NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Akar Umbi:Jawapan Azmin gagal




Oleh: FAEKAH Husin.

Jawapan Azmin gagal jelaskan isu pokok - Faekah

SHAH ALAM: Kenyataan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Pengarah Strategik Komunikasi pejabatnya, Yin Shao Loong berhubung isu tanah di Ijok semalam, gagal menjelaskan isu pokok, iaitu mengapa Kerajaan Negeri membuat persetujuan luar mahkamah dalam kes rayuan membabitkan tanah berkenaan sebelum ia dibicarakan.

Pegawai Khas kepada bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Faekah Husin, dalam satu kenyataan media, hari ini, berkata pada hakikatnya, tanah terbabit itu sudah dirampas oleh Kerajaan Negeri daripada dua syarikat pemaju iaitu LBCN Development Sdn Bhd dan Mujur Zaman Sdn Bhd.

Faekah mendakwa, kedua-dua syarikat berkenaan bukan sahaja melanggar pelbagai undang-undang tanah, malahan gagal untuk meneruskan projek perumahan seperti yang dijanjikan kepada peneroka dan pembeli rumah.

"Lebih teruk, mereka juga mencagarkan tanah itu bagi mendapat pinjaman ratusan juta ringgit.

"Dengan rekod begitu buruk, Kerajaan Negeri tidak sepatutnya bersetuju membuat penyelesaian luar mahkamah, apatah lagi, keputusan di peringkat Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan menyebelahi Kerajaan Negeri.

"Jika diteliti dokumen penyelesaian luar mahkamah yang sudah tersebar di internet, Kerajaan Negeri bersetuju menarik balik semua notis rampasan yang bermakna kedua-dua syarikat itu mendapat semula hak ke atas tanah terbabit.

"Kemudian Kerajaan Negeri memberi kebenaran kepada syarikat itu menjual tanah-tanah berkenaan kepada pihak ketiga, sekali gus turut bergembira apabila syarikat yang telah mengkhianati peneroka dan pembeli rumah ini mendapat keuntungan besar," katanya.

Justeru, Faekah yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Diperbadankan (MBI), mempersoalkan apa jasa kedua-dua syarikat itu yang menyebabkan Kerajaan Negeri dikatakan menyelamatkan mereka daripada dikenakan tindakan daripada pihak bank.

"Bukankah ini salah satu bentuk "bailout" namanya?

"Menteri Besar kononnya mengatakan ini untuk menyelesaikan masalah peneroka tapi untuk makluman, kerajaan Pakatan Rakyat (bukan Pakatan Harapan) sudah menyelesaikan sebahagian besar masalah yang dibuat oleh kedua-dua syarikat itu, iaitu projek terbengkalai Taman Alam Perdana.

"Pada 2012, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyerahkan 684 kunci rumah kepada peneroka dan pembeli rumah Taman Alam Perdana. Semua dilakukan tanpa menggadai tanah kepada syarikat yang gagal mengotakan janji kepada peneroka, pembeli rumah dan Kerajaan Negeri.

"Jika Pengarah Strategik mengutuk perbuatan kerajaan terdahulu yang kononnya memberi tanah kepada kroni, tetapi kroni yang samalah yang dibantu oleh Kerajaan Negeri hari ini.

"Inilah yang dikatakan telunjuk lurus kelingking berkait, " katanya lagi.

Pada masa sama, Faekah berkata, Shao Loong pula sepatutnya perlu lebih risaukan aliran perbelanjaan operasi Kerajaan Negeri yang membentangkan bajet defisit selama tiga tahun berturut-turut, termasuk yang mencecah RM1 bilion tahun ini berbanding dengan kebimbangannya terhadap keputusan Abdul Khalid merampas tanah yang dikatakan berisiko tinggi terhadap Perbendaharaan negeri.

© all rights reserved
made with by templateszoo