NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Perak: PH dah mula berebut kerusi MB?


Walaupun nampak tenang luarannya, namun dalaman parti kompenen Pakatan Harapan (PH) Perak tetap bergelora. Ini kerana masing-masing sedang memasang angan dan strategi untuk menobatkan wakil rakyat mereka menjadi Menteri Besar sekiranya PH berjaya menawan Perak pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.

Paling ketara dapat dilihat usaha DAP yang meletakkan calon Melayu Dr Aziz Bari bertanding di DUN Tebing Tinggi. Berdasarkan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak, calon Menteri Besar mestilah seorang Melayu dan beragama Islam.

Jelas dalam perkara ini, DAP telah belajar daripada pilihan raya umum 2008, meskipun parti serpihan PAP Singapura itu memiliki 18 dun berbanding PKR dan PAS, namun masih gagal meletakkan wakil rakyat mereka ditampuk kerusi empuk Menteri Besar Perak.

Langkah meletakkan Aziz adalah usaha DAP untuk lebih dominan dalam kerajaan negeri Perak memandangkan parti itu optimis untuk menyapu bersih di setiap DUN yang ditandingi pada PRU14 ini.

Namun usaha DAP itu dapat dihidu oleh PAN yang juga bercita-cita menjadikan Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin kembali menjadi Menteri Besar dengan meletakkan beliau di DUN boleh menang iaitu di Rapat Setia.

Lebih parah lagi, Pengerusi PAN Perak, Asmuni Alwi juga dikatakan mengidam jawatan Menteri Besar dan disebabkan itu beliau memilih bertanding DUN Manjoi. Sementara itu, PKR difahamkan mempertaruhkan kewibawaan bekas Ahli Parlimen Lumut Laksamana (B) Mohamad Imran Abd Hamid sebagai calon Menteri Besar Perak mereka.

Justeru, tidak hairanlah mereka dikatakan akan meletakkan Imran bertanding di DUN Bukit Chandan sebagai percaturan sekiranya beliau dan PH menang akan membuka peluang menjadi Menteri Besar Perak kelak.

Berita Imran bakal Menteri Besar Perak menjadi bualan hangat penyokong PH di media sosial dan bukan menjadi rahsia lagi. Difahamkan jawatan Menteri Besar itu dapat 'menyejukkan' hati Imran yang kecewa susulan tidak dibenarkan mempertahankan kerusi Parlimen Lumut yang diserahkan kepada calon PAN.

Menurut cakap-cakap penyokong PH, calon PPBM yang bertanding di DUN Pangkor, Komander (B) Nordin Ahmad pula dikatakan turut mengintai peluang menjadi Menteri Besar.

Meskipun ilmu politik ibarat kail panjang sejengkal, sebagai orang baharu yang mahu terjun dalam kancah politik, Nordin tidak segan silu meyakinkan masyarakat Pangkor bahawa beliau akan menggantikan Datuk Seri Dr Zambry Abd. Kadir sebagai Menteri Besar Perak nanti.

Mengulas perkara ini, Penganalisis Politik Dr Achmad Dzariean Mohd Nadzri berkata, kestabilan politik adalah elemen penting sesebuah kerajaan bagi mengurus dan mentadbir kerajaan yang dikuasai dengan baik.

"Dalam hal ini, jelas rakyat Perak perlu menyelami apa yang tersirat permainan politik setiap parti dan membuat pilihan bijak untuk menentukan masa hadapan negeri mereka. "Apa yang diperlukan oleh rakyat ialah sebuah kerajaan yang stabil politiknya bagi memudahkan dasar dasar kerajaan dilaksanakan untuk rakyat.

"Jika sering berbalah dan isu perebutan jawatan Menteri Besar ini berlaku, yang rugi adalah rakyat Perak sendiri," katanya kepada Watan-Online. Tambah Felo Penyelidik, Institut Kajian Politik Malaysia, Universiti Utara Malaysia, (MAPAN UUM) itu, Kerajaan Perak yang diperintah BN telah berjaya melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik sepanjang lima tahun ini dan rakyat negeri itu perlu bersyukur dengan kesejahteraan yang dinikmati.

"Sebab itu sehingga kini, PH tidak pernah mengumumkan siapa bakal Menteri Besar jika mereka berjaya menawan Perak. Mereka sengaja menyimpan kuku dan mengelakkan isu ini dihidu rakyat Perak yang mungkin menjejaskan kempen PRU14 mereka.

"Justeru rakyat Perak perlu mengambil ikhtibar kisah hitam pada 2008, terutamanya orang Melayu yang makan hati apabila Menteri Besar ketika itu walaupun Melayu tetapi menjadi boneka DAP.

"Tiada sebab rakyat Perak perlu berubah kepada parti lain selain BN. Datuk Seri Dr Zambry berjaya menonjolkan kepimpinan yang baik, tiada isu besar dan disenangi oleh setiap lapisan masyarakat di Perak.

"Mengapa nak tukar, sedangkan kita tahu pelbagai masalah akan timbul, belum apa-apa mereka sendiri mencatur untuk merebut jawatan Menteri Besar, jelas di sini keperluan agenda peribadi lebih penting daripada rakyat dan negeri Perak itu sendiri," katanya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo