Header Ads

DAP suka main politik salahkan pihak lain - PCM


MUKADIMAH: RAMAI yang hairan setiap kali terpalit dengan isu dan kontroversi, Kerajaan DAP Pulau Pinang tidak menunggu lama untuk menyalahkan pihak lain khususnya Barisan Nasional (BN).

Perkara sama berlaku dalam isu kilang haram habuk kayu di Kampung Sungai Lembu, Penanti kononnya diwarisi daripada Kerajaan BN terdahulu. WartawanMingguan Malaysia, MOHD. KHUZAIRI ISMAILmendapatkan pandangan Timbalan Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), DATUK HUAN CHENG GUANberhubung kecenderungan Kerajaan DAP Pulau Pinang itu. Dalam masa sama, beliau yang juga Pengerusi Persatuan Anak Jati Pulau Pinang berkongsi pemerhatian berhubung pendekatan politik DAP sepanjang hampir sembilan tahun menerajui pentadbiran kerajaan negeri itu.

MINGGUAN: Sejauh mana seriusnya masalah kilang haram di Pulau Pinang?

CHENG GUAN:Sesiapa pun tidak boleh menafikan sememangnya banyak kilang haram wujud di negeri ini. Sebab itu saya tidak terkejut kalau ada pihak mendakwa terdapat lebih 200 buah kilang haram kesemuanya.

Kerajaan DAP Pulau Pinang atau pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu jawab dan perjelaskan situasi sebenar. Tetapi saya mahu melihat dari sudut apa produk yang dihasilkan kilang-kilang ini dan apakah kesan ke atas kesihatan dan keselamatan penduduk selain pencemaran kepada alam sekitar.

Isunya di sini mengapa tidak ada tindakan diambil ke atas kilang ini? Dalam kes kilang habuk kayu di Kampung Sungai Lembu, Penanti, jika tidak boleh dirobohkan bangunan kilang itu sekali pun, mengapa Kerajaan DAP Pulau Pinang tidak mengeluarkan arahan supaya operasinya dihentikan? Mengapa selepas sembilan tahun memerintah negeri ini dan selepas banyak kali dilaporkan penduduk, malah dibawa wakil rakyat ke sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) sekalipun, kilang haram itu masih bebas beroperasi?

Peliknya Kerajaan DAP Pulau Pinang dilihat sangat pantas dalam merobohkan bangunan-bangunan haram lain. Tetapi kenapa tidak bertindak ke atas kilang-kilang haram ini? Sebab itu saya lihat apa yang berlaku dalam isu kilang haram ini sebenarnya satu bentuk manipulasi Kerajaan DAP Pulau Pinang untuk mendapatkan simpati daripada rakyat.

Mereka menyerlahkan kononnya menjadi mangsa dasar Kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini, tetapi pada hakikatnya mereka tidak mahu mengambil tindakan. Jika ada tindakan yang diambil dalam isu seperti ini banyak yang menjurus kepada keputusan politik.

Maksudnya di sini Kerajaan DAP 'memilih bulu' dalam mengambil tindakan dan melindungi syarikat yang dilihat menyebelahi mereka?

CHENG GUAN: Rakyat menilai kalau anda penyokong kerajaan Pusat, maka tindakan yang diambil adalah lain berbanding jika anda penyokong DAP. Seolah-olah ada dua undang-undang berbeza yang diguna pakai. Saya ambil contoh tindakan ke atas sebuah cafe yang beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) yang dirobohkan sebahagian bangunannya selepas pemiliknya mengkritik Kerajaan DAP Pulau Pinang.

Malah, perniagaan-perniagaan lain pemilik kafé ini juga 'diganggu’ dan dicari walau hanya satu kesalahan kecil sahaja. Mengapa untuk kes sebegini Kerajaan DAP Pulau Pinang boleh bertindak dengan pantas? Dalam kes kilang haram habuk kayu di Penanti, struktur bangunan itu sebenarnya hanya seperti sebuah bangsal sahaja.

Bukannya sebuah kilang yang besar. Jadi mengapa selepas sembilan tahun memerintah, tidak ada tindakan diambil oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang ke atas kilang itu? Tetapi seperti biasa, Kerajaan DAP Pulau Pinang menyalahkan Kerajaan BN dalam isu kilang haram ini.

Sembilan tahun sudah DAP menjadi kerajaan negeri, adakah mereka mahu mengatakan mereka sebenarnya tidak tahu membuat keputusan? Sekarang mereka pula bertanya sama ada kerajaan negeri yang lepas mahu ambil tindakan ke atas kilang ini atau tidak?

Persoalannya siapa yang mentadbir negeri ini hari ini? Kalau itu pun DAP mahu Kerajaan BN jawab, baik mereka semua letak jawatan, biar wakil rakyat BN sahaja yang memerintah.

Sebab itu saya menilai tindakan suka menyalahkan pihak lain ini khususnya terhadap Kerajaan BN terdahulu adalah cara paling mudah untuk DAP menutup kelemahan pentadbiran mereka.

Tetapi dalam masa sama mereka boleh pula mengambil segala kredit atas pembangunan dan kemajuan negeri ini di bawah pemerintahan kerajaan BN.

Maksudnya Kerajaan DAP Pulau Pinang tidak ada dasar sendiri?

CHENG GUAN: Mereka sebenarnya tidak ada pengalaman menjadi pemerintah. Dasar-dasar mereka dibuat secara ad hoc. Mereka tidak boleh ambil dasar Kerajaan BN terdahulu walau pun yang baik dan terbukti membela rakyat kerana tidak mahu nanti dikatakan mencontohi Kerajaan BN.

Sebab itu pentadbiran kerajaan negeri kucar-kacir. Yang sepatutnya menjadi keutamaan tidak diberikan perhatian. Yang sepatutnya mendapat pembelaan adalah rakyat, tetapi yang diberi perhatian adalah pemaju. Itu apa yang boleh kita nampak berlaku di Pulau Pinang hari ini. Saya tidak nampak kelebihan dan perubahan yang dibawa mereka sejak memerintah negeri ini. Saya rasa majoriti penduduk negeri ini juga bersetuju.

Dasar yang paling jelas setakat ini adalah menyalahkan kerajaan BN semata-mata. Isu-isu melibatkan kebajikan penduduk juga bukan hanya tidak selesai, tetapi menjadi makin serius. Isu rumah mampu milik sebagai contoh, sehingga ke hari ini pun masih ramai penduduk menunggu untuk memiliki kediaman sendiri.

Tetapi mana rumah kos rendah dan sederhana untuk mereka yang ditawarkan kerajaan negeri? Sudahlah mereka sendiri tidak membina rumah yang cukup, usaha agensi Kerajaan Pusat untuk membinanya juga dilengah-lengahkan dengan pelbagai alasan.

Mereka seolah-olah sengaja mengalihkan isu ini untuk menutup kelemahan dan salahkan kerajaan Pusat? Namun hakikatnya banyak kegagalan lain seperti menangani isu banjir dan kampung warisan yang semakin pupus?

CHENG GUAN: Adakah ini sebuah kerajaan negeri yang bertanggungjawab. Isu banjir juga sehingga kini bukan sahaja tidak selesai, tetapi lebih banyak kawasan ditenggelami banjir kilat selepas sembilan tahun DAP memerintah.

Penduduk masih ingat bagaimana DAP dengan bangganya berjanji akan menyelesai isu banjir sebelum pilihan raya umum lalu.Tetapi lihat apa yang berlaku hari ini? Setiap kali hujan lebat dalam beberapa jam sahaja beratus-ratus rumah penduduk tenggelam.

Kampung-kampung warisan pun semakin hari semakin pupus diganti dengan projek-projek kondominium mewah. Adakah ini dasar-dasar yang dimahukan penduduk?

Mereka berbangga dengan projek-projek mega seperti terowong dasar laut, tambak tiga pulau buatan, sistem transit aliran ringan (LRT) dan pelbagai lagi yang harganya berbilion-bilion ringgit.

Tetapi selepas sembilan tahun apa status projek-projek ini? Yang penduduk tahu hanya cakap-cakap kosong sahaja tetapi bayang apa pun tidak nampak. Peliknya ada konsultan yang sudah menerima bayaran beratus-ratus juta sedangkan tidak ada projek yang sudah bermula pun lagi.

Jadi selepas sembilan tahun, apa sebenarnya yang dilakukan DAP di Pulau Pinang?

CHENG GUAN: Saya lihat Kerajaan DAP Pulau Pinang hanya berminat bermain politik, bukannya mentadbir negeri ini dan membela kebajikan penduduk. Mereka juga bertindak seolah-olah masih sebagai pembangkang di negeri ini. Sebab itu mereka seperti mahu mencari musuh dengan semua pihak.

Pantang ada orang yang mengkritik atau menegur Kerajaan DAP Pulau Pinang, tahulah nasib mereka nanti. Sama ada terima surat saman atau dipulaukan. Sebab itu hari ini kita tengok banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) negeri ini mula menjarakkan diri dengan Kerajaan DAP Pulau Pinang.

Begitu juga persatuan atau komuniti masyarakat Cina yang merasakan semakin jauh dengan Kerajaan DAP Pulau Pinang. Sedangkan sebelum dua pilihan raya umum lalu, inilah kumpulan-kumpulan yang begitu kuat menyokong DAP. Salah satu sebab mengapa ini berlaku kerana kumpulan ini beranggapan Kerajaan DAP Pulau Pinang hari ini seolah-olah angkuh. Tidak boleh dikritik dan tidak mahu mendengar pandangan mereka.

Tetapi kumpulan ini tidak berani menunjukkan penentangan secara terbuka sebab seperti yang saya jelaskan tadi, mereka bimbang dikenakan tindakan atau dipulaukan.

Maksudnya ada gelombang penentangan terhadap Kerajaan DAP Pulau Pinang daripada akar umbi ketika ini? Itu apa yang saya nampak dan nilai sepanjang saya bergerak mendekati pelbagai lapisan masyarakat di negeri ini selama ini.

Anda rasa bagaimana saya dapat membongkarkan pelbagai isu melibatkan kepincangan dalam kerajaan negeri? Bagaimana saya boleh dengan yakin beberapa kali membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan isu seperti terowong, rumah mampu milik, penjualan tanah, kilang haram dan banyak lagi?

Kebanyakan maklumat-maklumat itu datang daripada aduan kumpulan masyarakat ini. Mereka tidak tahu mana platform untuk dituju sebab jika mengadu kepada Kerajaan DAP Pulau Pinang pun tidak mungkin akan ada tindakan diambil. Silap langkah mereka pula yang terkena.

Jangan terkejut jika saya beritahu maklumat-maklumat ini juga diberi kepada saya oleh ahli-ahli DAP dan PKR sendiri. Ada kalangan ahli-ahli parti ini sendiri sebenarnya tidak bersetuju dengan corak pemerintahan DAP di negeri ini dan datang kepada kita untuk kita bongkarkan.


HINDARI POLITIK KEBENCIAN ALA DAP


Apa sebenarnya yang dirasakan ahli akar umbi DAP ini?

CHENG GUAN: Ahli-ahli DAP ini sebenarnya berasa tertipu dengan pemimpin utama mereka hari ini. Mereka juga menilai parti DAP tidak lagi berpegang kepada amalan politik berprinsip.

Bagi mereka, perjuangan DAP hari ini bukan lagi untuk survival parti, tetapi lebih kepada untuk menjamin kekuasaan dan kedudukan pemimpin tertentu.

Contoh paling ketara dalam kerjasama dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Sejak berpuluh-puluh tahun pemimpin DAP menggambarkan Dr. Mahathir sebagai musuh nombor satu mereka.

Tetapi hari ini Lim Guan Eng dan Lim Kit Siang dengan penuh senyum lebar dan tangan terbuka luas menerima Dr. Mahathir dalam gabungan mereka.

Ahli-ahli DAP menjadi keliru dan tertanya-tanya apa yang terjadi dengan doktrin Dr. Mahathir sebagai musuh utama DAP yang ditanam dalam kepala mereka berpuluh-puluh tahun lamanya?

Bukankah menerima Dr. Mahathir hanya akan menyelamatkan kedudukan dan kuasa pemimpin tertentu DAP semata-mata? Begitu juga dalam kerjasama dengan Pas yang mana DAP satu ketika dahulu begitu mengagung-agungkan Pas sebagai parti masa depan orang Melayu.

Tetapi lihatlah bagaimana layanan DAP terhadap Pas ketika ini? Semua permainan politik untuk mengekalkan kuasa pemimpin tertentu DAP ini sebenarnya sedang dinilai dan diperhatikan ahli akar umbi parti.

Mungkinkah PKR juga bakal menerima nasib serupa?

CHENG GUAN: Saya tidak hairan jika PKR juga nanti akan diperlakukan seperti Pas oleh DAP. Sikap membuli itu sebenarnya sudah boleh dilihat dalam Kerajaan DAP Pulau Pinang hari ini.

Lihat sahaja di mana kedudukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Dr. Norlela Ariffin selepas beliau membangkitkan mengenai isu kilang haram di kawasannya.

Beliau bukan sahaja dilihat seperti musuh kepada Kerajaan DAP Pulau Pinang, tetapi juga tidak mendapat pembelaan sewajarnya daripada parti beliau sendiri. Apakah PKR takut dengan DAP sehingga tidak mahu menyokong wakil rakyat sendiri?

Yang saya hairan juga ke mana hilangnya Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh. Apakah pernah ada sebarang kenyataan daripada beliau berkenaan isu kilang haram di Kampung Sungai Lembu itu?

Atau beliau sebenarnya tidak menyedari kilang itu terletak di bawah kawasan Parlimen yang diwakilinya?

Apa nasihat Datuk kepada penduduk Pulau Pinang melihat kepada corak pentadbiran DAP ketika ini?

CHENG GUAN: Saya rasa bukan penduduk Pulau Pinang sahaja, tetapi rakyat Malaysia keseluruhannya perlu membuka mata dengan politik yang dibawa DAP. Saya ingat sebelum DAP menang banyak kerusi dan menjadi pembangkang dominan seperti hari ini, rakyat Malaysia tidak pernah berdepan isu-isu perkauman dan agama yang tegang.

Kerajaan BN dengan parti-parti komponennya berusaha bersungguh-sungguh memupuk nilai perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum. Tetapi sejak DAP memenangi banyak kerusi, saya perhatikan budaya politik kebencian dalam kalangan masyarakat begitu ketara.

Sebahagian besar anasir-anasir itu dibawa oleh pasukan siber mereka atau Red Bean Army (RBA). Malah, beberapa pemimpin mereka juga secara terbuka menerusi media sosial membangkitkan perkara-perkara yang boleh mencetuskan ketegangan dan menimbulkan kemarahan kaum lain.

Yang saya kecewa apabila saya melihat pihak berkuasa khususnya Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) seolah-olah tidak mampu bertindak ke atas pihak yang sengaja membangkitkan isu-isu sensitif ini. Sebab itu mereka berani memainkannya berulang-ulang kali.

Politik kebencian yang dibawa DAP ini sangat bahaya kepada negara ini, bukan sahaja boleh mewujudkan situasi tidak harmoni atautidak selamat dalam kalangan rakyat. Tetapi pembangunan negara dan ekonomi juga boleh terencat.

Saya tidak pasti jika masyarakat Cina boleh menerima politik kebencian yang dibawakan DAP ini. Tetapi jika mereka mahu melihat negara ini terus maju ke hadapan dan pembangunan serta kemajuan ekonominya berkembang, mereka perlu memisahkan diri dengan budaya politik DAP ini.