Boleh kerjasama dengan UMNO tapi ketika 'sebelum' dan 'selepas' pilihan raya - Mohd Zuhdi



SHAH ALAM: PAS bersedia bekerjasama dengan Umno, namun ia hanya akan berlaku dalam konteks ‘sebelum’ dan ‘selepas’ pilihan raya.

Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Mohd Zuhdi Marzuki menjelaskan kerjasama yang dimaksudkan itu adalah melibatkan perihal seperti pemerkasaan syariah Islam, isu kemanusiaan Rohingya selain bersama dalam menyekat kemaraan DAP dalam politik negara.

Sementara itu dalam konteks menghadapi pilihan raya, jelas Mohd Zuhdi, PAS tetap akan bersama blok ketiga Gagasan Sejahtera (GAGASAN) sebagaimana yang ditegaskan parti berteraskan Islam itu sebelum ini.

"Kita (bekerjasama) bukan hanya untuk hadapi pilihan raya tetapi juga semua aspek-aspek yang dengan kepentingan Islam dan juga kepentingan orang Melayu. PAS kita bersedia bekerjasama dengan semua pihak termasuklah Umno yang menjadi tunjang kepada kerajaan. Itu dalam konteks sebelum pilihan raya dan juga selepas.



"Mesti ada usaha yang dilakukan untuk halang DAP daripada dominan dalam politik Malaysia. Jadi ini melibatkan bukan hanya Umno dan PAS bahkan seluruh orang Melayu dan pengundi Islam mestilah menyedari kepentingan perkara ini dan bahaya DAP ini.

"Kita punya pendirian dalam konteks menghadapi pilihan raya akan datang ini sebagaimana yang telah kita maklumkan. PAS akan hadapi pilihanraya ini dengan Gagasan Sejahtera (GAGASAN).. Itu memang sudah disepakati oleh pimpinan PAS bahawa kita akan masuk pilihan raya ini dengan gabungan baru GAGASAN," katanya ketika dihubungi Antarapos hari ini.

Dalam pada itu, Zuhdi juga berkata kerjasama bersama Umno selaku parti pemerintah haruslah melangkaui batas kepartian khususnya ke arah pemerkasaan Islam dalam pentadbiran negara.


"Kerjasama PAS dengan Umno bukan satu keperluan. Bukan satu keperluan pada pilihan raya ini tetapi kerjasama antara PAS-Umno mestilah melampaui batas kepartian. Bukan hanya persoalan politik tetapi juga persoalan yang lain iaitu ke arah untuk memperkasakan Islam dalam pemerintahan Malaysia.

“Juga untuk memastikan bahawa sendi-sendi perlembagaan yang berkaitan dengan Islam, Raja-Raja Melayu, hak keistimewaan Melayu mesti dipertahankan," tambahnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan bekas pengarah pilihan raya PAS, Datuk Mustafa Ali yang menyarankan parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu menyambut cadangan rundingan yang pernah disuarakan Umno sebelum ini.

Mustafa dalam kenyataan dilaporkan sebagai berkata, saranan itu wajar disambut oleh PAS demi kepentingan negara ini.

Namun ujar Mustafa, PAS tidak semestinya perlu menyertai Barisan Nasional (BN) selepas berunding tetapi perlu berunding secara rasmi untuk bekerjasama dengan Umno.

Pandangan Mustafa itu disuarakannya sebagai maklum balas kepada kenyataan Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa sebelum ini.

Annuat baru-baru ini berkata kedua-dua parti itu perlu “duduk semeja” bagi mencari titik persamaan demi kepentingan umat Islam.

Annuar juga membayangkan bahawa Umno dan PAS akan bekerjasama, kerana menurutnya kedua-dua parti itu mempunyai "DNA yang sama", iaitu memperjuangkan kepentingan orang Melayu dan Islam.

Malah Annuar juga memaklumkan, Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak dikatakan telah mendapat lampu hijau daripada kepimpinan parti dalam mengadakan rundingan pakatan pilihan raya dengan PAS.

Walaubagaimanapun, PAS terus konsisten dengan pendiriannya iaitu bersama GAGASAN yang terdiri daripada Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) dan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dalam perjuangannya menghadapi PRU14.

Himpunan Fastaqim 2.0 yang diadakan di Terengganu pada awal bulan lalu turut menyaksikan Parti Cinta Malaysia (PCM) menyatakan sokongannya, dalam usaha memantapkan lagi blok ketiga yang ditunjangi PAS itu.

-shu-

Sumber: http://antarapos.com/am/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7WobZpnaA
Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget