Azmin gagal dalam tuntutan balas terhadap Puncak Niaga



SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali hari ini gagal dalam tuntutan balasnya terhadap Puncak Niaga Holdings Bhd (Puncak Niaga) berhubung penstrukturan semula industri air di Selangor.

Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Akhtar Tahir menolak tuntutan balas tersebut dengan kos RM3,000 selepas mendapati tiada kausa tindakan terhadap Puncak Niaga.

Beliau membuat keputusan itu di dalam kamarnya.

Peguam SH Ng hadir bagi pihak Mohamed Azmin sementara Puncak Niaga diwakili peguam Lau Mark Chi Ming.

Pada 22 Feb lepas, Akhtar membenarkan permohonan Mohamed Azmin, bekas Menteri Besar Selangor Abdul Khalid Ibrahim dan kerajaan negeri Selangor untuk membatalkan saman hampir RM14 bilion yang difailkan Puncak Niaga terhadap mereka selepas mendapati pernyataan tuntutan plaintif (Puncak Niaga) adalah cacat.

Selain mengemukakan permohonan untuk membatalkan saman itu, Mohamed Azmin turut memfailkan tuntutan balas terhadap Puncak Niaga atas alasan syarikat konsesi air itu sengaja memulakan saman tanpa alasan yang munasabah dan menyalahgunakan proses mahkamah.

Menteri besar itu menuntut ganti rugi am, faedah atas ganti rugi dari tarikh writ saman sehingga keputusan penghakiman pada kadar dianggap sesuai oleh mahkamah selain kos dan relif lanjut.

Dalam pernyataan tuntutan yang difailkan pada 27 Okt tahun lepas, Puncak Niaga antara lain mendakwa Abdul Khalid dan Mohamed Azmin menyalahgunakan kuasa mereka sebagai menteri besar dengan mengancam untuk menyebab atau memohon atau cubaan untuk menyebabkan kerajaan persekutuan menggunakan Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA) 2006 bagi memaksa pengambilalihan industri perkhidmatan air di Selangor.

Plaintif antara lain mendakwa penangguhan rundingan berkenaan usaha penyusunan semula industri air di Selangor selama lima tahun menjadi manfaat politik peribadi Abdul Khalid dan Mohamed Azmin, selain mendakwa rundingan tersebut tidak dilakukan atas dasar ‘willing buyer willing seller’ (urus niaga suka sama suka) sehingga menyebabkan plaintif mengalami kerugian serta kerosakan.

Sehubungan itu, Puncak Niaga menuntut ganti rugi, faedah ke atas ganti rugi dan kos berhubung kehilangan peluang perniagaan di dalam dan luar negara, berjumlah RM13.5 bilion.

Pada masa sama, plaintif juga menuntut ganti rugi berhubung perbezaan antara nilai PNSB Water Sdn Bhd (dahulu dikenali sebagai Puncak Niaga (M) Sdn Bhd) dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) pada kadar RM2.08 bilion hingga RM2.35 bilion.

Selain itu, plaintif menuntut pertimbangan pembelian sebenar berjumlah RM1.56 bilion di bawah Perjanjian Pembelian Saham bertarikh 11 Nov 2014 antara Puncak Niaga dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd
Labels:
Reactions:
[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget