NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ateisme vs Kedaulatan Islam Dalam Perlembagaan



oleh: Mohd. Khairul Anwar al-Idrus 

Tahun 2017 memperlihatkan betapa isu agama Islam begitu banyak sekali didebatkan dalam parlimen. Bijak pandai kita selalu berpesan; “jika kail panjang sejengkal, lautan luas jangan diduga” kerana “Jauhari juga yang mengenal manikam.”

Itulah yang berlaku dalam Sidang Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen ke-13 di Dewan Parlimen baru-baru ini apabila sekali lagi wakil pembangkang perlihatkan kecetekan berhujah yang dapat ditonton oleh seluruh rakyat dalam isu ateisme sebagai balasan hujah ke atas pencerahan yang diberikan oleh Dato’ Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, Timbalan Menteri di JPM yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal agama (lihat di sini https://www.youtube.com/watch?v=LnYoQCTeKm0)

Isu kecoh berkaitan agama Islam yang sama pernah berlaku dalam Sidang Parlimen Mesyuarat Kedua, Penggal Kelima, Parlimen ke-13, pada 6 April 2017 ketika YB Marang membentangkan RUU 355 di Parlimen (lihat di sini (https://www.youtube.com/watch?v=YC2-gA4H5TI) yang berakhir dengan Tan Sri Speaker menggunakan kuasa beliau membiarkan pembentangan oleh YB Marang dan penghuraian oleh YB Kota Baru lalu ia dibentangkan secara penuh seperti dalam https://www.youtube.com/watch?v=f-ZWh6Hz6PU

Seluruh rakyat Malaysia dapat menyaksikan aksi akhlak murah kelas terbawah yang dipamerkan oleh Ahli-Ahli Parlimen Pakatan itu. Kita terfikir sejenak: bagaimanalah perasaan rakyat di Gelang Patah, Puchong, Gopeng, Shah Alam, Parit Buntar, Shah Alam dan seangkatan dengannya apabila melihat aksi terjerit-jerit bagaikan terkena sawan Ahli-Ahli Parlimen yang telah mereka lantik itu mewakili mereka di Dewan Parlimen yang sering disebut oleh semua Ahli Dewan sebagai “Dewan yang mulia” itu? 

Begitu juga, jika Dewan itu disebut “mulia” kenapa YB-YB itu tidak berakhlak mulia? Wajarkah seorang Ahli “Yang Berhormat” berkelakuan sedemikian yang seolah-olah “melondehkan kehormatannya”. Diharap semoga semua pengundi di kawasan-kawasan yang kita sebutkan itu memikirkan calon baru dalam PRU-14 tidak lama lagi!

Itulah kehangatan yang berkumandang dalam Dewan Parlimen 6 April, 2017 lalu yang bahangnya diteruskan di media laporan berita TV dan radio, siang dan malamnya dan disiarkan di dada utama akhbar-akhbar media mainstream. Mood dan mesej yang ada amatlah jelas: “Ahli Parlimen PAS dan UMNO saling menyokong Usul RUU 355 berkaitan usaha-usaha memperkasakan dan mendaulatkan Islam dalam Undang-Undang negara oleh YB Marang manakala Ahli Parlimen DAP, PKR dan PAN menentang Usul berkenaan”. 

Kemuncak kemarahan YB-YB Pakatan Harapan telah memaksa Tan Sri Pandikar Amin Mulia selaku Speaker, laksana seorang hakim pada hari itu, menggunakan kuasa penuhnya menangguhkan sidang Dewan Rakyat tanpa bahas menyebabkan hampir semua YB Pakatan Harapan naik sawan semula. Semua itu dilakukannya kerana pada ketika itu, beliau selaku Speaker Dewan Rakyat adalah Ahli Dewan yang “very powerful” and tidak ingin menjadi “Bloody Fool” jika tidak menggunakan kuasa penuh tersebut yang diberikan di bawah Standing Order Dewan Rakyat.

Dalam senario yang agak berbeza tetapi juga cukup hangat di Parlimen pada 23 November 2017 dalam perbahasan di Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen ke-13, YB Kota Raja bertanya kepada YB Timbalan Menteri di JPM: “apakah usaha yang dilakukan oleh kerajaan mengenai kerisauannya tentang kemunculan dan pembiakan faham ateisme di kalangan anak-anak muda Melayu-Islam yang tidak mempercayai adanya Tuhan” (yang telah menubuhkan “Atheist Republic Consulate of Kuala Lumpur”). Menurutnya “masyarakat menganggap ateisme suatu ancaman kepada anak-anak muda kita apabila di dalam social media seperti facebook, mereka bertindak agresif dan menyerang agama-agama lain termasuk Islam”. 

Lalu YB Kota Raja bertanya kepada YB Timbalan Menteri bertanggungjawab atas hal ehwal agama, “setakat sekarang ini, adakah sebarang tindakan yang khusus dan spesifik kepada golongan ini dan berapa orang yang telah diambil tindakan……juga bagaimana kerajaan membendungnya atau tindakan yang akan diambil oleh kerajaan.” (lihat disini (https://www.youtube.com/watch?v=LnYoQCTeKm0).

Daripada satu segi ini adalah satu soalan yang sangat valid keperihatinannya bertanyakan tentang masalah keruntuhan akhlak, kejatuhan moral bahkan kelarutan dan hakisan kefahaman agama di kalangan anak-anak muda Melayu-Islam akibat kefahaman Islam mereka yang cetek. Generasi muda Melayu-Islam kelihatan gagal menapis informasi yang datang tanpa sempadan akibat globalisasi dengan nilai agama dan jati diri yang mereka fahami. Syabas kepada YB Kota Raja.

Dalam jawapan balasnya, YB Timbalan Menteri bersetuju bahawa ideologi ateisme amat berbahaya atas sebab golongan ateis berkenaan menyebarkan kefahaman ateisme mereka kepada bukan Islam dan Islam. Di sini YB Timbalan Menteri mengungkapkan peruntukan kebebasan beragama di bawah Perkara 11 (1) terikat kepada Perkara 11(4) yang perlu dibaca bersekali tanpa terpisah untuk menunjukkan betapa perlembagaan Malaysia melindungi Islam sebagai agama persekutuan di bawah Perkara 3(1).

Di sinilah, mengikut beliau, sekatan oleh Perlembagaan ke atas mana-mana sebaran agama, kepercayaan, doktrin selain Islam ke atas orang Islam itu ditegah dan kerajaan boleh mengadakan apa-apa peruntukan undang-undang untuk menyekat pemahaman ataupun penyebaran doktrin-doktrin yang dirasakan boleh mengganggu-gugat kesucian agama Islam itu sendiri. 

Itu bagi orang Islam. Bagi orang bukan Islam, menurutnya lagi, ia juga berkaitan undang-undang yang bertentangan dengan ketenteraman awam dan kemoralan. Sudah ada Akta Hasutan, yang sekiranya ada pihak-pihak yang cuba menyebarkan ideologi-ldeologi atau doktrin-doktrin seperti ateisme ini yang cuba menyangkal kesucian agama-agama lain, ia boleh diambil tindakan di bawah Akta Hasutan ini. 

Kata Dato’ Dr. Asyraf lagi: “Kita harus faham bahawa dalam konteks perlembgaaan Malaysia, kebebasan beragama itu bukan bermakna kebebasan untuk ‘tidak beragama’ kerana it is unconstitutional untuk mengatakan kita boleh menyebabkan pemahaman tidak beragama dalam konteks negara ini sebab “freedom of religion is not freedom from religion.” Kita tak boleh “incite people to leave religion or promote to no religion.” Dan itu selaras dengan prinsip dalam Rukunegara. 

Malang sekali apabila YB Sepang berhujah menyokong “hak golongan atheist berkenaan untuk kekal sebagai atheist” dan dikatakannya itu berperlembagaan (constitutional) bertentangan dengan hujah YB Dato’ Dr. Asyraf Wajdi sebelum ini. Lebih daripada itu, YB Sepang (lihat disini http://www.1media.my/2017/11/yb-pan-sepang-dan-shah-alam-bela.html) telah berkata ateisme adalah:-

(i) “agama” yang dilindungi di bawah “freedom of religion” di bawah Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan;

(ii) dibenarkan oleh Islam atas “sifat tolerance yang tinggi dalam Islam” malah;

(iii) “tiada paksaan dalam beragama” seperti dianjurkan Islam;

(iv) “ia adalah “inner belief” yang berupa “hak mereka untuk berpegang kepada fahaman itu” dan;

(v) “kita tidak boleh paksa seseorang itu dan apabila kita paksa seseorang, ia akan menimbulkan sesuatu yang tidak baik kepada agama itu.” 

Yang menarik lagi ialah celahan YB Shah Alam (yang sekapal dengannya dalam PAN) yang berkata:-

(i) “kita tidak bolah paksa golongan yang tidak percaya kepada kewujudan Tuhan untuk percaya;” 

(ii) “kerana mereka adalah agnostic dan atheist.” 

(iii) “orang Islam tidak boleh atheist “because that is a contradiction in terms.” 

(iv) “apa kita boleh buat untuk tangani masalah ini ialah bukan dengan memaksa mereka supaya percaya kepada Tuhan dan jangan jadi ateis.”

(v) “Oleh itu kita kena berhujah dan kita tidak akan dapat tangani masalah ini jika kita ambil pendekatan yang keras yang menyebabkan mereka menyembunyikan (kefahaman ateisme mereka itu). Ini menyebabkan kita tidak akan dapat menyelesaikan masalah mereka sedangkan kita nak menyelamatkan mereka”. 

(vi) “kita nak mereka supaya percaya kepada Tuhan supaya mereka datang kepada Islam. Kalau mereka tidak bersuara kita takkan tahu mereka bermasalah. Biarlah mereka bersuara dan kita akan perjelaskan. Dalam Islam memanglah orang Islam tak boleh atheis.”


Bagi saya kedua-dua YB Kota Raja dan YB Shah Alam berkenaan sedar dan peka dengan isu pembiakan ateisme yang amat membimbangkan itu. Keduanya bersetuju untuk “menyelamatkan” golongan ateis di kalangan anak-anak muda Melayu-Islam itu. Jawapan balas Timbalan Menteri juga adalah tepat untuk mengklasifikasikan ateisme sebagai ancaman, bukan sahaja kepada penganut agama Islam di bawah Perkara 11(1) dan 11(4) Perlembagaan tetapi juga bertentangan dengan Akta Hasutan untuk penyebaran di kalangan agama lain dengan hujah-hujah seperti di atas.

Berdasarkan pembentangan dua orang YB PAN itu walaupun ada sedikit perbezaan dengan penjelasan YB Timbalan Menteri, namun tak sedahsyat pemahaman dan keliru gila siYB Sepang. Masakan tidak, YB Shah Alam pun sebenarnya sokong YB Kota Raja dan YB Timbalan Menteri bahawa ateisme mesti dibendung dan mereka mesti “diselamatkan” sedangkan YB Sepang kata biarkan mereka jadi ateis kerana itu hak mereka dalm konteks freedom of religion perlembagaan Malaysia. Beza sangat tu! Cuma YB Shah Alam cakap berputar-putar tetapi mempunyai maksud yang sama kerana ateisme bertentangan dengan Islam dan agama Islam dikawal oleh perlembagaan persekutuan.

Dalam hal ini, eloklah jika YB Kota Raja dan YB Shah Alam sekolahkan YB Sepang tu dulu sebelum dia berucap dalam Parlimen. Jangan kasi malu parti PAN yang dikatakan “perjuangkan Islam serbagai ganti PAS.” Kesian YB Sepang tersasar jauh, melalut ke dasar laut jauhnya. 

Sebagai “bekas peguam yang dihormati dalam PAS” suatu ketika dulu, kenapalah menjunamkan diri sebegitu rupa sehingga boleh menyamakan “ateisme sebagai sebuah agama.” (lihat disini http://www.ismaweb.net/2017/11/29/apa-sudah-jadi-dengan-hanipa-maidin-pemimpin-parti-pan/) dan di sini (http://www.harakahdaily.net.my/index.php/berita/4222-pan-pertahan-hanipa-bahawa-ateisme-adalah-agama). Tak lama kemudian, dia boleh “konar baring” pulak sebagaimana di sini https://www.tranungkite.net/v12/modules.php?name=News&file=article&sid=37092) dan di sini (https://www.malaysiakini.com/news/404044) lagi.

Barangkali tak salah dan ada benarnya kata-kata pemerhati politik, bahawa itulah tanda-tandanya “melangar bay’ah yang telah dilafazkan ketika menjadi calon PAS dalam PRU-13 dan kini keluar PAS dan menganggotai PAN tanpa menyerahkan kerusi Parlimen yang dimenanginya.” Dan itu hanya balasan di dunia…..

Maka amat tepat kata-kata YB Marang ketika menbentangkan RUU 355 pada bulan April 2017 yang lalu:

“Sebagai contoh, bagi sesuatu kesalahan di bawah Akta Hidupan Liar, undang-undang sivil boleh memperuntukkan denda sehingga RM50,000.00 ke atas seseorang yang didapati bersalah memelihara burung tertentu sedangkan kesalahan syariah seperti mengajar ajaran sesat yang berjaya menyelewengkan ‘aqidah atau memurtadkan sebegitu ramai pengikutnya yang beragama Islam di negara ini, jika disabitkan kesalahannya, hanya boleh didenda tidak lebih daripada RM5,000.00. Apakah demikian rendahnya nilai harga sebuah ‘aqidah Muslim? Tergamakkah kita membiarkan Agama Allah dimartabatkan sedemikian rendah di negara kita yang memperuntukkan agama Islam selaku agama negara di bawah Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan?”

Dan teringat juga kita akan kata-kata beliau lagi:

“Kesimpulannya teramat banyak perlindungan kepada masyarakat bukan Islam yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan daripada disentuh oleh Mahkamah Syariah. Hanya ahli politik yang kemaruk kepada undi mereka sahaja yang hampir menjadi hilang kewarasan mencetuskan kebimbangan di kalangan masyarakat bukan Islam untuk menolak pindaan kepada Akta 355 ini. Kita ingin mengingatkan bukan Islam: jangan permainkan-mainkan agama Islam yang dilindungi oleh Perlembagaan Persetukuan di mana DYMM SPB Yang DiPertuan Agong telah mengangkat Sumpah Jawatan akan memelihara Agama Islam selaku Agama Negara. Mendaulatkan Islam sebagai Agama Negara menjadi cita-cita setiap warga Islam Malaysia dan PAS akan terus membawa Obor Mendaulatkan Islam di negara ini dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan sedia ada.”

Barangkali sudah sampai masanya seluruh ahli Parlimen dan rakyat jelata yang membuat pemilihan semasa pilihanraya umum ke-14 nanti memikirkan semula untuk kembali mempertahankan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan sebagaimana yang telah dicadangkan oleh Suruhanjaya Reid dan diperkenankan oleh baginda Raja-Raja Melayu sehingga ia termaktub kukuh sebagai agama negara bagi sebuah negara berbilang bangsa, budaya dan agama bernama Malaysia.


Daulatkan Islam Agama Negara. Itu adalah hak seluruh warga Malaysia yang sudah terpahat sejak 1957 lagi!
© all rights reserved
made with by templateszoo