NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Parlimen: Timbalan Speaker Dewan Rakyat Panik? 




Ternyata bukan mudah untuk kerajaan Pakatan Harapan (PH) berdepan asakan Barisan Nasional (BN) yang kali pertama tampil sebagai pembangkang di Dewan Rakyat.

Perjalanan persidangan pertama penggal pertama Parlimen Ke-14 yang bermula pagi Rabu menampakkan kepincangan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon mempengerusikan persidangan yang masih teraba-raba untuk menggunakan peraturan.

Malah, dua bekas Timbalan Speaker yang berada dalam kepemimpinan UMNO iaitu, Datuk Seri Ronald Kiandee (BN-Beluran) dan Datuk Seri Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) bangkit bangun memperbetulkan Mohd Rashid berhubung peraturan dewan.

Kekecohan itu bermula berhubung isu 'samseng' apabila Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) menyifatkan beberapa ahli Pemuda UMNO yang didakwa menyerang mendiang Karpal Singh di Dewan Rakyat suatu ketika dulu sebagai samseng.

Ramkarpal berkata demikian ketika mencelah perbahasan mencadangkan menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V semasa pembukaan penggal pertama Parlimen oleh Datuk Johari Abdul (PH-Sungai Petani).

Tindakan tersebut telah mengundang rasa tidak puas hati wakil rakyat pembangkang dengan Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) bangkit meminta supaya Ramkarpal menarik semula perkataan 'samseng' yang disifatkan sebagai biadab serta tidak menghormati dewan.

Ekoran itu, Ismail bangkit mengemukakan peraturan mesyuarat 36(4) kepada Mohd Rashid membuat satu perintah (ruling) supaya Ramkarpal menarik semula perkataan tersebut.

Peraturan 36(4) menjelaskan adalah menjadi kesalahan bagi Ahli-ahli Dewan yang menggunakan bahasa kurang sopan (biadab) atau membuat pernyataan yang seksis.

Mohd. Rashid yang dilihat terpinga-pinga pada awalnya membuat ruling supaya perbahasan Johari diteruskan.

Perkara itu, menyebabkan lebih ramai wakil rakyat pembangkang termasuklah Ronald Kiandee bangkit menekankan kepentingan mengikut peraturan mesyuarat.

Terkesan dengan desakan wakil rakyat pembangkang yang meminta merujuk kepada peraturan mesyuarat, Mohd Rashid akhirnya akur dan membuat ruling supaya Ramkarpal menarik balik perkataan samseng yang dikeluarkannya.

Ramkarpal bagaimanapun tetap dengan kenyataannya dan enggan menarik semula perkataan yang dikeluarkan itu.

Situasi dewan terus kecoh dengan wakil pembangkang terus membuat desakan menggunakan peraturan mesyuarat dengan wakil rakyat kerajaan mempertahankan Ramkarpal.

Suasana tersebut menyebabkan Mohd Rashid yang kali pertama mengendalikan persidangan Dewan Rakyat seperti hilang arah dan tidak tahu apa sepatutnya perlu dilakukan.

Gagal menangani situasi kecoh dalam dewan selepas diasak, Mohd Rashid akhir menangguhkan persidangan bagi berhenti rehat.

Wartawan Watan-Online

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo