NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Isu kepincangan PPBM belum selesai



KLUANG: Kenyataan Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Kamaruddin Mohd Noor, yang mendakwa isu penangguhan perhimpunan parti itu selesai disifatkan hanya sebagai permainan untuk menipu ahli mengenai kepincangan yang berlaku dalam perlembagaan parti itu.

Bekas Penyelaras PPBM Bahagian Kluang, Arjuna Putera Ali, berkata untuk itu, bagi memastikan tindakan diambil oleh Jabatan Pertubuhan Pendaftar (ROS), sebanyak 358 aduan rasmi daripada 26 bahagian parti itu di Johor akan diserahkan kepada ROS dalam tempoh terdekat ini.

"Kami akan menjelajah ke seluruh Semenanjung bagi memastikan semua ahli PPBM mengetahui perkara sebenar supaya mereka tidak lagi tertipu dengan permainan pihak tertinggi parti ini.

"Ini saya maklumkan, segala kenyataan yang dikeluarkan oleh beliau (Kamaruddin) disifatkan sebagai sampah dan hanya ingin menipu ahli PPBM, selain dipercayai mempunyai kepentingan (niat tertentu) dengan pihak kepimpinan tertinggi parti termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Sekiranya benar ada pindaan, kenapa Setiausaha Agung PPBM tidak membuat sebarang kenyataan serta mengeluarkan surat pekeliling bagi menyokong kelulusan penangguhan itu," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Arjuna berkata, berdasarkan perlembagaan rasmi PPBM yang disahkan oleh ROS, Fasal 28 - Pindaan Perlembagaan, sebarang pindaan hanya boleh dibuat melalui ketetapan yang dipersetujui oleh tidak kurang dua per tiga perwakilan yang hadir dalam perhimpunan agung tahunan ataupun perhimpunan agung khas, dan mestilah diserahkan kepada ROS untuk mendapat kelulusan kuat kuasa pindaan terbabit.

Katanya, Kamaruddin juga terlupa bahawa persidangan bahagian harus terlebih dahulu diadakan sebelum perhimpunan agung dianjurkan berdasarkan Fasal 17.2 perlembagaan parti itu.

"Ada kemungkinan juga bahawa beliau hanya menurut arahan daripada Dr Mahathir untuk membuat kenyataan dangkal ini sekali gus menjadikan beliau sebagai kambing hitam untuk menjaga kepentingan parti," katanya.

Media sebelum ini melaporkan lapan bahagian PPBM di Johor membuat laporan kepada ROS di Putrajaya berhubung kegagalan kepimpinan tertingginya mematuhi perlembagaan parti, antaranya kegagalan semua peringkat cawangan dan bahagian PPBM mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) selepas setahun ditubuhkan.

Lapan bahagian terbabit ialah Bakri, Kluang, Sembrong, Ayer Hitam, Simpang Renggam, Ledang, Batu Pahat dan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Sembrong menyerahkan laporan itu kepada wakil ROS.--BHARIAN.COM.MY
© all rights reserved
made with by templateszoo