Dr Maza ada penyakit hati?


Oleh: Dr Kamarul Yusoff

Sehingga ke hari ini Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin (Dr MAZA) masih gagal mengulas hentaman keras bekas Mursyidul Am PAS, Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, di dalam kuliah Jumaat pada 9 Mei 2014 kepada beliau bahawa beliau adalah “pensyarah yang orang panggil nak perhidup Islam dok, nak ‘mapuh Islam” dan “pensyarah yang bodoh”.

Tulisan terbaru Dr MAZA di dalam Facebook beliau yang cuba menimbulkan keraguan ke atas “sebahagian orang politik” yang menyatakan mereka “berjuang dan berpolitik untuk menegakkan hukum Allah” tetapi kononnya “bukan ingin menegakkan hukum Allah” tetapi “sekadar untuk mendapatkan undi pilihan raya”, “memperdagangkan agama untuk undi pilihan raya” malah “telah melanggar banyak hukum Allah”, termasuk kononnya “maki hamun, menggelar orang lain dengan gelaran buruk, mengkafir sesama muslim, berbohong apatah lagi atas nama politik agama, memfitnah orang lain, memutarbelit nas-nas agama untuk kepentingan politik kepartian, rasuah, menentukan sah batal amalan agama berdasarkan sokongan kepada parti dan pelbagai lagi” serta “menentukan syurga neraka dengan lambang parti politik”, membuktikan kebenaran dakwaan Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz itu.

Dr MAZA sekarang adalah Mufti Kerajaan Negeri Perlis yang diberi tanggungjawab untuk “membantu dan menasihati Duli Yang Maha Mulia Raja Pemerintah (Negeri Perlis) berkenaan dengan semua perkara Hukum Syarak...” di mana di bawah Seksyen 51 (1) dan 51 (2) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Perlis 2006 jelas disebut bahawa kuasa Mufti Kerajaan Negeri Perlis hanyalah terhadap kepada ruang lingkup Perlis sahaja. Beliau juga adalah pemegang ijazah PhD dari Universiti Islam Antarabangsa dengan tesis bertajuk “Sabab Wurud al-Hadith: Dirasat Tahliliyyat Bi Tarkiz Khas ‘ala al-Dawabit wa al-Ma’ayir”.

Sangat pelik sekali apabila seorang Mufti dan seorang pemegang ijazah PhD boleh menimbulkan keributan malah mencetuskan fitnah di dalam masyarakat dengan mengeluarkan pelbagai tuduhan umum ke atas pihak tertentu tanpa menamakan secara spesifik pihak yang dituduh itu dan tanpa memberikan bukti secara spesifik ke atas tuduhan itu. Jika beliau benar-benar ikhlas, berani dan berilmu, beliau seharusnya menamakan secara spesifik pihak yang dituduh itu dan memberikan bukti secara spesifik ke atas tuduhan itu. Jika “perlanggaran hukum Allah” itu berlaku di Negeri Perlis yang berada di bawah bidang kuasa beliau sebagai seorang Mufti, maka adalah menjadi kewajipan beliau untuk “membantu dan menasihati Duli Yang Maha Mulia Raja Pemerintah (Negeri Perlis)” supaya bertindak ke atasnya, bukannya dengan mengeluarkan pelbagai tuduhan umum secara terbuka begini.

Bila ini tidak berlaku, maka tidak salahlah jika ada yang menyelar beliau sebagai mempunyai penyakit hati, bacul dan tidak menepati ciri-ciri seorang ilmuan seperti yang sepatutnya.

Apa yang jelas kepada banyak pihak ialah, berdasarkan banyak bukti, Dr MAZA-lah yang sebenarnya memperdagangkan jawatan Mufti Kerajaan Negeri Perlis untuk tujuan tersendiri, termasuk dengan mencampuri urusan politik kepartian, bukan sahaja dengan menyerang Presiden PAS, malah juga menyerang Presiden UMNO yang merupakan Perdana Menteri.

Apa tujuan berulang-ulang kali dibangkitkan kembali isu kafir-mengkafir yang sudah pupus ditelan zaman ini, apatah lagi bila Dr MAZA sendiri sebelum ini pernah direkodkan menggesa semua pihak supaya “berhenti memainkan isu kafir-mengkafir” dan “kembali kepada politik yang dapat membina negara”, jika pembangkitnya tidak ada penyakit hati?

Begitu juga apa tujuan berulang-ulang kali diserang pihak yang “berjuang dan berpolitik untuk menegakkan hukum Allah” sedangkan pada masa yang sama pihak yang berjuang dan berpolitik untuk tidak melaksanakan, malah mempertikaikan dan memperlekehkan, hukum Allah tidak pernah pula diserang sebegitu rupa, jika penyerangnya tidak ada penyakit hati? 

Mengenai isu kafir-mengkafir ini, Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz selaku Pesuruhjaya PAS Negeri Kelantan telah mengeluarkan satu risalah pada 29 September 1983 yang di antara lainnya adalah berbunyi: “Sebenarnya tidak ada siapa yang mahu jadi kafir dan tidak ada siapa yang gatal mulut mengeluarkan fatwa kafir-mengkafir, tapi siapa sahaja yang melibatkan diri dengan sebab-musabab yang menjadikan dia kafir, maka kafirlah dia, walaupun tidak ada siapa yang mengeluarkan fatwa ke atasnya. Sepertimana penyakit, memang tidak ada siapa yang mahu sakit dan tidak ada doktor yang gatal mulut menuduh pesakit-pesakitnya terkena sakit itu, tapi siapa sahaja yang dihinggapi kuman-kuman tertentu, maka berpenyakitlah ia walaupun tidak ada doktor yang mengiktiraf dia sakit.”

Samalah juga dengan tulisan Dr MAZA sendiri sebelum ini bahawa “sesiapa yang dengan jelas tanpa sebarang andaian lagi menghina Allah dan Rasul-Nya, maka dia terkeluar dari Islam” dan bahawa “demikian juga jika dia menentang secara jelas tanpa sebarang andaian lagi apa yang ditetapkan oleh Allah dengan jelasnya seperti pengharaman arak, judi, zina dan seumpamanya”, maka apakah Dr MAZA tidak boleh dikatakan mengkafirkan?





Reactions:
[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget