NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Cabar Pindaan RUU355, Tindakan Pramatang


Kuala Lumpur: Tindakan bekas Ahli Parlimen UMNO, Mohamed Tawfik Ismail mencabar Rang Undang-Undang Persendirian PAS iaitu Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) dan mengisytiharkannya sebagai tidak berperlembagaan adalah tidak matang, kata Peguam Kanan Persekutuan kepada Mahkamah Tinggi. 

Dalam perbicaraan kamar di hadapan Hakim Kamaludin Md Said, Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan berkata Mohamed Tawfik tidak mempunyai hak di bawah undang-undang untuk mencabar pembatalan RUU itu, lapor The Star. 

Shamsul, yang mewakili Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Setiausaha Dewan Rakyat Datuk Roosme Hamzah, membuat penyerahan dalam permohonan untuk membatalkan saman yang difailkan oleh Mohamed Tawfik terhadap kliennya. 

“Terlalu awal bagi plaintif (Tawfik Ismail) untuk menganggap bahawa kelulusan RUU ini akan menjejaskan hak-hak yang terdapat di bawah Perlembagaan”. 

“Tindakan plaintif jelas pramatang dan bersifat andaian semata-mata kerana RUU itu belum dibahaskan dan diputuskan untuk menjadi undang-undang yang sah,” katanya. 

Menurut beliau lagi, berdasarkan Artikel 63 Perlembagaan Persekutuan mengenai keistimewaan Parlimen, kesahan sebarang prosiding di mana-mana Dewan Parlimen atau mana-mana jawatankuasanya tidak boleh dipersoalkan di mana-mana mahkamah. 

Walau bagaimanapun, peguam Rosli Dahlan, yang mewakili Mohamed Tawfik, dalam penghujahannya berkata apabila melibatkan undang-undang berkanun atau Perlembagaan, adalah menjadi tugas mahkamah untuk memastikan Parlimen mematuhi had perlembagaannya dan hak keistimewaan Parlimen tidak boleh mengetepikan undang-undang Perlembagaan, dipetik oleh Malaysiakini. 

Tahun lalu, bekas Ahli Parlimen Sungai Benut, Tawfik Ismail telah memfailkan permohonan untuk menghalang usul Hadi mengenai pindaan kepada Akta 355, atau Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, daripada dibentangkan di Parlimen. Pindaan Akta 355 yang diusulkan oleh Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang adalah bertujuan untuk memperkasakan Mahkamah Syariah dalam melaksanakan hukuman jenayah.---menara.my

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo