Gabung KWSP, PERKESO Undang Kepincangan


KUALA LUMPUR – Cadangan menggabungkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dikhuatiri mengundang kepincangan dalam menjana pulangan jangka panjang serta mekanisme caruman.


Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor, berkata kedua-dua agensi itu 'lahir' menerusi pentas sama iaitu Konvensyen Organisasi Buruh Antarabangsa (ILO) 1952 (102) berkaitan keselamatan sosial (standard minimum).

Bagaimanapun, katanya, ia terpisah mengikut tanggungjawab berbeza apabila KWSP diberi mandat menyelia dana persaraan atau simpanan hari tua, manakala PERKESO menguruskan hal ehwal keselamatan sosial dan pekerja.


"Wujud beberapa perbezaan bidang kuasa dan tugas kerana Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) diletakkan mengikut seliaan Kementerian Sumber Manusia, manakala Akta KWSP 1991 (Akta 452) dikendalikan Kementerian Kewangan.

"Lebih baik semua pihak terbabit iaitu Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Kewangan, KWSP dan PERKESO duduk berbincang sebelum sebarang cadangan diutarakan berhubung langkah menggabungkan kedua-dua agensi berkaitan pekerja ini.

"Cadangan sewajarnya disusuli perincian teknikal, mencakupi mekanisme penggabungan supaya ia tidak mengundang sebarang spekulasi dan kegusaran, khususnya dalam kalangan pencarum," katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran, pada 3 Julai lalu, dilaporkan berhasrat mencadangkan PERKESO dan KWSP, masing-masing dengan dana bernilai RM26 bilion serta RM800 bilion setakat tahun lalu, digabungkan susulan kedua-duanya dikatakan menjalankan peranan sama.

Selain itu, Kulasegaran menyuarakan keyakinan langkah penggabungan agensi berkenaan berupaya kadar penjanaan pelaburan untuk manfaat pencarum, sekali gus menyediakan lebih menyeluruh terhadap pekerja.

Menyanggah kenyataan itu, Abdul Halim berkata, PERKESO dan KWSP memainkan peranan berlainan, malah wujud perbezaan ketara dalam mekanisme caruman serta kadar pulangan untuk pelbagai kegunaan pekerja.

Katanya, PERKESO menetapkan kadar siling gaji iaitu RM4,000 yang menyaksikan pekerja dikenakan caruman berkadar 0.5 peratus, manakala majikan sebanyak 1.75 peratus demi melindungi pelbagai aspek keselamatan sosial.

"PERKESO tidak menjanjikan sebarang pulangan dalam bentuk dividen kepada pencarum, sebaliknya memberikan sejumlah peruntukan jika wujud keperluan mengikut peruntukan Seksyen 2(6) dan Seksyen 24(1), masing-masing berkaitan perlindungan waktu perkhidmatan serta dalam perjalanan ke tempat kerja.

"KWSP pula tidak menetapkan sebarang siling caruman, sebaliknya mengenakan kadar 11 dan 13 peratus, masing-masing untuk pekerja serta majikan, selain menjanjikan pulangan dividen sekurang-kurangnya enam peratus kepada pencarum.

"Jadi, berdasarkan pertimbangan mengikut peranan kedua-dua agensi ini, wujud kemungkinan KWSP satu badan baharu pasca penggabungan berdepan kepincangan memberi pulangan lebih baik kepada pencarum kerana dibebani tanggungjawab menyelia komitmen membabitkan keselamatan sosial pekerja," katanya. – BH ONLINE

Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget