NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Manifesto Gagasan Sejahtera: PAS serius membina Malaysia Sejahtera



Oleh: Afyan Mat Rawi

Apabila saya kongsikan manifesto-manifesto PAS apabila mengambil alih tampuk pemerintahan Malaysia, soalan yang paling kerap diterima ialah;

"Mampu ke PAS buat?"

"Dari mana datang duit?"

"Pak Lebai pandai ke memerintah?"

Ia datang dalam bentuk soalan dari orang yang betul-betul ingin kepastian atas sebab mahukan keyakinan sebelum mengundi PAS.

Tidak kurang juga datang dalam bentuk sinis dan sindiran terutama dari musuh dan pembenci PAS.

Bagi golongan ke-dua di atas, mungkin tak sesuai untuk membaca tulisan ini. Sebab saya yakin jawapan ini takkan mampu memuaskan hati kalian. Datanglah apa sahaja dari PAS, semua akan ditolak.

Sebelum teruskan pembacaan, elok saya berikan disclaimer. Ini adalah pandangan peribadi, dan bukan jawapan rasmi PAS.

Ia berdasarkan pemerhatian dari jauh dari seorang rakyat Malaysia yang inginkan Malaysia lebih baik dan meyakini bahawa PAS satu-satunya parti politik yang betul serius untuk mempertahankan dan memartabatkan syiar dan syariat Islam serta mempunyai integriti untuk mentadbir Malaysia.

Inilah 2 faktor utama saya memilih PAS ialah Islam & Integriti.

Baik, berbalik kepada soalan yang diberikan.

Persoalan utama ialah; "Mampukah PAS laksanakan manifesto PAS yang menelan belanja berbillion-billion RM apabila memerintah kelak, seperti memansuhkan hutang PTPTN, memansuhkan cukai eksais kereta, pembiayaan kereta pertama tanpa faedah dan lain-lain?”

Ia persoalan yang munasabah untuk ditanya. Dan ini pandangan saya.

Apa yang saya perhatikan, PAS mampu laksanakan berdasarkan TRACK RECORD yang PAS ada selama ini.

Walaupun saya konsultan dalam bidang kewangan, dalam tulisan ini saya tak menulis dalam bentuk angka dan matematik kewangan. Saya akan tulis dalam bentuk logik dan rasional.

Untuk tulisan dalam bentuk angka dan matematik kewangan, jika ada kelapangan inmsyaALLAH saya akan usahakan, jika perlu.

Berikut adalah beberapa TRACK RECORD PAS untuk meyakinkan rakyat Malaysia untuk memilih PAS menggantikan Barisan Nasional bagi memerintah Malaysia.

TRACK RECORD PERTAMA: Kerajaan Kelantan

Teras pertama Kerajaan PAS Malaysia dalam manifesto Malaysia Sejahtera ialah INTEGRITI.

Inilah TRACK RECORD yang ingin ditunjukkan kepada seluruh Malaysia apabila memerintah kelak, yang tidak ada pada parti-parti lain di Malaysia.

Lihat sejarah pada permulaan kerajaan Kelantan, apabila mula-mula PAS mengambil alih daripada Barisan Nasional pada tahun 1990, apa yang tidak dilakukan oleh pihak musuh kepada PAS?

Sejak dari awal, rata-rata tidak yakin PAS mampu bertahan. Ada yang mengandaikan PAS hanya mampu bertahan selama 3 ke 6 bulan sahaja.

Tidak cukup dengan itu, puluhan tahun Kelantan menjadi anak tiri kepada Kerajaan Malaysia. Ia berlaku sejak zaman Tun Dr Mahathir sehinggalah sekarang, zaman Najib Tun Razak.

Selepas beberapa Perdana Menteri bersilih ganti, Kelantan terus Membangun Bersama Islam di bawah kepimpinan Tok Guru Nik Aziz yang memimpin Kelantan sekian lama dan disambung oleh legasinya hingga ke hari ini.

Sehingga sekarang, tahun 2018 Kelantan masih bertahan di pawah kepimpinan PAS, walaupun hampir 30 tahun diperlakukan sebegitu rupa.

Jika difikirkan secara logik, dengan keadaan serba daif tentu mustahil Kerajaan Kelantan mampu bertahan hingga ke tahap ini.

Inilah buktinya bahawa Kelantan yang serba kekurangan sumber pun mampu dibangunkan.

Lihat, apa yang tidak ada di Kelantan? Apa yang ada di negeri lain, ada di Kelantan walaupun sumber pendapatan Kerajaan Negeri sangat terhad.

Rahsianya apa? Rahsianya ialah INTEGRITI atau dalam istilah yg digunakan oleh Pak Lebai ialah Al-Amanah. Bukan parti Amanah ya.

Inilah yang ditekankan oleh kepimpinan ulama PAS dalam mentadbir Kelantan. Tok Guru Nik Aziz membuka pintu pejabat Menteri Besar Kelanta 24 jam untuk disiasat SPRM, dan diteruskan oleh legasi beliau sekarang.

Bayangkan jika peluang sama diberikan kepada PAS untuk memerintah Malaysia?

Pendapatan negara akan diuruskan dengan baik untuk memastikan segala hasil mahsul negara boleh dinikmati kembali oleh rakyat.

Masalah utama negara kita ialah korupsi, bukan tidak cukup duit. Apabila pemimpin korup dan rasuah, maka hasil negara hanya berlegar di kalangan orang kaya sahaja.

Berdasarkan laporan Jabatan Audit Negara, jumlah ketirisan yang dialami oleh Malaysia setiap tahun ialah RM30 billion ke RM40 billion.

PAS beriltizam dan berjanji untuk memberi jaminan kepada rakyat Malaysia bahawa pentadbiran PAS menerajui Malaysia kelak adalah pemerintahan BEBAS RASUAH.

Apabila tiada rasuah, jumlah ketirisan RM30 billion ke RM40 billion boleh dikurangkan kepada sifar. Dari jumlah inilah yang akan digunakan nanti untuk membangunkan negara dan melaksanakan manifesto Malaysia Sejahtera.

Inilah yang membezakan antara PAS dengan parti-parti lain. PAS cakap dan buat. PAS walk the talk.

TRACK RECORD KEDUA: Integriti dan Sifar Rasuah

Ia ada kaitan dengan track record pertama tadi, pengalaman PAS memerintah Kelantan.

PAS sudah wujud sejak tahun 1951. Memerintah Kelantan puluhan tahun. Pernah memerintah Kedah dan Terengganu. Pernah menyertai kerajaan di Perak, Selangor malah pernah menyertai Kerajaan Persekutuan.

Bayangkan, dalam masa hampir 30 tahun PAS memerintah Kelantan, TIDAK PERNAH ada satu kes rasuah dilaporkan ke atas Menteri Besar Kelantan dan para exco beliau.

Ya, TIDAK PERNAH.

Begitu juga

Begitu juga laporan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, dalam tempoh 5 tahun terakhir 2013 hingga 2017 yang membandingkan kertas siasatan yang dilaporkan ke atas pemimpin-pemimpin parti politik di Malaysia, PAS mencatatkan bilangan SIFAR. KOSONG. ZERO. YILLEK!

Berbanding dengan parti-parti lain, Pakatan Harapan dan Barisan Nasional masing-masing mencatatkan rekod lebih 20 dan lebih 70 kertas siasatan dan pendakwaan dibuka.

Itulah track record yg dipegang oleh PAS yangg tiada pada parti-parti lain.

Selama 20 tahun lebih dianaktirikan oleh diktator bapa kleptokrasi dan diteruskan oleh legasi kleptokrasi hingga sekarang, Kerajaan PAS terus menerus Membangun Bersama Islam dengan dana yang terhad.

Secara logiknya, apabila kerajaan mempunyai integriti dan zero rasuah maka ketirisan akan dikurangkan sehingga sifar tiris.

Berbillion-billion RM dapat dijimatkan apabila tidak berlaku ketirisan.

Contoh lain, ketika pentadbiran kerajaan PAS bersama PR di Kedah, anak syarikat kerajaan negeri Kulim Hi-Tech yang sebelum itu keuntungan purata RM1.6 billion, meningkat kepada RM3 billion selepas PAS mengambil alih.

Integriti inilah yang dijanjikan malah dibuktikan oleh PAS yang tidak mampu ditonjolkan oleh parti-parti lain yang hanya berteori tapi praktikalnya tiada. Umno yang saban tahun bercakap tentang usaha untuk membasmi politik wang hanya sekadar melepaskan batuk di tangga terbukti parti paling banyak pimpinan mereka tersontot dan terbukti rasuah.

Manakala parti-parti komponen dalam PH yang baru-baru belajar pegang kuasa, sudah beberapa kali pimpinan mereka diadukan kepada SPRM atas kes rasuah.

Tidak cukup itu, boleh lihat bagaimana ketiadaan integriti dan jatidiri 3 orang Adun daripada DAP dan PKR yang lompat parti menyebabkan kerajaan negeri Perak jatuh ke tangan Umno BN.

ULANGAN: Masalah utama negara kita ialah korupsi, bukan tidak cukup duit. Apabila pemimpin korup dan rasuah, maka hasil negara hanya berlegar di kalangan orang kaya sahaja.

Berdasarkan laporan Jabatan Audit Negara, jumlah ketirisan yang dialami oleh Malaysia setiap tahun ialah RM30 billion ke RM40 billion.

PAS beriltizam dan berjanji untuk memberi jaminan kepada rakyat Malaysia bahawa pentadbiran PAS menerajui Malaysia kelak adalah pemerintahan BEBAS RASUAH.

Apabila tiada rasuah, jumlah ketirisan RM30 billion ke RM40 billion boleh dikurangkan kepada sifar. Dari jumlah inilah yang akan digunakan nanti untuk membangunkan negara dan melaksanakan manifesto Malaysia Sejahtera.

Inilah yang membezakan antara PAS dengan parti-parti lain. PAS cakap dan buat. PAS walk the talk.

TRACK RECORD KETIGA: Resume PAS

Manakah parti yang berpengalaman membangunkan dan memiliki institusi lebih ribuan institusi pendidikan pra-sekolah di selllluurrrruuuuuh Malaysia selain PAS?

PAS membangunkan PASTI. Bukan 10, bukan 100, bukan 1,000 tapi lebih 2,000!

Bukan itu sahaja, PAS turut memiliki institusi dan silibus untuk peringkat sekolah dan peringkat kolejh universiti.

Parti lain, ada? PAS ada!

Umno yang memerintah Malaysia sejak merdeka pun tidak ada satu Tadika Kemas yang dibiayai Umno 100%. Yang ada ialah pembiayaan daripada Kerajaan Pusat.

Parti lain?

Kita bukan nak berlagak tapi nak tunjukkan dan nak buktikan bahawa PAS mampu memerintah jaauuuuuuh lebih baik dari BN dan parti-parti lain.

Ini baru satu contoh dalam sektor pendidikan.

PAS juga memiliki puluhan ribu petugas sukarelawan yang berkhidmat tanpa elaun dalam pelbagai NGO yang ditubuhkan di bawah parti. Yang paling lama dan paling menonjol ialah Jabatan Amal yang dahulu dikenali sebagai Unit Amal.

Dan banyaaaaak lagi institusi-institusi yang PAS bangunkan tanpa perlu bantuan secara terus daripada dana kerajaan, tapi sumbangannya hingga ke peringkat nasional malah antarabangsa!

Semua institusi ini dibangunkan oleh PAS dengan dana dari kalangan ahli-ahli, penyokong dan simpatisan. Dan semua itu dibangunkan untuk kebajikan bukan hanya untuk ahli PAS tapi untuk rakyat Malaysia keseluruhannya.

PASTI sebagai institusi pendidikan PAS, menerima pelajar tidak kira warna kulit, kaum, apatah lagi parti politik. Jabatan Amal memberi khidmat kepada masyarakat pun tidak disemak dahulu sama ada mangsa musibah itu ahli parti mana.

Bayangkan jika PAS diberi peluang memerintah negara, dengan dana yang sebegitu besar pendapatan negara, tentu banyak lagi pembangunan dan kebajikan mampu dilakukan oleh PAS untuk rakyat.

RUMUSAN

Inilah 3 TRACK RECORD PAS yang PAS telah tonjolkan di dalam arena politik Malaysi lebih 50 tahun.

Jadi, rakyat Malaysia tidak perlu lagi ragu untuk memilih Malaysia sebagai kerajaan baru pada 9 Mei kelak.

Jadilah warga negara yang bijak untuk memilih yang lebih baik daripada Barisan Nasional.

Jika kita ingin menolak kleptokrasi yang ada pada parti pemerintah hari ini, maka PAS-lah pilihan terbaik, bukan parti lain.

Jika menggantikan BN dengan parti lain yang turut terpalit kleptokrasi, maka samalah dengan lompat dari mulut harimau ke mulut naga.

Jika anda mahu negara yang bebas rasuah, PAS adalah pilihan terbaik.

Andainya PAS mengingkari komitmennya, buanglah ia pada PRU 15 kelak.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo