NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

UMMAH jawab fitnah media



KENYATAAN JAWAPAN UMMAH


1. Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) mengikuti liputan akhbar bercetak mahupun portal dalam talian, berkenaan Konvensyen Kebangkitan UMMAH (KKU) yang berlangsung dengan jayanya di Dewan Muktamar, Pusat Islam Kuala Lumpur, pada hari Sabtu baru-baru ini (13 Januari 2018). Ucapan terima kasih ingin kami panjangkan kepada para wartawan dan portal berita yang sudi membuat liputan terhadap konvensyen yang julung-julung kali diadakan ini, yang telah mendapat penyertaan sekitar 1,500 pimpinan dan aktivis yang mewakili lebih 300 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu-Islam di seluruh Malaysia, melangkaui dan merentas sebarang kepentingan politik yang bersifat kepartian.


2. Dalam pada itu, UMMAH juga mendapati bahawa terdapat segelintir portal berita yang cuba untuk memburuk-burukkan usaha murni UMMAH bagi menyatu-padukan suara umat Melayu-Islam di negara ini. Hal ini dilakukan dengan cara memetik sebahagian ucapan oleh para pembentang dalam KKU tempoh hari, dan kemudian menjadikannya pokok berita yang lari dari konteks yang sebenarnya disampaikan oleh pembentang yang terlibat.


3. Hal ini termasuk dua laporan berita terawal yang diterbitkan oleh The Malay Mail Online, dengan kandungan-kandungan seperti berikut:-


(a)     “In fiery speech, cleric tells forum only Malays fought invaders, communists… Ismail Mina Ahmad, the chairman of the Ummah umbrella group for Muslim organisations, also asserted that only the Malays had battled the communists, which he claimed made the community a target of the predominantly-Chinese Insurgency that lasted for forty years”; [1]


(b)     "At Ummah convention, ex-educator urges ban on scholarship for minorities … Datuk Raof Husin, representing the Malaysian Association of Former Education Officers, told the Rise of Ummah Convention here that the government was constitutionally bound to limit study aid to Bumiputra”; [2] dan


(c)     “Ahmad Yazid, the chief executive of Malay Economic Action Council (MTEM), said the government must introduce anti-discrimination laws, but proposed they be appliedonly to minority-owned firms.” [3]


4. UMMAH menafikan ketiga-tiga intipati laporan berita tersebut, kerana ucapan para pembentang telah dipetik secara salah, serta menokok tambah perkara yang sebenarnya tidak disebutkan, sehingga menyeleweng dari konteks yang dimaksudkan. Sehubungan itu, UMMAH ingin menegaskan dan merekodkan perkara-perkara berikut:-


(a)     Berkait dengan laporan dalam perenggan 3(a) di atas, ianya tidak tepat, kerana apa yang sebenarnya dinyatakan oleh Ustaz Ismail Mina ialah bahawa orang-orang Melayu, sejak daripada zaman penjajahan Portugis, membawa kepada penjajahan-penjajahan selepas itu, termasuk Jepun, Bintang Tiga, dan lain-lain, telah berjuang menentang penjajahan serta mempertahankan Raja-Raja Melayu. Beliau langsung tidak menyebut bahawa “hanya” orang-orang Melayu sahaja yang berjuang, atau menafikan sumbangan oleh para tentera / polis bukan berbangsa Melayu selepas kemerdekaan dalam memerangi komunis.


    Tindakan wartawan The Malay Mail Online yang menokok perkataan “only (hanya)” telah menyebabkan fitnah dan kezaliman terhadap Ustaz Ismail, yang lantaran daripadanya banyak rencana dan tulisan-tulisan yang kemudiannya diterbitkan  di pelbagai portal dalam talian menyerang Ustaz Ismail secara salah dan tidak adil.


     Konteks sebenar yang dibawakan oleh Ustaz Ismail Mina, ialah untuk mengingatkan kembali orang-orang Melayu terhadap pengorbanan dan perjuangan orang-orang Melayu dahulu-kala, serta jerih payah tok-nenek kita dalam memerangi penjajahan. Maka seyogia dibangkitkan tentang orang-orang Melayu yang berjuang menentang Bintang Tiga, sebagai satu episod yang amat pedih dalam memori kolektif orang-orang Melayu, justeru tak wajar dilupakan oleh generasi pada hari ini.


    Atas dasar ini, Ustaz Ismail mengajak agar orang-orang Melayu-Islam untuk bangkit bersatu sebagai sebuah ummah untuk menuntut hak-hak yang telah sedia termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan berteraskan kearifan lokal, yakni berkait dengan kedaulatan Raja-Raja Melayu, kedudukan orang-orang Melayu, dan ketinggian Islam sebagai agama bagi Persekutuan.


(b)     Berkait dengan laporan dalam perenggan 3(b) di atas, ianya juga tidak tepat, kerana apa yang sebenarnya dinyatakan oleh Datuk Raof Husin ialah untuk menuntut kembali agar pihak berkuasa memperuntukkan biasiswa kepada para pelajar Melayu dan Bumiputra Sabah dan Sarawak, seperti yang telah diperuntukkan dan dijamin dalam Perkara 153(1) Perlembagaan Persekutuan. Beliau langsung tidak menuntut agar biasiswa kepada kaum-kaum lain di bawah mana-mana peruntukan perundangan lain untuk dihentikan, seperti yang didakwa secara menyeleweng oleh wartawan The Malay Mail Online. Ucapan oleh Dato Raouf Husin ketika KKU, secara verbatim, adalah seperti berikut:- 


    "Perlembagaan Malaysia 153, perkara 1, hak istimewa orang Melayu dan bumiputera sabah sarawak dalam pendidikan ….. dalam pendidikan … penganugerahan biasiswa, danasiswa, penempatan di institusi pendidikan, mesti dikembalikan pada orang Melayu, dan bukan pada orang lain. Sebab ini telah termaktub dalam Perlembagaan dan merupakan wasiat — 6 wasiat Raja-Raja Melayu. Tidak seperti hari ini, kita sepatutnya disusukan, tetapi kita tidak disusukan, beri pada orang lain, dalam konteks dasar meritokrasi ke IPTA. Kita kena tentang, kita kena rayu, kena mohon kembali….”


(c)     Berkait dengan laporan dalam perenggan 3(c) di atas ianya juga tidak tepat, kerana Ketua Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu, Saudara Yazid, langsung tidak pernah mencadangkan agar penguatkuasaan undang-undang anti-diskriminasi hanya perlu dilaksanakan terhadap firma-firma yang dimiliki oleh kelompok minoriti sahaja (seperti kaum Cina dan India). Ini adalah semata-mata fitnah jahat oleh wartawan The Malay Mail Online.


5. UMMAH menggesa semua pihak agar berhati-hati dalam menanggapi laporan-laporan oleh portal-portal yang tidak bertanggungjawab, dan mengamalkan prinsip tabayyun, yakni memeriksa sebelum menyebarkan sesuatu yang tidak dipastikan sumber kebenarannya. Akhir sekali, UMMAH ingin mengajak semua pihak, untuk meneliti senarai tuntutan UMMAH, yang boleh dicapai dalam halaman facebook Gerakan Pembela Ummah - UMMAH (@ummah.official).


Tuan Haji Aminuddin Yahya

Ketua Sekretariat

Gerakan Pembela UMMAH




Ruj:


[1] Syed Jaymal Zahid, “In fiery speech, cleric tells forum only Malays fought invaders, communists”, The Malay Mail Online, 13 Januari 2018, http://www.themalaymailonline.com/malaysia/article/in-fiery-speech-cleric-tells-forum-only-malays-fought-invaders-communists#P1lp2kxfXHV4oP5h.97


[2] Syed Jaymal Zahid, "At Ummah convention, ex-educator urges ban on scholarship for minorities”, The Malay Mail Online, 13 Januari 2018, http://m.themalaymailonline.com/malaysia/article/at-ummah-convention-ex-educator-urges-ban-on-scholarships-for-minorities


[3] Ibid

Sumber gambar: FB Ummah Official

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo