Hubungan PKR-PAN: Retak menanti belah?



MENGIKUT Fasal 3.3 dan Fasal 3.4 Perjanjian Pakatan Harapan (PH) yang ditandatangani pada 9 Januari 2016, hendaklah wujud dalam PH itu "sebuah Badan Perantara (yang) dilantik oleh Majlis Presiden" di mana badan yang dianggotai oleh seorang wakil dari setiap parti ini berfungsi "untuk mendamaikan pihak yang mempunyai pertikaian di dalam PH dengan mencari penyelesaian yang paling adil kepada pihak dan parti terbabit setelah aduan mengikut Fasal 3.2 dirujuk kepadanya".

Mengikut Fasal 3.2 Perjanjian PH ini pula, "setiap anggota dari setiap parti berhak membuat aduan terhadap anggota dari parti lain di dalam PH sekiranya perbuatan anggota parti lain itu melanggar peruntukan-peruntukan Fasal 2.2 dan Fasa 2.3 sehingga mengakibatkan kerugian, memalukan atau mencemar nama baik anggota atau parti yang membuat aduan itu." 

Semalam, beberapa perbuatan yang mengakibatkan kerugian, memalukan dan mencemar nama baik anggota PAN dan PKR sebagai pemimpin parti politik serta nama baik PAN dan PKR sebagai parti politik telah dilakukan oleh kedua-dua pemimpin PKR dan PAN.

Ia bermula dari tindakan Timbalan Presiden PKR yang juga Pengerusi PKR Selangor dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, menggelarkan PAN sebagai pembohong dan tidak amanah yang diikuti oleh tindakan Pengerusi PAN Selangor, Izham Ramli, menggelarkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai badut yang tidak layak menjadi Menteri Besar Selangor dan Pengerusi PH Selangor.

Terbaru adalah tindakan Pegawai Khas Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Muhammad Hilman Idham, yang menggelarkan PAN sebagai "parti 2 peratus" dan tindakan Timbalan Ketua AMK Pusat yang juga Ahli EXCO Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dr Afif Bahardin, yang menggelarkan PAN sebagai "parti 1.4-1.5 peratus".

Perbuatan gelar-menggelar yang sudah bertukar menjadi hina-menghina antara pemimpin PKR dan PAN ini memberikan imej yang sangat tidak baik terhadap kesatuan politik dalam PH di mana PH seolah-olah langsung tidak mempunyai sebarang mekanisme untuk mendisiplinkan ahli-ahlinya.

Benar, Perjanjian PH memberi hak kepada setiap anggota dari setiap parti untuk membuat aduan terhadap anggota dari parti lain melalui Badan Perantara, tetapi malangnya sehingga kini Badan Perantara ini tidak diketahui telah diwujudkan oleh Majlis Presiden PH menyebabkan aduan begini tidak dapat dibuat di samping tiadanya tindakan proaktif dari pimpinan tertinggi PH sendiri untuk menyelesaikan pertikaian.

Bila gelar-menggelar sudah bertukar nada menjadi hina-menghina, alamatnya hubungan kedua-dua parti politik ini bagai retak menanti belahlah.

Ini kerana hanya parti politik yang tidak bermaruah sahaja yang ahli-ahlinya sanggup membiarkan parti mereka dihina sesuka hati. 
Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget