2,000 Hadiri Solat Jenazah Dr Fadi Di Setapak




KUALA LUMPUR – Kira-kira 2,000 jemaah hari ini menunaikan solat jenazah Allahyarham Dr Fadi Mohammed Al Batsh, imam dan pensyarah Palestin yang maut ditembak dua lelaki bermotosikal di Setapak pada Sabtu lepas.

Jenazah Allahyarham, yang dibawa ke surau Surau Medan Idaman, Setapak di sini pada 1.10 petang dari Unit Forensik Hospital Selayang, disambut serta diusung kenalan terdekat sebelum disembahyangkan selepas solat Zohor pada 1.30 tengah hari.

Solat jenazah itu diimamkan oleh pegawai daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Pada 2.15 petang, jenazah Allahyarham Fadi diusung keluar dari surau itu oleh beberapa anggota keluarganya sambil orang ramai berebut-rebut menyentuh keranda sebagai tanda penghormatan terakhir sebelum dibawa masuk ke dalam van jenazah.

Jenazah beliau kemudian dibawa ke Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) untuk dibawa pulang ke negara kelahirannya di Gaza, Palestin.

Duta Palestin ke Malaysia Datuk Dr Anwar Al Agha berkata jenazah Allahyarham Fadi akan diterbangkan ke Kaherah, Mesir dengan pesawat Saudi Airlines pada 7 petang ini sebelum dibawa ke Gaza menggunakan jalan darat.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri Enas Al Batsh, 31 dan dua anak perempuan iaitu Doaa, 6, dan Aseel, 4 serta seorang anak lelaki Mohamad yang berusia setahun.

Allahyarham Fadi, 35, pensyarah kejuruteraan elektrik di sebuah universiti swasta, ditembak mati di luar kondominium Idaman Puteri di Setapak semasa berjalan menuju ke Surau Medan Idaman untuk solat Subuh kira-kira 6 pagi.

Dua lelaki bermotosikal dikatakan menunggu beliau sebelum melepaskan 10 das tembakan ke arahnya. – BERNAMA
Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget