muslimah. Ini bukanlah kali pertama kes-kes sebegini berlaku.

"WAFIQ menggesa agar Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran untuk mengambil perhatian dan tindakan tegas ke atas pihak hotel atau mana-mana industri yang mengamalkan diskriminasi ini.

"Mereka perlu membela nasib ratusan lagi pekerja wanita di hotel yang dinafikan dari memakai tudung walaupun mereka setia bekerja bertahun-tahun dan amat berpengalaman," katanya.

Tahun lalu, WAFIQ pernah menerima aduan daripada seorang kakitangan hotel yang berkhidmat di bahagian pengurusan, di mana tidak terikat dengan tugas kaunter depan, tetapi masih dikenakan polisi sama iaitu dilarang bertudung.

Pada masa sama, Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) turut mengenai pasti lebih 20 hotel bertaraf lima dan enam bintang di ibu negara yang mengenakan larangan pemakaian tudung terhadap pekerja wanita yang berkhidmat di bahagian kaunter hadapan.

Bagaimanapun, setelah berbulan lamanya dikecam pelbagai pihak kerana menguatkuasakan prosedur operasi standard (SOP) melarang pekerja wanita beragama Islam bertudung, 13 hotel di Semenanjung akhirnya bersetuju menarik balik peraturan itu.