Pemilihan Umno : Pengalaman, Ketokohan Penentu Presiden - Penganalisis



Pengalaman dan ketokohan menjadi penentu seseorang calon presiden Umno dipilih pada pemilihan parti itu akhir bulan ini, kata penganalisis politik tempatan.

Mereka berpendapat faktor itu akan dinilai oleh para perwakilan dan anggota parti dalam usaha mencari pemimpin yang benar-benar boleh menerajui dan memacu hala tuju parti ke arah sinar baharu selepas kecundang pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) bulan lepas.

Senarai calon jawatan presiden Umno yang dikeluarkan semalam menunjukkan Tengku Razaleigh Hamzah mendapat nombor giliran pertama, Khairy Jamaluddin (2), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (3), Mohamed Iqbal Maricair (4) dan Mohd Yusof Musa @ Jamaluddin (5).

Justeru itu, penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Madya Dr Azmi Hassan berkata tumpuan pastinya terarah kepada tiga calon utama yang merebut jawatan tertinggi parti itu.

Ia membabitkan anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah atau lebih dikenali sebagai Ku Li, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga naib presiden yang menjalankan tugas-tugas presiden selepas Datuk Seri Najib Razak melepaskan jawatan itu pada 12 Mei lepas, dan calon ketiga Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin atau lebih popular sebagai 'KJ.

"Ku Li mempunyai aura ahli politik yang tidak punya liabiliti dan agak tersisih dengan kelemahan kepimpinan sebelum ini. Sementara Zahid pula, walaupun tergolong dalam kepimpinan UMNO sebelum ini, tetapi beliau mempunyai kelebihan dari segi ketelusan perjuangan.

"KJ pula seperti lazimnya mewakili suara baharu iaitu golongan muda. Perwakilan sudah pasti mahukan pemimpin yang mampu memulih semangat ahli Umno yang ketika ini merudum. Presiden yang mampu membawa Umno kembali ke zaman gemilang adalah calon yang akan dipilih," katanya kepada Bernama semalam.

Beliau berpendapat ​​Umno yang mempunyai tiga juta anggota pastinya memerlukan presiden yang mampu mengguna kelebihan itu untuk menjana kekuatan sedia ada selain mampu meyakinkan pihak yang di luar bahawa parti tersebut mampu membawa Malaysia ke arah lebih maju.

Ditanya mengenai cabaran utama yang perlu digalas bakal presiden Umno baharu, Azmi berkata antara lain, beliau perlu memulihkan keyakinan anggota dan rakyat bahawa Umno masih relevan selepas kejutan yang dialami pada PRU14 lepas.

"Sebenarnya, asas kekuatan Umno jika dilihat kepada keputusan PRU14, telah mendapat sokongan pengundi tertinggi berbanding parti lain, dan bagaimana presiden dipilih guna kekuatan ini merupakan cabaran paling utama.

"Sebab itu, penting bagi presiden untuk boleh bekerjasama dengan kepimpinan lain seperti timbalan, naib dan juga majlis tertinggi Umno dalam memastikan setiap strategi mendapat sokongan ahli,"katanya.

Sementara itu, penganalisis geopolitik dari Universit Kebangsaan Malaysia Prof Dr Mohd Fuad Mat Jali berkata akar umbi perlu teliti dalam membuat pilihan siapa di antara tiga calon utama itu yang akan membawa perubahan secara total kepada parti, bangsa dan negara.

Beliau menjelaskan akar umbi memerlukan pemimpin yang boleh menyuntik semangat mereka untuk kembali mempercayai Umno dan mencorak imej baharu parti yang lebih hebat berbanding sebelum ini.

"Pada pendapat saya, Zahid dikenali kerana beliau berpengalaman, mempunyai sokongan dan pentadbiran kerjanya telah terbukti. Ku Li pula, walaupun nampak bersendirian selama ini, tetapi mempunyai sokongan kekal seperti dalam PRU14.


"KJ pula perjuangkan suara orang muda yang mahukan golongan ini ditonjolkan untuk jawatan yang tinggi. Tetapi, pengalamannya kurang dalam mentadbir sesebuah organisasi besar," katanya.

Beliau berkata perbezaan pengalaman memainkan peranan selain ketokohan mereka akan dinilai perwakilan.

Seramai 518 anggota Umno mencalonkan diri untuk bertanding pelbagai jawatan dalam Majlis Tertinggi dan sayap parti peringkat pusat selepas pencalonan ditutup pada 5 petang, Ahad lepas.

- Bernama
Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget