NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Dewan Ulama PAS Negeri Sembilan Gesa Keputusan Mahkamah Syariah Dihormati



Oleh: Ustaz Rosmin Adam, CR

Ekoran isu pertikaian di antara Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah melibatkan kes perebutan anak antara Mohd Ridzuan Abdullah dan M Indira Ghandi. Mohd Ridhuan menukar agama tiga anak mereka, Tevi Darsiny, Karan Dinish dan Prasana Diksa, sepuluh tahun lalu tanpa kebenaran dan pengetahuan isterinya, M.Indira Gandhi.

Mahkamah Persekutuan pada hari Isnin baru-baru ini telah mengenepikan penukaran agama sebelah pihak yang melibatkan 3 anak Indira, selepas memutuskan sebarang penukaran agama kanak-kanak bukan Islam harus mendapatkan persetujuan kedua-dua ibu bapa. Mahkamah juga memerintahkan hanya mahkamah sivil boleh memberi keputusan dalam hal seperti itu.

Keputusan yang diputuskan oleh pihak Mahkamah Persekutuan ini telah mengakhiri perebutan selama sembilan tahun mengenai hak penjagaan antara agama, susulan tindakan bekas suami India yang masuk Islam, Muhammad Riduan Abdullah, menukar agama 3 anaknya tanpa pengetahuan ibu mereka pada 2009.

Mahkamah turut memutuskan perkataan “parent” seperti dalam Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan perlu dibaca sebagai bermaksud kedua-dua ibu dan bapa. Menurut perkara itu, seorang penjaga atau parent (ibubapa) berhak menukar agama anak mereka yang belum mencapai umur 18 tahun.

Keputusan mahkamah kali ini memperlihatkan tidak lagi terikat dengan keputusan kes R Subashini lawan T Saravanan yang berlaku pada tahun 2007 yang menyaksikan isteri yang beragama Hindu itu diarahkan untuk mencari jalan penyelesaian di Mahkamah Rayuan Syariah untuk menghentikan suaminya yang beragama Islam daripada menukar agama anak mereka tanpa persetujuannya.

Yang jelasnya, keputusan Mahkamah Persekutuan ini telah memberi isyarat kepada rakyat Malaysia apabila seorang muallaf yang ingin mengislamkan anaknya di bawah umur, pengislaman itu dianggap tidak sah di sisi undang-undang sehingga bila-bila. Namun, keputusan mahkamah ini dilihat seakan bercanggah dengan hukum syara’ dan perlembagaan negara.

Sehubugan dengan itu, pensyarah UTM, Dr Muhammad Fathi Yusof menyatakan perbahasan ini akan berlanjutan dalam tempoh yang lama.

Menurut beliau, penyelesaian terbaik ialah dengan menggerakkan usaha untuk mengharmonikan kedua-dua institusi mahkamah ini dengan tersusun dan berperingkat. Masalah konflik bidang kuasa ini akan reda jika kita mencantumkan mahkamah sivil dan mahkamah Syariah menjadi satu institusi yang tunggal dengan menjadikan prinsip Islam sebagai rujukan yang utama.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang pula menegaskan keputusan mahkamah berhubung kes penukaran agama sepihak membabitkan M Indira Gandhi dan bekas suaminya, Mohd Ridhuan Abdullah, akan menimbulkan konflik dalam kes seumpamanya di masa hadapan.

Menurut Musa, keputusan ini boleh menimbulkan konflik, misalnya perebutan anak sehingga anak dibawa lari pihak tertentu (sama ada penjaga yang beragama Islam mahupun bukan Islam yang tidak mendapat hak penjagaan). Kemudian anak disembunyikan sehingga anak itu membuat pilihan selepas mencapai umur 18 tahun.

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia , Dato’ Haji Zainul Rijal Abu Bakar pula mendesak semua kerajaan negeri agar meminda undang-undang tubuh masing masing dengan meletakkan penubuhan Mahkamah Syariah di dalam Undang-Undang Tubuh sebagaimana yang terdapat dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Trengganu.

Dengan cara itu mahkamah Syariat akan dilihat sama taraf (at par) dengan mahkamah sivil. Beliau juga mendesak semua undang-undang yang menghadkan mahkamah Syariah hanya terhad kepada orang Islam sahaja dipinda dengan memberi kelonggaran kepada orang bukan Islam hadir sebagai pihak di mahkamah syariah. Dengan cara ini orang bukan Islam juga boleh mendapat keadilan di Mahkamah Syariah.

Para mufti juga telah memberikan respon di atas keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan ini. Sehingga kini, akhbar-akhbar melaporkan Mufti Perak dan Pahang telah membantah keputusan Mahkamah Persekutuan.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, hukum syarak menyatakan jika salah seorang ibu atau bapa beragama Islam, maka anaknya juga seorang Islam.

Sementara itu, Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman turut membantah penghakiman bersejarah itu dengan berkata, ia akan memberi kesan kepada kes lain dalam jangka panjang.

Menurut Mufti Pahang lagi kalau ikutkan dari segi syaraknya, apabila salah seorang masuk Islam, kita mengutamakan anak-anak itu terus masuk Islam. Ini bermakna agama (anak) bawah umur itu mengikut agama salah seorang daripada dia (ibu atau bapa) yang masuk Islam.

Oleh yang demikian, Dewan Ulama PAS Negeri Sembilan berpendapat bahawa isu agama anak bawah 18 tahun ini perlu dibezakan dengan isu hak jagaan anak kerana hukum syarak boleh membenarkan ibu yang tidak beragama Islam memelihara anak kecilnya.

Justeru, agama anak berusia kurang 18 tahun perlu dikekalkan kedudukan sekarang kerana selaras dengan Perlembagaan Persekutuan. Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan yang menjadikan Islam sebagai ‘agama bagi Persekutuan’ dan undang-undang tubuh semua negeri di Malaysia selain Sarawak juga menjadikan Islam sebagai ‘agama bagi negeri’.

Dewan Ulama PAS N.Sembilan juga merujuk kepada Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Ke-87, 2009 yang secara jelas memutuskan bahawa apabila salah seorang pasangan ibu atau bapa memeluk agama Islam, status agama bagi anak bawah umur pasangan itu adalah secara langsung beragama Islam.

Oleh yang demikian , Dewan Ulama PAS N.Sembilan menggesa agar institusi kehakiman menghormati segala keputusan Mahkamah Syariah , amalan hukum syara dan perlembagaan negara yang menjadikan agama Islam sebagai agama Persekutuan.

Dewan Ulama PAS N.Sembilan juga mendesak agar pihak kerajaan yang memerintah pada hari ini mestilah bersungguh-sungguh memartabatkan Mahkamah Syariah selaras dengan peruntukan undang-undang persekutuan, bahkan ianya adalah bertepatan dengan titah dan sumpah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V pada istiadat pembukaan penggal kelima Parlimen ke-13 lalu, untuk terus memastikan kedaulatan negara kekal terpelihara, iaitu memelihara kedaulatan Islam dan kedaulatan Perlembagaan yang menjadi sebahagian daripada kedaulatan negara.

Kegagalan kerajaan BN memartabatkan kedaulatan Mahkamah Syariah ini menunjukkan secara jelas bahawa kerajaan BN tidak mampu untuk menjaga dan memelihara kemuliaan agama Islam sebagai agama Persekutuan Malaysia.

Sudah tiba masanya , umat Islam Malaysia memberi mandat kepada PAS dalam Pru 14 nanti mengundi dan memilih PAS untuk mengambil alih kuasa pemerintahan negara daripada BN, demi menjamin kemuliaan dan kedaulatan agama Islam yang suci ini agar lebih terpelihara , dihormati dan dimartabatkan.

Penulis merupakan AJK Dewan Ulama PAS Negeri Sembilan.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo