NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Basilan Perlukan Sentuhan Ekonomi 



Hari ini rombongan berjaya melaksanakan penyembelihan binatang qurban bermula jam 8 pagi. Daging-daging qurban dibahagikan kepada penduduk dhaif sekitar pantai Basilan. Sdr Tony yang juga mewakili United Bangsamoro Justice Party (UBJP) berkata bahawa perkampungan tersebut adalah penempatan yang diberikan kepada penduduk yang terbakar rumah mereka sekitar beberapa tahun lalu. Pemberian geran tanah kekal di kawasan bukit tidak dapat dilaksanakan selagi tanah adat Bangsamoro tidak diberikan hak secara undang-undang oleh Manila. Prosesnya amat rumit. Mereka cuma dibenarkan berada di tepi pantai dan hidup dalam rumah air.

Perbincangan kami bersama En Jim S. Hataman Sulliman amat menarik, dimana peluang-peluang ekonomi amat mendesak bagi mereka yang hidup di pulau Basilan tersebut. Dengan jumlah penduduk melebihi 400 ribu, En Jim yang dilantik sebagai Gabenor Basilan mengalu-alukan agensi luar untuk terus melabur di wilayah mereka. Tanah untuk tanaman getah dan sawit amat luas untuk diusahakan. Selain itu, sumber petroleum dikatakan wujud di kepulauan Mindanao dan Sulu, cuma belum diterokai sepenuhnya kerana suasana gawat yang berlaku di perairan sana. 

Kami kemudian, membuat kunjungan hormat ke rumah Ustaz Dr Mujahid, Timbalan Presiden Majlis Ulama Basilan dan Pegawai Eksekutif Darul Iftah ARMM yang berasal dari Basilan. Beliau fasih berbahasa Arab dan English, berkelulusan dari Libya. Begitu bersemangat beliau mengutarakan idea penyatuan ummah dan Bangsamoro. Beliau adalah antara ulama penting dalam proses pembangunan semula Mindanao terutamanya di era peralihan kuasa autonomi antara Bangsamoro dan Manila. 

Akhir sekali kami juga diberi peluang untuk menziarahi sebuah kolej pengajian termasyhur di Basilan. Basilan State College adalah sebuah pusat pengajian tinggi bertaraf universiti kepada penduduk Basilan. Seramai 5000 pelajar anak-anak muda Basilan belajar di sini dalam pelbagai kursus kemahiran. Kami sempat beramah mesra dengan Presiden kampus, En Nasseer. Kejayaan yang beliau telah pacu sejak dua penggal menjadikan BaSC sebagai sebuah kolej yang terulung di Basilan buat ketika ini. 

Semoga Basilan terus maju dan berkat. 

Catatan 
Dr Suhazeli Abdullah 
Suhazeli.Com 
Fb.Com/drsuhazeli 

Ketua Delegasi #QurbanImanCare
#QurbanMindanao2018

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo