NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PAS Punyai Kekuatan, Bukan Parti Mat Jenin - Hadi



IPOH -- PAS mempunyai kekuatan dan sokongan padu di peringkat akar umbi yang mampu mengharungi suasana politik tanah air dan bukannya sebuah parti bersifat 'Mat Jenin', tegas Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata ini dibuktikan dengan kewujudan 195 jawatankuasa parti di peringkat kawasan, di samping jumlah anggota yang dianggarkan kira-kira sejuta.

"Orang mengatakan (parti) kita Mat Jenin, Mat Jenin ni dia panjat pokok dia tergantung di pelepah yang rapuh. Dia goyang, dia jatuh."

"Kita (PAS) bukan pelepah yang rapuh. Hari ini di seluruh negara, PAS mempunyai 195 kawasan dan hampir sejuta ahli. Kita ada kekuatan, ada akar umbi yang kukuh," katanya semasa berucap merasmikan Wisma Purnama PAS Kawasan Gopeng, di sini, hari ini.

Pada 23 Jan lalu, Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam sidang media di Putrajaya, menyifatkan hasrat PAS untuk bertanding di lebih 130 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) bersifat sebagai 'angan-angan Mat Jenin'.

Dalam pada itu, Abdul Hadi yang merupakan Anggota Parlimen Marang turut menempelak kenyataan Naib Presiden PKR Prof Dr Shaharuddin Badaruddin yang mendakwa gabungan PAS dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) sukar untuk membentuk kerajaan.

Katanya, individu luar terutama pimpinan Pakatan Harapan tidak berhak mencampuri sebarang urusan berkaitan pentadbiran dan hala tuju PAS.

"Dia orang luar. Dia tak tahu sukar atau tidak. Kita sendiri yang memikul tanggungjawab dan kita rasa makin hari makin baik, makin hari makin kuat," katanya.-- BERNAMA





















________________ Penafian: 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
© all rights reserved
made with by templateszoo