NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Projek ECRL: Pastikan kandungan tempatan dan peluang pekerjaan


Hari ini dalam Soalan Tambahan saya kepada Menteri Tenaga Manusia berkenaan dasar pengambilan pekerja tempatan saya telah menyoal secara spesifik tentang projek mega ECRL yg telah diumumkan  oleh Menteri Kewangan akan diteruskan. 

Saya seperti dalam ceramah saya sebelum pilihanraya lagi sudahpun berpandangan bahawa projek rel ini perlu untuk meransang pembangunan pantai timur yg masih ketinggalan jauh taraf infrastruktur asas jaringan pengangkutan berbanding pantai barat. Yang kita persoal adalah tentang kos projek yg akan akhirnya ditanggung rakyat,  peluang pekerjaan dan peluang penglibatan dalam perbekalan dan perkhidmatan dalam projek ini. 

Saya tidak seperti Rafizi Ramli yang pernah mengumumkan projek rel keretapi di pantai timur sebagai membazir atas alasan tidak 'viable'.  

Dalam ruang soalan saya,  saya telah bertanya dasar kerajaan dalam memastikan rakyat tempatan mendapat bahagian yg besar dalam peluang pekerjaan. 

Saya turut meminta supaya kerajaan mempertimbangkan penglibatan industri tempatan dalam perbekalan dan perkhidmatan. 

Secara khususnya ini peluang terbaik untuk melibatkan industri besi tempatan seperti PERWAJA dilibatkan sama dalam projek ECRL,  mungkin melalui Pemindahan Teknologi. Ini sudah tentu membuka peluang pekerjaan yang besar kepada rakyat. Saya difahamkan projek rel melibatkan kuantiti besi yang besar. 

Cukup cukuplah amalan lalu mengekspot bijih besi mentah ke China di Terengganu  seperti amalan kerajaan BN Terengganu yang lalu. 

Untuk skala projek bernilai RM81 billion seperti diumum oleh Menteri Kewangan,  tidakkah sudah memadai merundingkan pemindahan teknologi? Menghidupkan kembali industri besi yg sudah sedia ada kemudahannya. 

Isu peratus kandungan tempatan 'local content' perlu dipertegaskan dalam projek ECRL. Seperti juga peratus penglibatan pekerja tempatan dalam pelbagai sektor berkait projek ini. 

Saya berterima kasih atas penjelasan Menteri bahawa kerajaan akan merundingkan kembali terma perjanjian ECRL ini yg akan memasukkan elemen jaminan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan dan peratus kandungan tempatan dalam perbekalan bahan.

Haji Ahmad Amzad Hashim
Ahli Parlimen Kuala Terengganu 
24 Julai 2018

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo