NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Zahid Hamidi: Peruntukan RM30j bukan untuk bayar gaji!



Zahid kesal pengusaha tahfiz guna peruntukan bayar gaji pengajar

Oleh: NAJAMUDDIN MOHD NOR

9 OKT: Dana RM30 juta oleh kerajaan pada tahun ini perlu dimanfaatkan 100 peratus oleh pemilik untuk menaik taraf maahad tahfiz milik mereka di seluruh negara.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa peruntukan yang sama juga diberikan oleh pada tahun lalu, namun gagal dimanfaatkan untuk membangunkan prasarana dan kemudahan bangunan maahad tahfiz masing-masing.

“Apa yang digunakan duit RM30 juta ini? Lebih 80 peratus digunakan untuk membayar gaji kepada pengajar-pengajar.

“Sedangkan matlamatnya untuk menaik taraf dan menambah peruntukan maahad tahfiz.

“Kali ini saya akan pastikan peruntukkan RM30 juta digunakan 100 peratus untuk menaik taraf semua maahad tahfiz yang ada ini,” katanya semasa berucap di merasmikan Persidangan Psikologi Modal Insan 2017 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Isnin.

Pada 14 September lalu, 21 nyawa pelajar dan dua guru Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Keramat rentung dalam kebakaran yang menggemparkan negara berhubung isu keselamatan maahad tahfiz di seluruh negara.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan peruntukan RM30 juta kepada semua maahad tahfiz di negara ini pada Bajet 2017

Peruntukan itu bagi menambah baik prasarana maahad tahfiz sedia ada, sekaligus menolak dakwaan kerajaan tidak membantu sekolah agama swasta.

Pada masa sama, Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet bagi menangani permasalahan maahad tahfiz mengakui jumlah peruntukan RM30 juta diberikan itu tidak mencukupi.

“Saya tahu tak cukup tetapi kita mulakan dengan peruntukan yang ada dimanfaatkan,” katanya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo