NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PAS...Eksperimen raih sokongan Melayu Islam memakan diri?



Oleh: Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain

Menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), tumpuan sudah tentu banyak diberikan kepada persediaan parti politik, termasuk strategi dan pendekatan mereka untuk memikat hati pengundi, seterusnya memenangi pilihan raya.

Saya berkesempatan mengikuti Perbincangan Meja Bulat anjuran Kluster Politik, Keselamatan dan Hubungan Antarabangsa, Majlis Profesor Negara (MPN), baru-baru ini, bagi mendengar kupasan ahli akademik, termasuk ahli politik mengenai polemik menjelang PRU-14.

Satu perkara yang menarik perhatian saya ialah pandangan Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS, Dr Mohd Zuhdi Marzuki. Beliau berpandangan bahawa PAS pada pilihan raya kali ini perlu lebih memberi tumpuan kepada undi orang Melayu/Islam berbanding undi bukan Melayu.

PAS percaya undi dan sokongan orang Melayu/Islam kritikal dalam menentukan kepemimpinan Malaysia.

Kedua, PAS wajar memberi pertimbangan kepada kepentingan kerjasama politik pascapilihan raya berbanding kerjasama politik sebelum dan ketika pilihan raya semata-mata.

Dua isu yang dibangkitkan oleh Mohd Zuhdi menarik untuk dikupas.

Pertama, PAS sedar melalui Pakatan Pembangkang sebelum ini, parti itu rugi akibat kehilangan banyak undi orang Melayu/Islam kerana fokus banyak diberikan bagi menambah undi bukan Melayu.

Ini termasuk mengambil sikap terlalu terbuka dan kurang sensitif dalam Pakatan Pembangkang terhadap isu yang membabitkan kepentingan orang Melayu, semata-mata untuk mendapatkan sokongan bukan Melayu.

Kemerosotan sokongan

Pada Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden Ke-59 pada 22 Februari 2014 di Markas Dewan Ulama, Machang, Kelantan, PAS mengakui kemerosotan sokongan pengundi Melayu kepada parti itu pada PRU 2013.

Ia memperlihatkan parti itu masih gagal merealisasikan kempen 'PAS Ganti UMNO'.

Dalam hal ini, UMNO berjaya menambah lapan kerusi Parlimen daripada 79 kerusi pada Pilihan Raya Umum 2008 kepada 88 kerusi pada PRU 2013.

Di negeri majoriti Melayu, PAS hanya memperoleh sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah, berbanding 16 kerusi pada PRU 2008.

Selain itu, sokongan PAS turut merosot di Kelantan dengan hanya memenangi 32 kerusi DUN, berbanding 37 pada PRU 2008.

Sebaliknya, PAS menambah jumlah kerusi DUN di Selangor, Johor dan Pahang, bermakna ia berjaya meningkatkan sokongan bukan Melayu, tetapi sebaliknya berlaku bagi sokongan Melayu/Islam.

Kini, PAS sedar mereka wajar kembali memberi fokus kepada undi orang Melayu/Islam.

Namun, dengan perpecahan undi orang Melayu masa kini, ia menjadi cabaran besar bagi PAS.

Jika berlaku pertembungan tiga penjuru, sokongan orang Melayu akan terbahagi dan PAS berkemungkinan mendapat undi yang lebih kecil dan kemenangan mudah berpihak kepada UMNO.

Kemunculan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menjadi pesaing baharu kepada PAS dalam merebut sokongan dan undi orang Melayu pada PRU-14 kelak.

Apakah tumpuan PAS kepada undi orang Melayu/Islam ini bermakna parti itu terus melupakan sokongan bukan Melayu?

Sebagai parti politik yang sudah lama 'masak' dengan realiti politik Malaysia, kita percaya bahawa tidak semudah itu PAS boleh meminggirkan sokongan bukan Melayu.

Walaupun PAS percaya sokongan orang Melayu teras kepada kerajaan dan kepemimpinan Malaysia, sokongan bukan Melayu masih penting dalam realiti kemajmukan masyarakat kita.

Justeru, Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang pernah mengumumkan bahawa PAS akan meletakkan lebih ramai calon bukan Islam pada PRU akan datang.

Sebelum ini, PAS meletakkan calon bukan Islam daripada sayap parti berkenaan, iaitu Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).

Antara calon bukan Islam yang pernah diangkat PAS ialah Kumutha Rahman yang bertanding kerusi DUN Tiram di Johor pada PRU 2008 dan Hu Pang Chow di kerusi Parlimen Ayer Hitam, juga di Johor pada PRU 2013. Namun, mereka tewas kepada calon Barisan Nasional (BN).

Kerjasama politik

PAS banyak kali mengadakan kerjasama politik atau lebih tepat kerjasama pilihan raya yang berakhir dengan kegagalan.

Kerjasama politik yang dianggap paling kukuh adalah melalui Pakatan Rakyat (PR) sebelum ini, masih gagal dipertahankan PAS kerana wujud konflik kepentingan parti.

PAS dilihat sudah serik untuk bersama parti pembangkang lain, khususnya DAP kerana kerjasama politik itu lebih banyak menguntungkan pihak lain.

Pandangan Mohd Zuhdi mengenai kerjasama politik pascapilihan raya menggambarkan kesediaan PAS untuk bekerjasama di luar konteks pilihan raya.

Persoalannya, adakah akan berlaku kerajaan campuran atau penyertaan PAS dalam kerajaan selepas ini?

PAS pernah berada dalam kerajaan campuran Perikatan pada 1971 dan menyertai BN selepas itu.

Tambahan pula, sikap PAS yang memilih politik matang dan sejahtera untuk tidak menentang membuta-tuli sedikit sebanyak mengendurkan ketegangan parti itu dengan parti pemerintah, khususnya UMNO.

Ia turut memperkukuhkan dakwaan wujud kerjasama tidak langsung atau persefahaman di antara PAS dan UMNO, demi kelangsungan politik Melayu/Islam negara ini.

Sebagai parti politik veteran yang menyertai proses demokrasi melalui pilihan raya sejak 1955, PAS dilihat masih bereksperimen dengan sokongan pengundi.

Dari segi sejarah, sokongan tertinggi yang pernah dicapai PAS hanyalah melalui kerjasama politik dalam Pakatan Pembangkang.

Kemuncaknya, perwakilan PAS pernah diiktiraf sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen, selepas menang besar PRU 1999 dengan 27 kerusi Parlimen.

Namun, sebagai parti yang teguh dengan dasar perjuangannya, kemenangan politik semata-mata bukan satu kepuasan sebenar PAS.

Parti itu akan terus gusar jika terus gagal mendapat sokongan orang Melayu/Islam dan lebih penting, semakin jauh dalam menggapai matlamat perjuangannya.

Kegusaran itu akan mendorong PAS untuk terus bereksperimen dalam kanvas politik Malaysia.

Penulis dari Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Felo Bersekutu Majlis Profesor Negara (MPN)

Sumber: https://www.bharian.com.my/kolumnis/2018/03/397024/eksperimen-pas-raih-sokongan-memakan-diri
________________ 
Penafian: 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
© all rights reserved
made with by templateszoo