NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tidak mustahil rakyat 'pulangkan' semula Kedah kepada PAS








KUALA TERENGGANU – PAS Terengganu menaruh harapan tinggi parti itu mampu mengukuhkan semula kedudukan di Kedah pada PRU14.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Satiful Bahri Mamat berkata, tidak mustahil rakyat akan mengembalikan semula Kedah kepada Pas pada pilihan raya umum akan datang berikutan kecewa dengan kemelut dalaman Umno yang melanda negeri itu beberapa hari lalu.

Menurutnya, pertukaran Menteri Besar Kedah sudah tentu mengecewakan sebahagian ahli dan pengundi BN dan keadaan itu berpotensi mendorong mereka menyokong pembangkang.

“Rakyat sudah tentu mencari alternatif lain (pada PRU14). Lagipun Umno bukannya menang besar di negeri itu.


“Kita taruh harapan tinggi dan optimis Kedah akan diambil alih pembangkang,” katanya, di sini.

Beliau berkata, sikap pengundi yang dianggap bijak membaca permainan politik semasa mungkin berpotensi menambahkan undi pembangkang sekali gus mengatasi kerusi BN pada PRU14.

Mengulas lanjut, Satiful yang juga Pengerusi Lajnah Politik dan Pilihan Raya PAS Terengganu berkata, isu di Kedah tidak menggambarkan situasi yang benar-benar memerlukan pertukaran menteri besar.

Katanya, beberapa isu yang timbul di peringkat nasional sehingga memberi kesan besar terhadap rakyat sepatutnya diselesaikan terlebih dahulu tanpa menambah apa-apa isu lain yang boleh menyebabkan rakyat berasa muak.

Jelasnya, beliau sendiri hairan dengan sikap Umno sehingga perlu kepada pertukaran menteri besar baharu sedangkan menteri besar terdahulu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dilihat tidak mempunyai masalah.

“Kita pun tidak tahu apa salah Mukhriz. Keadaan ini menyebabkan rakyat meluat kerana mereka menghadapi tekanan ekonomi, kereta pula akan naik harga dan Kedah masih ramai lagi rakyat miskin, yang menoreh getah, harga getah pula jatuh. Apabila timbul krisis politik seperti ini, rakyat akan kecewa,” katanya.






____________ 
Penafian: 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
© all rights reserved
made with by templateszoo