NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pengasas Habib Jewels meninggal dunia



Pengasas Habib Jewels Datuk Habib Mohamed Abdul Latif, 92, meninggal dunia hari ini selepas koma selama dua minggu akibat jatuh di dalam bilik air di rumahnya, di Georgetown.

Anak keempatnya, Datuk Seri Meer Sadiq Habib, 55, berkata bapanya meninggal dunia kira-kira pukul 4.30 pagi di Hospital Gleaneagles, di George Town.

"Arwah terjatuh di bilik air dan koma kerana ada berlaku sedikit pendarahan dalam kepala," katanya ketika ditemui di kediaman Allahyarham di Jalan Pinhorn, di George Town.

Beliau berkata jenazah Allahyarham akan disembahyangkan di Masjid Kapitan Keling, di George Town sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Perak selepas solat Zohor.


[ads-post]

Meer Sadiq yang juga Pengarah Urusan Habib Jewels menyifatkan pemergian bapanya sebagai satu kehilangan besar bukan sahaja kepada keluarga malah masyarakat yang banyak menyumbang dan memberi inspirasi dalam bidang perniagaan emas dan permata.

"Ini adalah satu kehilangan paling besar sekali kerana bukan sahaja arwah sebagai ayah dalam keluarga tapi juga dalam masyarakat beliau adalah seorang yang selalu mahu melihat kebangkitan masyarakat kita," katanya.

Beliau berkata bapanya seorang yang sangat mesra dan peramah dengan masyarakat selain seorang yang pandai berjenaka.

Sementara itu, cucu Allahyarham, Mohamed Shamir Hameed, 34, berkata datuknya memberi inspirasi kepada masyarakat kerana bermula daripada seorang yang tiada apa-apa sehingga berjaya membina sebuah perniagaan emas yang dikenali di peringkat dunia.

"Allahyarham datang daripada tak ada apa-apa langsung. Beliau mula bekerja sejak umur sembilan atau 10 tahun lagi. Beliau pernah menjadi pelayan di kantin dan pernah menjadi pembantu di kedai.

"Beliau menceburi bidang barang kemas ni selepas melalui semua cabaran dan rintangan. Zaman kegemilangan beliau pada tahun 60-an ke 80-an," katanya.

Beliau berkata datuknya juga seorang yang gemar memberi makan kepada orang ramai dan suka membantu mereka yang dalam kesusahan.

Allahyarham meninggalkan lima orang anak, sembilan cucu dan seorang cicit. Isteri Allahyarham Ummul Latifah meninggal dunia pada 2007 akibat uzur. -Bernama

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo