NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Conte Bakal Dipecat?



Oleh Eddy Zakry, 1Media.my.

Walaupun baru satu perlawanan tetapi pengurus pasukan Chelsea, Antonio Conte, telah mula merasai kepanasan. Pada perlawanan pembukaan Liga Perdana  Inggeris (EPL) mereka 12 Ogos lepas, Chelsea telah kecundang 2-3 di tangan Burnley di tempat sendiri. Pada musim lepas Burnley hanya mampu menang sekali di tempat lawan.

Kali terakhir Chelsea mempertahankan kejuaraan EPL adalah ketika Jose Mourinho pengurus mereka pada musim 2015/16. Tetapi bukan sahaja mereka gagal mempertahankan kejuaraan itu malah Mourinho telah dipecat seawal bulan Disember 2015.

Perkara yang sama boleh berlaku kepada Conte memandangkan skuad beliau gagal diperkuatkan dengan secukupnya sebelum musim ini bermula. Mereka gagal mendapatkan Romelo Lukaku dari Everton yang telah memilih Manchester United. Mereka kehilangan Nemanja Matic juga kepada kelab tersebut. Diberitakan Matic dijual tanpa kerelaan Conte. Mereka juga telah memulakan musim tanpa  tonggak utama Eden Hazard yang mengalami kecederaan.

Di dalam keadaan cemas, Chelsea dilaporkan mengejar 3 pemain. Mereka adalah Alex Oxlade-Chamberlain dari Arsenal, Danny Drinkwater dari Leicester City dan Virgil van Dijk dari Southampton. Pemilik kelab Roman Abramovich dikatakan bersedia membelanjakan 120 juta pound untuk mereka.

Walau bagaimanapun sejarah EPL menunjukkan payah bagi juara bertahan untuk mempertahankan kejuaraan. Kali terakhir juara EPL berjaya mempertahankan kejuaraan adalah Manchester United di bawah Alex Ferguson dalam tahun 2008/09.

Malah 4 pengurus telah hilang pekerjaan dalam tempoh 12 bulan atau kurang selepas menjadi juara. Selain Mourinho mereka adalah Carlo Ancelotti (Chelsea, juara 2009-10), Roberto Mancini (Manchester City, juara 2011-12) dan Claudio Ranieri (Leicester, juara 2015-16). (1Media.my)
© all rights reserved
made with by templateszoo