NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Analisis PRU14: Percaturan lanskap politik pasca dominasi Umno

Dalam sesi temubual di Astro Awani pada 19 Mei lalu, Dr. Dzulkefli Ahmad, Ahli Parlimen Kuala Selangor, merangkap Menteri Kesihatan yang baru di lantik, ketika digandingkan dengan Dr. Mohd Asri Zainal Abidin (Dr. MAZA) dalam sesi tersebut memberi komen menarik tentang lanskap baru politik pasca PRU14.


Tiga poin menarik berkait PRU14 yang di sebut oleh beliau adalah:

Dari aspek geopolitik baru, Semenanjung Malaysia khasnya, telah terbentuk pemisahan yang ketara antara politik lama dan politik baru dengan Banjaran Titiwangsa sebagai garisan pemisah bayangan (imaginary demarcation line) di antara keduanya, pasca PRU14.

Mungkin lebih jelas kalau digambarkan dengan grafik seperti dibawah;




PETA GEOPOLITIK SEMENANJUNG PASCA DOMINASI UMNO

Dari peta ini, boleh ditafsir dan dibuat persepsi umum bahawa politik Semenanjung Malaysia baru terpisah dengan paksi Timur – Barat. Sebelah Timurnya, didominasi oleh BN-Umno khasnya, dengan pengecualian Indera Makhota dan Kuantan. Dan juga Temerloh yang jauh ke barat, lebih hampir lokasinya dengan banjaran Titiwangsa.

PAS, yang juga terletak di timur garisan ini, hanya tertumpu di poket-poket kecil di sepanjang pantai Terengganu, Utara Kelantan dan di pendalaman Kedah.

Kecuali beberapa poket terpencil segelintir kerusi yang masih dikekalkan oleh BN, sesetangahnya menang tipis terselamat angkara pertembungan tiga penjuru. Pakatan Harapan pula di lihat mendominasi sebelah barat Banjaran Titiwangsa.

Dari aspek sosio-struktur, demografi dan etnografi, jelas membayangkan bahawa:

PAS dan Umno mendominasi kelompok ultra Melayu tegar pendalaman di kawasan etnografi Melayu melebih 90%, dengan sedikit kelebihan memihak kepada PAS.

UMNO pula dilihat mendominasi kelompok Melayu pertengahan bawah di kawasan etnografi majoriti Melayu 67% hingga 89 %, yang kebanyakannya tertumpu ke sebelah timur Banjaran Titiwangsa, kecuali beberapa pengecualian yang disebut sebelum ini.

PH pula dilihat mendominasi kawasan campuran (etnografi Melayu antara 51% hingga 66%) dan kawasan Melayu kurang dari 50%. Secara tipikal, hampir semua kawasan sebegini terletak di sebelah barat Banjaran Titiwangsa.

Komen khas beliau terhadap pencapaian PAS, walaupun dilihat cemerlang' dengan pencapaian 18 kerusi sebagai blok ketiga dalam konteks politik Malaysia, PAS sebenarnya berdepan dengan beberapa realiti baru, iaitu;

Majoriti kekuatan PAS tertumpu di kawasan pendalaman, kawasan ultra Melayu dan di poket-poket tertentu di celah-celah dominasi UMNO.

PAS sebenarnya berdepan dan bersaing dengan UMNO di kawasan dan pasaran pengundi yang sama. Cabaran sebenar PAS adalah bagaimana mereka mampu menghadapi PRU15 nanti, yang pastinya akan bertembung secara hidup mati dengan UMNO, di mana hanya seorang yang akan survive dan satu lagi akan pupus.

Geopolitik PAS sebenarnya tertumpu kembali ke kawasan pada era 1990-an, yang membawa PAS berdepan dengan cabaran untuk kembali semula ke medan perdana setelah memilih untuk meminggirkan diri secara bersendirian di luar Pakatan Harapan. Keadaan ini berbeza dengan pendekatan pasca reformasi apabila PAS bersama koalisi, sama ada Barisan Alternatif atau Pakatan Rakyat.

SEGMEN PENGUASAAN PARTI

Setiap komponen parti membawa asas sokongan dan sumber kekuatan kerusi yang berbeza mengikut segmen seperti berikut;

1. Kekuatan PH adalah di segmen kerusi campuran dan kerusi bukan majoriti Melayu, yang menyumbang 86% (84 dari 98 kerusi Parlimen) berbanding semua kerusi yang dimenangi.

2. Kekuatan BN adalah di segmen kerusi Melayu majoriti yang menyumbang 59% (29 dari 49) berbanding semua kerusi yang dimenangi.

3. Kekuatan PAS adalah di segmen kerusi Melayu tegar yang menyumbang 78% (14 dari 18) berbanding semua kerusi yang dimenangi.


Gambaran relatif kekuatan setiap parti / blok untuk kesemua kategori etnografi boleh dirumuskan dengan grafik berikut;



RUMUSAN

Sekali lalu, rumusan pola yang dapat kita ambil dari PRU14 ini adalah seperti berikut;

1. Buat pertama kali dalam sejarah, dominasi UMNO dalam lanskap politik negara telah dipecahkan, dan negara menyaksikan satu proses transformasi komposisi perwakilan rakyat.

2. Kekuatan sokongan PAS lebih tertonjol di kelompok kerusi tegar Melayu (yang merangkumi 90% ke atas demografi Melayu). Pencapaian 14 kerusi ini merupakan 78% dari seluruh kekuatan PAS, bila dinisbahkan kepada 18 kerusi yang dimenangi.

3. Saingan PAS dan UMNO yang agak seimbang dan berulang alik juga bakal menyaksikan PAS akan berdepan dengan musuh tradisi politik yang sama di tempat yang sama, dan berebut pasaran yang sama. Pada PRU15 yang akan datang, kedua-dua mereka bakal bertembung sengit, demi survival. PAS sendiri tidak punya banyak pilihan, sama ada mereka bertembung atau bergabung.

4. Untuk kerusi majoriti Melayu (51% hingga 67% Melayu), BN masih mendominasi dengan 29 kerusi (daripada 45 kerusi), bersamaan 64%. Kebetulan, petunjuk peratusan hampir sama, iaitu 59% (dari 49 kerusi yang dimenangi) dari pencapaian BN sebenar.

5. PH mendominasikan segmen kerusi campuran (51% hingga 66%), di mana PH mengalami lonjakan tambahan kerusi tiga kali ganda, berbanding BN yang mengalami kemerosotan empat kali ganda, manakala PAS tidak mendapat tempat langsung dalam segmen ini.

6. Untuk kelompok kerusi bukan majoriti Melayu, BN bakal lupus dengan sendirinya dalam segemen ini. Jika tidak kerana dua kerusi MIC yang selamat angkara pertembungan tiga penjuru, BN sudah dianggap boleh melupakan dan mengucapkan selamat tinggal kepada segmen pengundi ini.

* Nazri Noor, STRATA Analytica. 20/5/2018

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo