Header Ads

Tubuh jawatankuasa bincang polisi beri kesan kepada Sabah dan Sarawak



KOTA KINABALU: Kerajaan persekutuan perlu menubuhkan satu jawatankuasa bagi membolehkan Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia duduk semeja bagi membincangkan sebarang polisi yang memberikan kesan kepada kedua-dua negeri berkenaan.

Ketua Parti Bersatu Sabah Bahagian Tanjung Aru Datuk Ir Edward Yong Oui Fah berkata, perbincangan seumpamanya adalah selaras dengan perkara yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang mana, sebarang polisi yang dibuat oleh kerajaan Persekutuan perlu mengambil kira kepentingan Sabah dan Sarawak.

“Inilah yang diperjuangkan oleh Presiden PBS Tan Sri Joseph Pairin Kitingan selama ini dan kita perlu memberikan sokongan kuat kepada perkara ini.

“Akta Pelancongan 2017 sebagai contoh, keputusan yang dibuat tidak mengambil kira kepentingan atau hak rakyat di Sabah dan Sarawak yang akhirnya mewujudkan kemarahan dalam kalangan masyarakat,” katanya pada Mesyuarat Agung Tahunan PBS Bahagian Tanjung Aru, di sini pada Ahad.

Beliau berkata, jawatankuasa yang dicadangkan itu wajar diwujudkan bagi membincangkan segala polisi akan dibuat kerajaan Persekutuan yang melibatkan Sabah dan Sarawak pada masa hadapan.

Katanya, PBS akan terus memperjuangkan MA63 untuk kebaikan generasi masa depan anak-anak Sabah yang terdiri daripada berbilang kaum.

Dalam pada itu, Edward turut menyeru kepada jentera PBS di Tanjung Aru agar terus bekerja keras untuk berhadapan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Kita bukan sahaja ingin memastikan Kerusi Tanjung Aru dikekalkan, sebaliknya bantu calon PBS untuk merampas kembali Kerusi Api-Api dan Parlimen Kota Kinabalu.

“Saya berharap semua ahli PBS bersatu hati dan bekerjasama untuk bersama-sama membantu parti ini menang dalam PRU nanti,” katanya.

Hadir sama di majlis itu ialah Presiden PBS Tan Sri Joseph Pairin Kitingan serta barisan pemimpin PBS yang lain.