NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Isu hak milik tanah 999 tahun: MB Perak tegur Aziz Bari



TAPAH, 10 Zulhijjah 1439H, Rabu – Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu menegur Dr Abdul Aziz Bari, susulan kenyatan berhubung status hak milik 999 tahun tanah kampung baru, yang dilihat bercanggah dengan keputusan kerajaan negeri.

Beliau berkata, sesiapa saja boleh memberi pandangan terbuka kepadanya, termasuk Aziz, EXCO Pendidikan, Sains, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Penerangan.

Namun, katanya, dalam sesetengah hal, ia perlu dibuat secara tertutup kerana kenyataan yang diutara boleh memberikan pandangan yang tidak baik kepada rakyat.

"Saya akui tidak gembira dengan kenyataan Aziz yang memberi pandangan berbeza dengan kerajaan negeri melalui media.

"Kerana dalam mesyuarat EXCO, sesiapa boleh memberi pandangan secara terbuka dan tertutup dalam pejabat saya, bila-bila masa tapi bukan secara umum.

"Tapi saya fikir ini pengalaman baru bagi ramai orang termasuk saya dan perkara ini boleh dibaiki, cuma jangan tunjuk perbalahan dan perbezaan pandangan itu secara umum, itu tidak bagus," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Ibadah Korban Sempena Hari Raya Aidiladha di Masjid Al-Mukmin, Kampung Batu 3 Chenderiang, di sini, hari ini.

Ketika ditanya sama ada beliau menerima desakan daripada pemimpin PH lain berhubung isu milikan tanah berkenaan, Ahmad Faizal berkata, beliau tidak menerima sebarang tekanan.

Pada masa sama, beliau juga yakin isu itu dapat diselesaikan segera kerana kerajaan negeri akan mengadakan sebuah bengkel bagi membincangkan pelaksanaan semua manifesto PH di Perak termasuk membabitkan isu tanah.

Terdahulu, ketika sesi penggulungan perbahasan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Ahmad Faizal berkata, kerajaan negeri menetapkan pendirian bahawa cadangan memberikan status hak milik tanah 999 tahun atau hak milik kekal kepada kampung baru bercanggah dengan Perlembagaan dan tidak dapat dilaksanakan.

Bagaimanapun, perkara itu menimbulkan rasa kurang senang beberapa pemimpin PH negeri termasuk Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming.

Ahmad Faizal menjelaskan, hal berkaitan tanah adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan menegaskan bahawa pendirian pemberian status tanah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan adalah salah sama sekali.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo