RUU355: Najib Tarik Balik Saman Terhadap Pua


KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menarik balik samannya terhadap Anggota Parlimen Damansara Tony Pua Kiam Wee berhubung klip video berkaitan pembentangan Rang Undang Undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU355.

Ini berikutan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab membenarkan permohonan Najib untuk menarik balik samannya tanpa kebebasan plaintif memfailkan semula kes yang mempunyai asas sama dengan tuntutan samannya itu dan memerintahkan Najib membayar kos RM30,000 kepada Pua, selaku defendan dalam kes tersebut.

Najib sebelum ini memohon untuk menarik balik saman itu bagaimanapun Pua membantah atas alasan beliau telah diberi kebenaran oleh Mahkamah Persekutuan untuk merayu terhadap perintah injunksi yang diperoleh Najib dan turut mempersoalkan notis kehakiman yang menyatakan Najib tidak melakukan salahlaku melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan notis kehakiman itu dipersoalkan kerana ia melibatkan kepentingan awam serta boleh menjejaskan kes saman yang lain.

Mohd Zaki dalam keputusannya berkata penarikan balik kes saman berkenaan tidak membawa prejudis yang besar terhadap Pua dan mahkamah juga mendapati plaintif (Najib) tidak mendapat faedah yang jelas daripada permohonan interlokutari (injunksi sementara) yang dibuatnya.

"Di dalam kes ini, plaintif mengemukakan permohonan interlokutari iaitu injunksi sementara yang menghalang defendan daripada terus menerbitkan dan menyiarkan video atau kata-kata seumpama yang menjadi perkara pokok tuntutan fitnah tersebut.

"Tidak ada faedah sebenar diperoleh plaintif daripada injunksi tersebut kecuali berjaya menghentikan pengulangan penyiaran video atau kata-kata demikian, yang menyentuh reputasi plaintif kerana perkara itu berkait secara langsung dengan asas tuntutannya," kata hakim itu.

Prosiding hari ini dihadiri peguam Nor Hazira Abu Haiyan mewakili Najib manakala Tan Ch'eng Leong bertindak bagi pihak Pua.

Pada 14 Feb lepas, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Pua untuk membatalkan injunksi sementara diperoleh Najib yang melarangnya (Pua) daripada terus menerbitkan kenyataan dan klip video fitnah terhadap bekas perdana menteri itu, mengambil kira notis kehakiman berhubung kedudukan Najib dalam kes 1MDB.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan itu berkata mahkamah berpendapat dan mengambil kira notis kehakiman bahawa secara faktanya Najib tidak melakukan apa-apa kesalahan dalam isu membabitkan 1MDB dan mengambil maklum bahawa keseluruhan isu berkenaan telah diteliti dan disiasat oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Menurut panel itu, siasatan turut dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia, Bank Negara dan Jabatan Peguam Negara (AGC), yang keputusannya diumumkan kepada orang ramai oleh AGC bahawa Najib tidak melakukan sebarang kesalahan berhubung dakwaan berkaitan 1MDB.

Pada 21 April 2017, Najib atas kapasiti peribadinya menyaman Pua atas dakwaan memfitnah berhubung kenyataan Pua dalam klip video berkaitan pembentangan Rang Undang Undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

Dalam pernyataan tuntutan, Najib mendakwa Pua telah membuat satu kenyataan di ruang legar Bangunan Parlimen pada 6 April 2017, yang telah dirakam dan dimuat naik oleh defendan dan/atau ejen-ejennya dalam Facebook rasminya 'Tony Pua' serta mendakwa klip video berdurasi dua minit dan 21 saat itu bertajuk "BN Govt abandons all Bills to give precedence to PAS RUU355 Private Member's Bill", boleh diakses dan ditonton secara meluas dan mudah di internet.

Dakwanya, kenyataan dalam 'live video' itu mengandungi perkataan yang merujuk secara spesifik kepadanya dan membawa maksud bahawa beliau telah menyalahgunakan kuasa dengan memberi arahan melalui Kabinet kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat agar memberi laluan kepada Anggota Parlimen Marang untuk mengusulkan Rang Undang-Undang Persendirian dan mengetepikan Rang Undang-Undang yang lain.

Ini adalah kali keenam Najib bertindak untuk tidak meneruskan samannya, selepas beliau menarik balik samannya, masing-masing terhadap bekas Presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik pada 22 Mei serta Pua dan pemilik portal Mediarakyat.net, Chan Chee Kong pada 28 Mei berhubung isu 1MDB.

Pada 1 Jun lepas, beliau juga telah menarik balik saman yang difailkannya terhadap Harakah dan Harakahdaily berhubung isu sama iaitu 1MDB manakala pada 20 Jun lepas, Najib dan Setiausaha Kerja UMNO Datuk Ab Rauf Yusoh menarik balik saman fitnah terhadap Mkini Dotcom Sdn Bhd dan dua yang lain berhubung siri posting pembaca yang diterbitkan dalam portal itu pada 2014.

Pada 26 Jun, Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor menarik balik saman fitnah mereka terhadap Naib Presiden PKR Mohd Rafizi Ramli dan pemilik sebuah portal berita berhubung subsidi minyak.

Oleh itu keenam-enam saman yang difailkan oleh Najib semasa beliau menjadi perdana menteri selesai selepas beliau menarik balik semua kes saman tersebut. – BERNAMA
Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget