PRU14: Cabaran pertandingan 4 penjuru di Semenanjung ?






Dapat dijangkakan pilihan raya umum ke-14 (PRU14) ini akan berlaku pertandingan lebih daripada satu lawan satu bukan saja kerana ada parti yang menolak kedua-dua Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), tetapi juga penyertaan calon bebas di kawasan tertentu seperti kebiasaan dahulu.

Cumanya di Semenanjung Malaysia, tanpa diambil kira calon bebas, hampir pasti akan berlaku pertandingan 3 penjuru melibatkan BN, PH dan Gagasan Sejahtera (GS) di banyak tempat.

PH sudah menghantar permohonan untuk didaftarkan dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM), tetapi mereka masih menanti kelulusannya. Melihat gayanya, ia tidak sempat didaftarkan bagi PRU14.

Maka, terpaksalah mereka bertanding menggunakan lambang parti calon bertanding, iaitu PPBM, PKR, Amanah dan DAP, walaupun PH sudah memiliki satu logo.

PH memutuskan pembahagian kerusi Parlimen yang dipertandingkan bagi seluruh Semenanjung Malaysia dengan PPBM dan PKR memperoleh kawasan paling banyak, kemudian DAP dan paling kurang adalah Amanah. Ini berlaku walaupun PPBM adalah parti paling baharu.

Kalau hendak dikirakan, DAP paling tua. Tetapi, pemimpin PPBM dan Amanah adalah ahli politik berpengalaman, dan sudah tentu Pengerusi PPBM dan PH, Tun Dr Mahathir Mohamad paling senior.

DAP tentunya parti yang bertanding di kawasan majoriti bukan Melayu, sementara PPBM dan PKR adalah parti pecahan Umno, serta Amanah daripada PAS. Maka, pembahagian kerusi turut mengikut realiti itu.

Untuk GS, tidak ada laporan menyatakan mereka memohon pendaftaran dengan JPPM. Kalau parti dalam PH lebih kurang sama besar, GS pula didominasi sepenuhnya oleh PAS, dan tentu mereka mahu menggunakan lambang sendiri.

Tidak diketahui sama ada parti yang menyertai GS, iaitu Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), Parti Cinta Malaysia (PCM) dan Barisan Jemaah Islamiah Semalaysia (Berjasa) akan bertanding pada PRU14.

Namun, 2 minggu lalu, ada petanda akan berlaku pertandingan 4 penjuru di kawasan tertentu, tidak banyak tetapi ia boleh menjejaskan undi PH.

Cabaran itu datang daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM). Kedua-duanya parti kecil, tetapi kalau di peringkat kawasan pilihan raya, ia boleh mengurangkan undi PH, walaupun ia mungkin tidak sampai mencapai kemenangan.

Tidak seperti Ikatan, PCM dan Berjasa, PSM mempunyai kegiatan tersendiri di kawasan mereka dan PRM pula parti bersejarah panjang yang sedang diusahakan untuk disegarkan semula.

Oleh kerana kedua-duanya mempunyai ideologi serupa, maka timbul cadangan ditubuhkan pakatan PSM dan PRM dengan nama Gabungan Kiri.

Jika ia ditubuhkan, maka dalam pentas politik Semenanjung Malaysia, terdapat 4 gabungan parti. Tetapi, Gabungan Kiri jauh lebih kecil daripada GS kerana PRM dan PSM amat kecil berbanding PAS.

Tetapi, ternyata parti yang menjadi pembangkang berpecah kepada 3 dengan GS pula bersikap mesra BN. Kedua-dua GS dan Gabungan Kiri hanya memecahkan undi pembangkang.

PSM sedar perkara ini dan menganggap Gabungan Kiri terlalu kecil untuk menjadi blok politik. Mereka mengharapkan rundingan dengan PH.

Namun, Gabungan Kiri diisytiharkan bukan blok politik, tetapi 13 kumpulan masyarakat yang mendokong Manifesto untuk 99%. Dalam 13 kumpulan itu, hanya PSM ialah parti politik. PRM tidak kelihatan dalam senarai itu.

PSM dan PRM mempunyai asal-usul sama. Ketuanya, Dr Nasir Hashim yang mengasaskan PSM adalah bekas aktivis Parti Sosialis Rakyat Malaya (PSRM).

Apabila PSRM menggugurkan perkataan sosialis pada namanya untuk menjadi PRM, Nasir membantah dan keluar parti untuk menubuhkan PSM pada April 1998 bersama kumpulan aktivis pembela pekerja ladang.

Bagaimanapun, JPPM menolak penubuhannya. Ada laporan menyatakan pengasas PSM ini berusaha mengambil alih sebuah parti kiri, Parti Pekerja-pekerja Malaysia (PPM), tetapi tidak berjaya. PPM akhirnya digunakan bagi penubuhan Amanah.

Usaha PSM didaftarkan turut disokong Presiden PRM ketika itu, Dr Syed Husin Ali. Ia hanya dapat didaftarkan selepas PRU 2008.

Ketika itu, 2 pemimpinnya, Nasir dan Dr Michael Jeyakumar Devaraj memenangi PRU di bawah tiket PKR di Kota Damansara dan Sungai Siput.

Namun, apabila Pakatan Rakyat (PR) ditubuhkan, PSM tidak menjadi anggota. Kedua-dua pemimpin PSM itu bagaimanapun mewakili PR di Dewan Undangan Negeri Selangor dan Dewan Rakyat.

Nasir kalah pada PRU 2013, apabila PAS turut bertanding di kawasannya yang memberikan kemenangan kepada BN.

Minggu lalu, Jeyakumar yang merupakan ahli Jawatankuasa Pusat parti itu berkata, kemungkinan mereka terpaksa bertanding menentang PH kerana tidak diberikan kawasan dalam pembahagian kerusi gabungan pembangkang.

Beliau yang merupakan pemimpin utama aliran sosialis di negara ini mendakwa PKR dan DAP tidak menunaikan janji untuk memperuntukkan kawasan bagi PSM.

Ternyata, berlaku perbalahan terbuka antara DAP apabila Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming mengeluarkan kenyataan balas terhadap Jeyakumar dengan berkata PSM tidak berunding dengan PH Perak.

Kawasan Sungai Siput berada dalam Perak. Walaupun, DAP mahu bertanding di kawasan itu, tetapi pembahagian kerusi menyaksikan ia diberikan kepada PKR.

Jeyakumar menang di kawasan itu pada PRU 2013 dan 2008 menggunakan lambang PKR. Tetapi, kali ini PSM membuat keputusan bertanding menggunakan lambang sendiri berbentuk genggaman tangan.

Seminggu sebelum itu, Ahli Jawatankuasa Pusat PSM, S Arutchelvam berkata partinya akan bertanding di 5 kerusi Parlimen dan 12 kerusi DUN. Ia mengumumkan kawasan yang hendak ditandingi itu tanpa perbincangan dengan PH untuk mengelak pertandingan banyak penjuru.

Tetapi, PSM sememangnya bukan anggota PH. Sejak PH ditubuhkan pada 2015, ia tidak diajak menyertai gabungan itu.

Perkara ini pernah ditimbulkan beberapa penyokong pembangkang, tetapi PSM juga tidak berusaha mendekati PKR, DAP dan Amanah. Sedangkan PSM kelihatan mempunyai hubungan baik dengan Presiden Amanah, Mohamad Sabu yang pernah menghadiri perasmian mesyuarat agung tahunannya.

Walaupun Amanah sebuah parti baharu, ia berunding dengan PKR dan DAP untuk menubuhkan PH bagi menggantikan PR, selepas PAS memutuskan hubungan dengan DAP.

Malah, PPBM yang lebih baharu dapat menyertai PH, tetapi kedudukan Dr Mahathir membolehkan bukan saja PPBM diterima dalam PH, beliau sendiri turut menjadi pengerusi.

Sememangnya, walaupun PPBM parti baharu, tetapi ternyata ia mempunyai pengaruh lebih besar berbanding parti lama yang kecil. Amanah dan PPBM adalah parti Melayu juga satu faktor, PSM pula dilihat sebagai parti India.

PRM pada asas dan asalnya ialah parti Melayu, walaupun ia mempunyai ahli Cina dan India. Tetapi penyegaran semula PRM tahun ini berbentuk penyertaan bekas ahli DAP dan PKR yang kebanyakannya Cina dan India dalam PRM.

Paling utama ialah bekas adun DAP, Jenice Lee dan Philip Tan yang menyertai PRM di Selangor. Terdapat juga 70 bekas ahli PKR yang antaranya daripada kaum India menyertai PRM kerana membantah kepimpinan Dr Mahathir dalam PH.

Di Pulau Pinang, PRM lantang menentang kerajaan PH. Penentangan terhadap DAP dan PKR menyebabkan PRM sukar bekerjasama dengan PH.

Namun seperti PSM, PRM sukar memperoleh kemenangan dalam fokus sebahagian rakyat hendak menumbangkan BN. Maka, sama ada PAS, mahupun PSM dan PRM, seperti juga kumpulan penyokong kempen undi rosak akan dianggap pengacau PH.

Walaupun asas perjuangan mereka berniat baik, tetapi tindakan mereka hanya menguntungkan BN. Hasrat memberi tawaran lebih baik kepada rakyat berbanding PH berakhir dengan pemberian sumbangan kepada penerusan pemerintahan BN.


>> Komentar bebas Zin Mahmud, bekas Pengarang Kanan Utusan Malaysia I 21 Februari 2018.


________________
Penafian: 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
Reactions:
[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget