FELDA: Macam mana dulu berjaya, sekarang merudum?



Korang mungkin dah baca artikel kami pasal Isa Samad, pengerusi FGV yang meletakkan jawatan, pastu sekarang jadi pengerusi SPAD. Isa Samad pernah menang jawatan naib pengerusi UMNO, tapi kena gantung bila dia didapati bersalah mengamalkan politik wang. 



Dalam kas FGV ni, CEO dia iaitu Datuk Zakaria Arshad dan CFO (Ketua Pegawai Kewangan), Ahmad Tifli Mohd Talha telah digantung tugas berkuat kuasa serta merta atas tuduhan terdapat kecurigaan didalam pembayaran/ tunggakan pembayaran hutang kepada syarikat Afghan dibawah Delima Oil Products Sdn Bhd.


Dua hari lepas tu, dua lagi eksekutif FGV digantung tugas. PM Najib Razak pun umumkan pelantikan Dato Sri Idris Jala sebagai pihak yang bebas untuk meneliti dan kendali masalah FGV. Tapi oleh kerana terdapat pelbagai tuduhan dilemparkan akhirnya SPRM pun turut menjalankan siasatannya.

Isu ni turut mendapat perhatianpihak pembangkang, menteri-menteri lain dan Generasi ke-2 Felda. PM Najib Razak turut masuk campur dengan mengadakan perjumpaan antara Shahrir Abdul Samad dan Tan Sri Isa Samad. Berdasarkan dari perjumpaan tu akhirnya Isa Samad melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi FGV. 

Tapi mesti korang tertanya-tanya kenapa kes ni mendapat perhatian ramai orang kan? 
Tawaran awam permulaan (IPO) FGV merupakan yang terbesar di Asia pada tahun 2012 

Tawaran awam permulaan (IPO) ialah penawaran saham syarikat kepada orang ramai. Selain merupakan syarikat gomen, FGV jugak merupakan antara tiga IPO terbesar di dunia pada 2012 iaitu USD 3.1 bilion (RM9.45 bilion pada masa tu). Ia merupakan jumlah terbesar kat Asia pada tahun tu dan kat peringkat global pulak, satu-satunya syarikat yang lebih tinggi daripada FGV ialah Facebook! 


FGV merupakan pengeluar minyak sawit mentah terbesar dunia dan penapisan minyak sawit kedua terbesar kat Malaysia. FELDA kekal sebagai pemegang saham terbesar dengan memegang 34% kepentingan dalam FGV. FGV menguruskan kira-kira 335,000 hektar daripada 850,000 hektar tanah FELDA melalui perjanjian pajakan tanah. 


“Banyak pencapaian yang telah diraih FGV termasuk peningkatan bank tanah bukan pajakan, penghasilan pelbagai bahan tanaman bertaraf dunia menerusi kajian dan pembangunan (R&D) dan mewujudkan bahagian perdagangan minyak sawit mentah disokong aset.” – Dipetik oleh Astro Awani. 

Tapi apa yang terjadi selepas 5 tahun penyenaraiannya ialah :
Harga saham jatuh dari RM5 hingga RM 1.75 
Keuntungan turun dari RM982 juta pada tahun 2013, kini hanya RM 31 juta je pada tahun lepas. 
Cash pile sebanyak RM5 bilion pada tahun 2013 telah menurun kepada RM1.87 bilion pada akhir bulan Mac 2017. 

Kemungkinan besar kenapa pencapaian FGV sekarang teruk adalah disebabkan penurunan harga minyak daripada USD $ 961 kepada USD $538/tan metrik. Tapi korang tau tak KWSP yang sebelum ini merupakan pemegang besar saham dalam FGV, kini tak lagi memegang sebarang kepentingan dalam FGV dan ini menunjukkan betapa rendahnya keyakinan pelabur terhadap FGV. Ditambah pula dengan skandal dan siasatan SPRM terhadap FGV. 



Tapi selain dari prestasi buruk, terdapat jugak beberapa peningkatan yang dibuat termasuklah perbincangan menjual saham kepada syarikat asing. Kalau korang fikir ni hanya sekadar “big cooperate money talk” je silap sebab ia sedikit sebanyak memberi kesan kat penduduk.
Sebahagian peneroka FELDA mungkin berhutang dengan FGV tanpa sebab


Skim tanah FELDA telah diperkenalkan oleh Perdana Menteri ke-2 untuk meningkatkan kehidupan rakyat berpendapatan rendah dengan membuat penempatan semula penduduk dikawasan-kawasan yang baru dibangunkan dan menguruskan perladangan seluas 4.05 hektar. Sebagai pertukaran untuk perkhidmatan mereka, mereka diberikan sebuah rumah.

    “Kalau saya tak sertai Felda, saya mungkin tak dapat kehidupan sebegini. Saya juga mungkin tak dapat lihat anak perempuan saya menjadi peguam.” – Mustaffa Ismail, 70, dari Felda Bukit Sagu 1. Dipetik olehMalay Mail Online.

Kira-kira 13 tahun yang lalu, keadaan menjadi lebih baik di mana FELDA telah melancarkan usaha penanaman semula. Peneroka digalakkan beralih daripada menanam getah ke kelapa sawit. Malah sementara nak tunggu pokok-pokok tu matang (meraih hasil) dorang akan diberi bayaran lanjutan bulanan.

FGV ditubuhkan melalui FELDA sebagai cara untuk menjana lebih banyak pendapatan, kerana kerajaan tak lagi menyalurkan apa-apa peruntukan kat FELDA sejak 1994. Bila FGV ni ambilalih, secara automatik semua peneroka telah berpindah dibawah jagaanya dan daripada sinilah mula timbul pelbagai masalah; antaranya ialah mengenai pembayaran hasil bulanan. Sehingga September 2016, peneroka boleh mengharapkan dua kali bayaran dalam sebulan apabila dorang menyerahkan hasil ladang dua kali sebulan. Tapi sekarang ni, generasi penanam ke-2 hanya dibayar sekali sebulan je. Manakala pembayaran kedua tu akan dibayar pada bulan depannya. Pastu bulan seterusnya tu nanti pun dorang akan buat perkara yang sama jugak.

Tak cukup dengan pembayaran yang tak konsisten tu, kini FGV minta peneroka membayar balik perkhidmatan penanaman semula yang telah FELDA tawarkan beberapa tahun yang lalu. Tapi apa yang menjadi ketidakpuasan hati dorang ialah pihak FGV tak nyatakan dengan jelas pasal hutang tersebut dan jumlah pinjamannya jugak tak munasabah. Menurut The Malaysian Insight, peneroka ni jugak tak pernah dimaklumkan tentang hutang dorang sebelum ini.

    “Masa mereka menyenaraikan syarikat itu beberapa tahun lalu, mereka memberitahu kami bahawa kami tidak perlu membayar balik pinjaman yang diberikan tu. Tapi sekarang ni mereka mahu kami membayar balik pinjaman itu. Walaupun hanya RM50 sebulan, tapi kami memang tak berpuas hati.” – Nizam, 42 tahun. Dipetik dari The Malaysian Insight.

    “Hanya pada Disember tahun lepas kami mendapat kenyataan mengenai jumlah hutang. Tetapi tidak ada penjelasan berapa banyak ansuran bulanan kami yang dibayar berjaya mengurangkan hutang kami.” – Nazrul Fauzan dari Felda Gelingi Satu. Dipetik dari The Malaysian Insight.

    “Jadi, jika Felda berkata hutang itu bagi perkhidmatan penanaman semula maka mengapa keluarga saya perlu dikenakan bayaran juga?” – Mijan Mohamad, tidak berpuas hati kerana bapanya turut terkena hutang bernilai RM 100,000 walaupun bapanya menanam semula secara sendiri tanpa melalui pinjaman FELDA.

Pemilik ladang kecil ni mempunyai impak besar pada PRU 14


Rasanya ramai orang dah tahu kot yang FELDA merupakan “deposit tetap” memberikan kemenangan untuk BN dimana ia mampu mempengaruhi hampir satu perempat daripada kerusi di parlimen. Sebagai kubu kuat BN, hanya 6 daripada 60 ”kerusi FELDA” dimenangi oleh pihak pembangkang pada PRU 13.

Ketidakpuasan hati ni sebenarnya bermula sebelum FGV disenaraikan lagi. Dorang protes penyenaraian FGV sebab bimbang akan kehilangan tanah yang dorang dah laburkan dan diturunkan untuk generasi. Malah gomen turut memberi satu perlima daripada wang IPO kepada 112,635 pemilik tanah. Hampir USD5,000 (RM15,000 pada masa itu) telah diberikan kepada setiap orang.

Dengan memiliki kira-kira 20% saham daripada syarikat (FGV), korang dapat bayangkan tak kekecewaan yang dialami oleh 112,000 orang peneroka tu diatas kegagalan syarikat tersebut selama lima tahun dan ditambah pula dengan bebanan hutang serta pembayaran hasil yang sering tertunggak.
Skim FELDA hanya untuk peneroka terdahulu sahaja? Tapi bagaimana dengan generasi baru?

Visi utama FELDA adalah untuk menjana ekonomi kawasan luar bandar yang memberi pendapatan tinggi kepada peneroka dan kawasan sekitarnya. Tapi sebenarnya FELDA dah berhenti merekrut peneroka baru ke dalam skim tersebut. Jadi adakah ini bermakna hanya peneroka terdahulu je yang mendapat manfaatnya?

Pengerusi FELDA,Tan Sri Shahrir Abdul Samad  telah menyatakan bahawa FELDA dan FGV adalah entiti yang berlainan, dan mengatakan bahawa tanggungjawab peneroka bergantung kepada FELDA.

    “Sebelum ni Felda mempunyai peneroka, terdapat ladang dan kegiatan hiliran seperti kilang penapisan dan logistik serta perniagaan lain. Tapi sekarang semua ni telah dipindahkan ke FGV. Apa yang tersisa dengan Felda adalah peneroka dan tanggungjawab sosial serta kebajikan yang berkaitan dengan peneroka.” – Tan Sri Shahrir Abdul Samad ketika ditemubual oleh Bernama.


Walau apa pun orang ramai fikir pasal peneroka FELDA, sebenarnya dorang ni ada agak banyak masalah sosial, malah antara orang FELDA sendiri ada banyak sikap berpuak-puak yang perlu ditangani oleh FELDA. Menurut kenyataan daripada MalaysiaKini, pemuda Felda sering mengalami masalah “penyalahgunaan dadah“ serta “kekurangan semangat kekitaan dan hubungan interpersonal yang minimum.”

Ekonomi dan kewangan yang lebih baik merupakan pencapaian penting bagi setiap negara, tapi pasti ada caranya untuk mencapai kejayaan tersebut tanpa mengabaikan kesejahteraan dan masa depan rakyat.

Labels:
Reactions:
[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget