NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Wilayah Persekutuan Perlukan Perubahan Drastik




Oleh: Jabatan Profesional Muda (JPro), Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

1] Warga Kuala Lumpur, Labuan & Putrajaya baru sahaja menyambut Hari Wilayah Persekutuan pada 1 Februari yang lepas. Namun sejauh mana warga Wilayah Persekutuan berpuas hati dengan prestasi dan keberkesanan pentadbiran Wilayah Persekutuan. Usah pergi hingga ke Labuan, cukup sekadar melihat apa perubahan yang boleh dilaksanakan bagi menjadikan Kuala Lumpur sebagai ibu negara Malaysia sebagai bandaraya yang lebih baik.

Kuala Lumpur tidak boleh berfungsi sebagai hanya sebuah bandaraya tetapi kembali sebagai Wilayah Ibu Negara
2] Dengan jumlah penduduk hampir 1.8 juta, DBKL sudah menjadi agensi yang tidak relevan dalam mentadbir Kuala Lumpur. Agensi baru perlu ditubuhkan bagi mentadbir Kuala Lumpur seperti Perbadanan Labuan & Perbadanan Putrajaya. Perbadanan Kuala Lumpur akan menjadi badan eksekutif yang mentadbir Kuala Lumpur. Perbadanan Kuala Lumpur boleh menjadi "Greater London Corporation" atau "Hong Kong SAR Government" sebagai model pengurusan wilayah yang lebih efisyen.

Memecahkan Kuala Lumpur kepada 5 Majlis Perbandaran
3] DBKL juga tidak lagi berkesan dalam mengurus hal ehwal perbandaran Kuala Lumpur. Walaupun mengurus sejumlah besar penduduk dan kawasan perbandaran yang luas, DBKL masih mempunyai mentaliti seperti sebuah majlis daerah. Masalah harian penduduk seperti jalan berlubang, longkang tersumbat dan pelbagai lagi tidak dapat ditangani dengan berkesan oleh DBKL.

4] "Smaller the better". Tiba masanya Kuala Lumpur dipecahkan kepada 5 Majlis Perbandaran kecil bagi meningkatkan keberkesanan pentadbiran perbandaran. Dengan purata 300 ribu hingga 400 ribu penduduk, Majlis Perbandaran baru ini diharap dapat memberi perkhidmatan yang lebih berfokus disamping bersaing menjadi yang terbaik dalam Kuala Lumpur.

Mansuhkan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP)
5] Kuasa eksekutif yang terlalu berpusat di KWP telah menyebabkan wilayah-wilayah di Wilayah Persekutuan tidak mempunyai autonomi dan kuasa yang jelas dalam mengurus seperti kehendak warga mereka sendiri. Warga Wilayah Persekutuan tidak perlukan Menteri tetapi memerlukan pentadbir yang boleh memahami kehendak mereka. Memindahkan kuasa Menteri di Putrajaya dan memberikan peluang kepada penduduk tempatan menentukan halatuju Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya adalah langkah terbaik ke arah itu.

6] Kewujudan Wilayah Persekutuan adalah bukti jelas bahawa Negara kita adalah sebuah persekutuan dan setiap warga dan entiti Negara bertanggungjawab memastikan kemakmuran Negara. Semoga Wilayah Persekutuan terus maju dan sejahtera.

Selamat Hari Wilayah Persekutuan.
"Bersekutu Bertambah Mutu"

#createabettermalaysia
#malaysiasejahtera

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo